Assalamualaikum rakan-rakan IIUMC. Semoga semua pembaca dalam keadaan sihat dan terima kasih andainya kisah saya ini dapat disiarkan.
Nama saya Mona, saya berusia hujung 20-an dan bekerja sebagai pegawai kerajaan di sebuah agensi di selatan tanah air.
Saya telah berkahwin dan alhamdulillah saya dikurniakan suami yang sangat baik dan sepasang cahaya mata yang sedang membesar dengan sihat. Anak lelaki sulung kami berusia 4 tahun dan anak kedua kami perempuan berusia setahun.
Semuanya bermula ketika saya mengandungkan anak kedua kami. Saya mengalami sakit kepala yang sangat kerap sehinggalah terpaksa berjumpa doktor di klinik swasta dan doktor tersebut telah merujuk saya ke jabatan psikiatrik di hospital kerajaan.
Saya di diagnos dengan tekanan dan bermulalah perjalanan kehidupan saya berulang-alik ke jabatan psikiatrik di hospital tersebut. Suami pula sentiasa memberikan sokongan dan akan mengambil cuti untuk menemani saya pada setiap temujanji dengan doktor.
Oh ya, suami saya bekerja di ibu kota dan akan pulang pada hujung minggu. Manakala saya tinggal bersama keluarga saya dan menguruskan anak sendiri dibantu oleh ayah, ibu dan ahli keluarga yang lain. Pada masa itu, saya beranggapan tekanan saya adalah berpunca dari tempat kerja dan tekanan kerana menguruskan anak sendirian.
Sebaik kelahiran anak kedua, kami telah mendapat berita gembira mengenai permohonan untuk bertukar suami telah berjaya. Sejak berpindah, semua urusan harian kami uruskan bersama dan saya mulai beransur pulih. Cuma kesihatan saya dan suami semakin tidak menentu. Kami mudah letih dan sering sakit-sakit sehingga tidak dapat menguruskan anak-anak dengan baik.
Tekanan kerja sudah berkurangan tetapi tekanan menguruskan keluarga bertambah. Selain sakit-sakit, suami juga sering marah-marah walaupun hanya untuk perkara kecil. Sedangkan sebelum itu, suami seorang yang sangat penyabar dan baik dalam melayani karenah saya dan anak-anak.
Sehinggalah pada suatu kerana terlalu tertekan akibat dimarah oleh suami saya telah menangis dan mula tidak sedarkan diri. Suami telah menghubungi rakannya dari Darussyifa untuk membantu. Sebaik tiba, saya telah diruqyah dan mula meracau. Semua persoalan dan apa yang terjadi telah diceritakan satu persatu.
Selepas kembali sedar, suami dan ahli keluarga lain telah menceritakan segala-galanya kepada saya. Semasa dalam keadaan tidak sedar, saya seperti berada di alam yang lain.
Saya seperti melalui perjalanan dan dapat melihat seorang yang saya kenali iaitu rakan di tempat kerja saya telah bertemu dengan lelaki yang kelihatan seperti bomoh, melakukan ritual di tempat kerja saya dan juga mempunyai gambar keluarga kami yang di ambil dari media sosial. Ketika dalam keadaan tidak sedar itu juga saya telah menceritakan segala-galanya.
Ketika di tanya oleh ustaz, jin yang merasuk saya telah memberitahu bahaya dia dihantar untuk memporak-perandakan keluarga kami. Dia mahukan saya dan suami bercerai dan mahukan supaya perkahwinan kami tidak bahagia. Semuanya kerana sifat hasad dengki kerana melihat kebahagiaan kami sekeluarga.
Sebaik sedar, saya berasa sangat sedih dan terkilan kerana rakan sekerja saya sanggup untuk menyihir saya hanya kerana sifat hasad dengki. Walaupun suami menasihatkan saya untuk tidak terlalu percaya dengan apa yang terjadi kerana bimbang berlaku fitnah, tetapi naluri saya kuat mengatakan bahawa memang rakan saya tersebut telah menyihir kami sekeluarga.
Apabila saya ingat kembali memang terdapat beberapa peristiwa yang menguatkan naluri saya tersebut. Saya tidak pernah bercerita hal keluarga kami di pejabat. Cuma suami dan anak-anak pernah beberapa kali datang ke tempat kerja untuk menjemput dan mengambil saya.
Sejak dari hari itu, saya telah membuang semua gambar keluarga kami di media sosial. Begitu juga di media sosial suami. Saya mengambil nasihat suami untuk tidak menaruh dendam dan bersangka buruk.
Saya masih berkawan seperti biasa walaupun dia kelihatan menjauhkan diri. Cuma saya lebih berhati-hati dan menganggap apa yang telah terjadi sebagai ujian untuk kami lebih mendekatkan diri kepada Allah swt.
Seperti yang disyorkan oleh ustaz, kami mula menguatkan diri dengan mengamalkan bacaan Al-Mathurat, berzikir dan sentiasa bersolat di awal waktu. Sehingga hari ini, kami seperti dapat merasakan sihir itu masih dihantar dan akan berikhtiar sebolehnya. Selebihnya, kami serahkan kepada Allah swt.
Inilah antara pengalaman yang telah saya tempuhi berkenaan sihir. Memang sukar untuk dipercayai di zaman yang serba moden ini masih terdapat golongan yang mengamalkan perkara-perkara kurafat dan menyekutukan Allah swt.
Saya sentiasa berdoa andai kata benar atas apa yang telah terjadi, semoga Allah swt memberikan petunjuk dan hidayah-Nya dan penyihir tersebut sempat bertaubat dan kembali kepada ajaran-Nya.
Kepada pembaca, doakan saya dan keluarga terus kuat dalam menempuhi ujian ini dan kita semua dijauhkan dari perkara-perkara yang menyesatkan. Wallahu’alam.
Assalamualaikum.
Yang benar,
– Monalisa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit