Pertama sekali, aku nak ingatkan jangan terperdaya dengan tajuk confession ni. Aku bukan nak bagitau tips berniaga online ke apa ehh. Sebaliknya itu betul2 persoalan daripada aku.
Izinkan aku bercerita serba sedikit mengenai kehidupanku.
P/s : Ketika aku menulis confession ini, aku sedang cuti semester untuk tahun pengajian kedua.
Ibu bapaku bercerai kira2 10 tahun yang lalu, semasa aku masih berada di awal tahun persekolahan menengah. Aku terus terputus hubungan dengan ayah selepas itu. Sejak itu, aku dan adikku yang jarak umurnya hanya setahun dengan aku survive bersama ibuku berbekalkan duit EPF ibuku.
Tak lama selepas melahirkan adikku dahulu, ibuku berhenti kerja untuk membesarkan kami berdua sepenuhnya.
Ya, ibuku berkahwin lewat dan semasa kami sekolah menengah ibu sudah mencecah umur 50 tahun. Kami memang tak dapat apa2 nafkah dari ayah dan ibu juga tidak cukup duit untuk mengupah peguam untuk membawa masalah ini ke mahkamah.
Hidup kami serba cukup tapi betul2 cukup2 sahaja. Segala barang yang kami beli adalah barang yang betul2 keperluan sahaja. Aku dan adik tinggal di asrama semasa sekolah menengah, dan aku rasa itu sedikit sebanyak mengurangkan perbelanjaan ibu.
Kami pulang pun hanya semasa cuti sekolah sahaja, waktu outing pun kami tak bagi ibu datang sebab nak jimatkan duit minyak dan tol ibu. Alhamdulillah juga setiap bulan makcik dan nenek aku pasti akan memberi duit belanja dalam 100-150.
Bagi aku dan adikku, memang makan pakai kami cukup. Namun ketahuilah, setiap hari kami akan terkenang ibu makan apa agaknya hari ni. Setiap malam nak tidur aku selalu menangis memikirkan sampai bila kami akan hidup macam ni.
Hidup berbekalkan duit EPF ibu dan sumbangan dari makcik pakcik. Lambat laun, duit EPF ibu pasti habis. Kalau duit pencen tak pe la, setiap bulan dijamin akan dapat. Cara aku nak mengubat hati ni, aku selalu observe orang lain.
Macam kawan aku si A, walaupun kaya setiap tahun bercuti luar negara, tapi parents sentiasa sibuk, keluar pagi2 balik dekat tengah malam. Takde luangkan masa untuk dia dan adik beradik dia.
Si B pula, dia dah kehilangan ibunya sejak sekolah rendah. 2 orang rakanku inilah yang aku akan teringat bila mana aku bersedih mempersoalkan kehidupanku. Aku bersyukur sekurang2nya aku masih ada ibu yang rapat dan mesra dengan aku dan adik.
Oh ya! Mesti ada pembaca yang tertanya2 ibu aku tak cari pendapatan tambahan melalui berniaga atau apa2 ke.. Mestilah ada, ibuku amat terkenal di kalangan kawan2nya akan kesedapan kek coklat buatannya. Tapi ibu aku ambil tempahan daripada kawan2, family dan jiran terdekat je.
Dia takde la iklankan kat media sosial ke apa. Sebab ibu manalah larat nak buat banyak2, pulak tu dia sorang je buat. Aku dan adik kat asrama. Tapi bukan setiap bulan pun ada tempahan, kadang tu jiran sebelah tempah sebekas kek saiz tupperware 4 segi tu je, dapatlah dalam RM20.
Tapi kalau ada kawan ibu order untuk doorgift kahwin, tu masyuk sikit la, cumanya tempahan untuk doorgift tu boleh dikatakan setahun sekali je dapat tempahan. Kehidupan harian ibu dipenuhi dengan pergi ke kuliah dan kelas agama, di samping ajar anak2 jiran mengaji. Tapi ibu ajar mengaji percuma je, tak ambil bayaran pun.
Pejam celik pejam celik, aku dah pun habis SPM. Inilah masa yang aku nanti2kan, sebab aku rasa lepas SPM la peluang untuk aku cari duit tolong ibu. Aku meluahkan hasrat untuk bekerja kepada ibub disebabkan aku ada kira2 6 bulan sebelum masuk U. Namun hasratku ditentang oleh ibu.
Ibu kata, “Selama 5 tahun sekolah kakak dah lama berjauhan dengan ibu, cuti panjang ni duduklah rumah spend time puas2 dengan ibu sebelum kakak masuk U pulak nanti” .
Kata2 ibu membuatkan hatiku menjadi sayu, kerana ada benarnya juga kata2 ibu. Tambahan pula, selama aku di asrama, aku selalu paranoid. Aku selalu terbayang kalau tiba2 dapat panggilan yang mengatakan ibu dah tiada. Nauzubillahi min zalik.
Alhamdulillah aku dah tamat sekolah dah pun. Disebabkan rasa paranoid tu lah yang membuatkan aku rasa “Betullah, aku kena luangkan masa dengan ibu sementara cuti panjang ni”
Disebabkan tak boleh nak keluar bekerja, maka kerja online lah solution yang aku nampak. Aku pergi register Jobstreet untuk cari pekerjaan yang boleh buat dari rumah. Contohnya macam kerja key in data, jadi admin whatsapp, social media admin, pack parcel untuk pos ke..
Tapi hasil carian aku mendapati kerja2 macam ni still kena datang office juga. Tak lupa juga kerja2 macam melipat risalah, tapi bila orang tu reply kena bayar duit dulu memang aku reject terus la.
Next option yang aku ada ialah jadi dropship. Aku try jadi dropship tudung yang takde brand,sebab harga dia murah around RM10-20 je. Sesuai la untuk aku promote kat kawan2 yang juga masih bergelar student macam aku.
Aku post di ig story dan whatsapp group, tapi tak membuahkan sebarang hasil. Kawan2 dalam group whatsapp cuma reply “Wuuuu Lailerr (nama samaran) dah berniaga dah sekarang” “Lailerr bagi la free satu” “Aku beli, tapi kau yang bayar boleh” dan yang sewaktu dengannya.
Kat ig pula followers aku pun tak sampai 200, memang sendu je la. Ada classmate aku jual tudung juga, followers dia 800 lebih, ig shop dia pula dalam 200 lebih followers. Classmates aku ramai beli tudung dia, post gambar tag tudung dia. Aku pelik, sedangkan tudung aku jual lagi murah daripada tudung dia.
Dan di situlah pengakhiran usahaku untuk berniaga online. 6 bulan cuti lepas SPM dihabiskan dengan buat segala kerja2 rumah. Bulan pertama di kolej, aku homesick teramat sangat sebab dah 6 bulan berkepit dengan ibu.
Masa tengah homesick tu lah aku rasa bersyukur sangat sebab dapat luangkan masa setengah tahun dengan ibu. Sama juga macam time asrama dulu, midsem break dan sem break sahaja aku balik rumah.
Masa cuti sem 1, alhamdulillah ada rezeki orang tempah kek coklat ibu untuk doorgift. Jadi cuti aku dipenuhi dengan tolong ibu buat kek.
Sekarang cuti sem 2 aku baru bermula, namun takde apa2 tempahan lagi setakat ni. Aku tertanya2, betul ke berniaga online ni boleh kaya sangat sampai boleh beli kereta cash, beli rumah sendiri, bawa parents pergi umrah pakej VVIP..
Apa cara yang aku perlu perbaiki kalau nak berniaga online? Perlu ke join kelas2 marketing? Atau mana tahu ada sesiapa nak tawarkan aku kerja yang boleh dilakukan daripada rumah?
Btw, doakan result sem 2 aku dekan seperti sem 1.
Aku yang sedang buntu,
– Lailerrr (nama dipetik daripada Kampung People) (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit