Ummi

Lebatnya hujan ditambah pula dengan kuatnya angin membuatkan tubuh itu mengerekot kesejukkan.

Dicapai kain lusuh lalu diselimut dari kaki hingga ke paha bagi menghilangkan rasa sejuk yang semakin mencengkam. Tapi mana mungkin kerana kain itu juga menjadi mangsa sang hujan.

“Ya Allah lebatnya hujan .. ” bibir itu menutur kata. Perlahan dan bergetar. Digagah juga untuk bangun meskipun tubuh itu tiada dayanya.

Diluar hujan dan angin semakin mengganas. Telinganya dapat mendengar dengan jelas bumbung tempatnya berteduh seakan mahu tercabut.

Dikuak sedikit daun pintu yang hanya diperbuat dari dedaun nipah. Matanya memandang sayu ke arah sebuah rumah yang jaraknya lebih kurang 30 langkah dari pondok usang miliknya.

Setitis air mata menitis lantas segera dikesatnya. Tubuh itu kembali ke katil dan hanya mampu berdoa dalam hati agar hujan rahmat ini segera berhenti.

“Jom.. Ujar suamiku. Aku hanya mengangguk. 5 minit dari rumah dengan menaiki motorsikal kami tiba di satu tempat. Segera Salam kuberi.

Kedengaran satu suara menjawab salamku..

“waalaikumussalam.. tok baru lepas sembahyang. Tu lengkuas tok ambik dah.” Ujarnya.

Aku mengukir senyuman lantas segera aku menghulur wang tunai berjumlah RM15. Niat untuk sedekah saja meskipun harganya bukanlah sebanyak itu.

“Abang.. kesian tok tu kan.. dok la dalam pondok tu sorang². Dia tak ada anak ka?”

“Ada aihh.. perasan dak rumah putih tepi tu. Sepatutnya tu rumah dia tapi anak dia halau tak bagi dok situ.”

Terpempan aku seketika. Terbayang terus seraut wajah aku lihat tadi.

“Anak dia halau? Sebab apa?” Soalku ingin tahu.

“Sebab berebut rumah tu. Terlampau dengar cakap suami mak sendiri dihalaunya.” Balas suamiku.

Sampai saja di rumah ringan saja mulut ini bertanyakan beberapa soalan kepada ibuku. Dan apa yang aku dengar sungguh menyakitkan hati.

Tergamak kau wahai anak.. apa lagi yang kurang? Sehingga ini balasan yang kau beri kepada ibumu. Tak terfikirkah kau bagaimana rasa apabila dihalau oleh anak sendiri? Bagaimana rasa disisihkan oleh anak sendiri?

Seraut wajah itu memang benar-benar buatkan aku menitiskan air mata. Tak dapat aku bayangkan bagaimana peritnya hidup yang dia terpaksa lalui. Ibarat mengemis kepada anak sendiri. Hanya mengharapkan hasil cucuk tanam sebagai punca rezeki.

Lupakah kau, insan yang kau halau ibarat anjing kurap. Insan yang kau rampas segala harta miliknya, insan yang kau lempar dan buat seperti tidak pernah kenal antara satu sama lain adalah orang dimana kau tumpang rahimnya selama 9 bulan 10 hari.

Sakitnya dia melahirkan kau ibarat nyawa dihujung tanduk.

Lelahnya dia mencari rezeki hanya untuk memberimu pelajaran dan kesenangan. Dan akhirnya apa yang kau buat?

Di pondok usang itu kau buang dia! Kau biarkan dia seorang terkapai-kapai mencari makan. Kau biarkan dia seorang kesejukan dalam hujan.

Sungguh kau memang anak tak berguna. Andai diri ini punya hak untuk bersuara, akan aku perang habis-habisan demi insan tua itu. Tapi apalah daya aku hanya orang luar yang mampu bersimpati dengan nasib yang menimpanya.

Jangan kalian keliru.. ini semua berdasarkan kisah benar yang aku ceritakan kembali kepada kalian.

Aku harap kalian dapat mengambilnya sebagai iktibar. Ibarat seorang ibu menjaga 10 orang anak tapi tak semua anak mampu menjaga seorang ibu. Mereka lupa dengan bait-bait ini..

Ayah dan ibu.. ayah dan ibu..

Itulah.. permulaan kami..

Sekian..

– Mengemisnya seorang ibu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *