Perkongsian Mengenai Cara Untuk Menyambung Pelajaran Ke Luar Negara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Di kalangan pembaca, mungkin ada yang teringin untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Melalui pembacaan dan cerita dari rakan dan kenalan, ada pelbagai cara dan jalan dalam mencapai impian untuk sambung belajar di luar negara.

Di sini saya ingin kongsikan secebis pengalaman mengenai cara untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Master atau PhD. Semoga ianya bermanfaat untuk para pembaca.

Bagi saya, matlamat asal adalah untuk melanjutkan pelajaran di negara yang lebih maju berbanding Malaysia, agar dapat belajar dari suasana dan keadaan di sana dengan harapan dapat dimanfaatkan di Malaysia di kemudian hari.

Kalau negara maju, sudah tentulah kadar tukaran wangnya lebih mahal. Maka, adalah penting bagi saya untuk melanjutkan pelajaran dengan bantuan biasiswa memandangkan ketiadaan sumber kewangan yang kukuh (erti kata lain, tak kaya la hehe).

Jadi, berbeza dengan yang lain yang mungkin memulakan pencarian dengan memilih universiti yang terbaik untuk kursus pengajian yang diminati, pencarian dimulakan dengan di manakah bantuan biasiswa mungkin boleh diperolehi.

A) Senarai Biasiswa

Ada banyak web yang kongsikan senarai syarikat atau organisasi yang mengeluarkan bantuan biasiswa bagi peringkat Master dan PhD. Maka, saya mulakan dari senarai tersebut dan mula semak dan senarai pendek bantuan biasiswa yang

1) layak untuk dipohon (contohnya dari segi umur, kelayakan berdasarkan keputusan pengajian di peringkat Degree, dan sebagainya),

2) biasiswa di tawarkan untuk kursus pengajian dan universiti yang sesuai dan layak untuk memohon

3) tarikh tutup permohonan adalah realistik untuk mendapatkan dokumen sokongan untuk melengkapkan permohonan

Kebanyakan biasiswa yang saya senarai pendekkan berdasarkan kelayakan, kebanyakannya memerlukan saya untuk diterima masuk ke kursus pengajian dan universiti tertentu sebelum memohon untuk biasiswa. Jadi, usaha diteruskan dengan memohon untuk kemasukan ke universiti pula.

B) Permohonan untuk kemasukan ke universiti

Bagi saya, proses untuk memohon ke universiti di luar negara mempunyai kos yang tinggi. Ada banyak dokumen sokongan yang diperlukan apabila mendaftar untuk permohonan. Setiap dokumen sokongan pula memerlukan kos dari segi masa, tenaga, dan tentunya duit.

1) Yuran permohonan

Kebanyakan permohonan ke universiti luar negara memerlukan yuran untuk mendaftar permohonan. Sebagai contoh, University of Melbourne di Australia memerlukan bayaran AUD100 sebagai yuran permohonan.

Boleh saya katakan, rata-rata universiti mengenakan harga dalam kadar yang sama untuk pemohon dari luar negara. Jadi, jika lebih banyak universiti yang dipohon, lebih banyak duit yang diperlukan.

2) Kelayakan berbahasa Inggeris

Permintaan universiti dari segi kelayakan berbeza antara satu sama lain. Contohnya, ada universiti di New Zealand dan Australia yang mengikitiraf kebolehan berbahasa Inggeris oleh pelajar yang mendapatkan pengajian di Malaysia sebelumnya, tetapi cuma segelintir. Universiti di negara lain juga sama, hampir semua memerlukan bukti kebolehan berbahasa Inggeris untuk pemohon dari Malaysia.

Jadi, adalah perlu untuk pemohon mendapatkan sijil IELTS, TOEFL atau yang lain sebagai dokumen sokongan. Jika belum ada sijil IELTS atau TOEFL, harus pastikan tarikh peperiksaan dan keputusan peperiksaan boleh diterima sebelum tarikh tutup permohonan untuk kemasukan ke universiti. Contohnya, untuk IELTS, info boleh didapati dari laman web British Council Malaysia.

Kos untuk mengambil peperiksaan IELTS dalam lebih kurang RM800. Memandangkan tempat peperiksaan hanya terdapat di beberapa lokasi dalam Malaysia, kos perjalanan untuk mengambil peperiksaan juga harus diambil kira.

Jika mampu, boleh beli pelbagai jenis buku rujukan untuk IELTS atau TOEFL di kedai buku. Namun, buku-buku rujukan kebanyakannya boleh dipinjam dari perpustakaan awam ataupun boleh rujuk dari pelbagai sumber atas talian.

3) Research proposal

Untuk pengajian Master atau PhD, “research proposal” antara “requirement” yang diperlukan semasa melengkapkan permohonan. Untuk permohonan biasiswa (selepas diterima kemasukan universiti) juga rata-ratanya memerlukan “research proposal”. Saya tidak pasti pula jika mungkin ada universiti yang tidak memerlukan “research proposal”.

4) Dokumen sokongan lain

Untuk memastikan kredibiliti pemohon, universiti luar negara kebanyakkannya memerlukan dokumen sokongan seperti salinan asal sijil graduasi dari universiti di peringkat sebelumnya, salinan asal “academic transcript”, surat sokongan dari majikan, surat sokongan dari “supervisor” di peringkat pengajian sebelumnya, dan berbagai lagi.

Jika salinan asal tidak dapat dikemukakan, salinan yang diberikan kebiasaannya haruslah “certified true copy”. Bagaimana untuk mendapatkan “certified true copy”? Memandangkan permohonan adalah untuk universiti di luar negara, cop dari Persuruhjaya Sumpah tidak diterima. Salinan memerlukan “notarization” dari peguam yang berkelayakan.

Boleh refer senarai “Notary Public” (Notari Awam) yang layak untuk “notarize” (notari) salinan tersebut. Setiap keping dokumen memerlukan bayaran yang berbeza untuk mendapatkan “notarization” tersebut.

Jika dokumen asal adalah dalam Bahasa Melayu, dokumen tersebut pula perlu diterjemahkan ke Bahasa Inggeris. Ada pelbagai pihak yang menawarkan perkhidmatan pernterjemahan (translation), tapi pastikan terjemahan itu diiktiraf, contohnya “notarized translation”.

5) Status kewangan

Ada sesetengah universiti yang bertanyakan keadaan kewangan pemohon semasa melengkapkan proses permohonan ke universiti tersebut. Melalui ini juga, universiti mungkin boleh menyalurkan info untuk permohonan biasiswa yang tidak terdapat di dalam laman web universiti contohnya.

Jadi, sekiranya ada peluang, boleh nyatakan jika perlukan bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajian di universiti tersebut.

Ada lagi pelbagai proses dan persediaan lain yang tidak sempat saya coretkan di sini. Pelbagai aspek lain juga harus diambil kira dalam permohonan untuk menyambung pelajaran ke luar negara.

Untuk yang beragama Islam dan saya rasa sama juga untuk penganut agama lain, setelah bersungguh-sungguh berusaha kita hendaklah bertawakal (berserah kepada Tuhan). Banyakkan berdoa, dan berbuat baik sesama insan. Rezeki kita ditentukan olehNya, maka kepadaNya lah kita berserah selepas segala usaha telah dilakukan.

Terima kasih kerana sudi membaca, dan harapnya penulisan ini dengan izinNya membawa manfaat. Maaf atas segala kekurangan melalui penulisan ini. Jika ada fakta atau pandangan yang salah dalam coretan ini, mohon pembaca dapat berkongsi pendapat untuk diperbetulkan.

Jika ada pembaca yang ada pengalaman dan pendapat lain, sudi-sudikan juga berkongsi ye? Boleh kita manfaatkan bersama-sama ;)

Sekian…

– Sarah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *