Kenapa Dengan Diri Saya

Assalamualaikum para readers yang saya sayangi sekalian. Terima kasih admin kerana approve. Saya Wanie, berumur 21 tahun dan bekerja di Kuala Lumpur. Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, masih ada ibu dan ayah, dan mempunyai 2 orang kakak.

Saya seorang yang tersangat pendiam dan langsung tidak rapat dengan keluarga dan tidak mempunyai ramai kawan. Kadang-kadang saya jealous tengok orang bahagia bersama keluarga tersayang, dengan rakan-rakan, boleh berinteraksi dengan baik dan bergelak ketawa bersama. Namun saya tidak begitu.

Mungkin saya jadi begini disebabkan peristiwa zaman kanak-kanak saya yang tidaklah terlalu indah jika nak dibandingkan dengan kanak-kanak yang lain. Ini kerana, saya memiliki kulit yang gelap, berperwatakan kasar seperti lelaki dan langsung ‘tak comel’ lah di mata orang.

Sejak tadika saya dipulaukan rakan-rakan dan ada juga yang membuli saya, mengutuk fizikal saya. Pada zaman kanak-kanak saya seorang yang masih pandai bergaul. Akan tetapi, orang sekeliling ‘reject’ saya. Tak mahu kawan dengan saya.

Malah, keluarga sendiri kerap mengejek fizikal saya. Terutama dua orang kakak dan juga ibu saya. Mereka kerap mentertawakan fizikal saya sehingga saya rasa tertekan. Mereka mungkin ingat itu hanya senda gurau, tapi secara tak sedar telah ‘memakan’ diri saya dari dalam.

Cara layanan mama terhadap saya jika nak dibandingkan dengan adik beradik lain, sangat berbeza. Mungkin hanya perasaan saya, entahlah. Kadang-kadang saya cuba nak bersembang dengan mama ketika itu tapi apa yang saya dapat hanyalah jawapan acuh tak acuh mama terhadap saya.

Kadang-kadang sampai kena marah even saya hanya bertanya soalan. Tapi bila dengan kakak, bukan main lagi bergelak ketawa, sampai boleh luangkan masa menghina fizikal saya. Kedua-dua kakak saya seolah-olah membenci saya. Mungkin kerana fizikal saya atau mungkin juga dengan sikap saya yang kasar.

Kakak-kakak saya kalau boleh tak mahu rapat dengan saya. Mereka seperti jijik dengan saya. Kadang-kadang tersentuh bahu, tersentuh tangan dengan saya pun mereka macam “eiuuu!”, “ishhh!!!!” dan segala macam bunyi – bunyian yang menyakitkan hati saya.

Saya membesar menjadi seorang yang tiada keyakinan diri dan tidak lagi pandai bergaul. Bayangkan sewaktu darjah 3 hingga darjah 5, saya langsung tak ada kawan. Pergi rehat pun sorang-sorang. Tiada siapa yang kisah dan tiada siapa peduli seolah-olah saya tidak wujud di sekolah itu.

Bayangkan di usia itu saya sudah berhadapan dengan tekanan yang melampau, tapi tidaklah sampai tahap nak bunuh diri. Mungkin hanya depression. Asal balik dari sekolah saya akan menangis sorang-sorang dalam bilik. Mujurlah saya ada seorang sahabat karib (berlainan sekolah tetapi berjiran) yang sentiasa ada bersama saya dan tidak kisah dengan rupa saya.

Semakin saya meningkat dewasa hingga ke sekolah menengah, saya masih juga tiada keyakinan diri untuk bergaul. Sampai pergi rehat pun sorang-sorang. Ketika saya sudah meningkat remaja, rupa saya tidaklah seperti dahulu, saya mula jaga penampilan dan sudah tidak bersikap kasar.

Ketika itulah saya mula rasa pelik apabila ramai lelaki yang ingin berkenalan dengan saya dan menghantar surat, meminta nombor telefon dan sebagainya. Dahulunya saya dikenali sebagai seorang budak yang hodoh, apabila sudah berusia belasan tahun, ada juga yang meminati saya. Cepat masa berlalu.

Namun perkara itu membuatkan saya rasa tidak selesa. Saya sudah tiada keyakinan diri sama ada untuk berkawan mahupun bercinta monyet. Bukan saya tiada kawan, ada tetap ada tetapi kadang-kadang saya gemar memencilkan diri. Saya tidak pandai bergurau senda, berlawak kasar dan sebagainya. Saya hanya tahu bersembang secara biasa sahaja. Mereka pun takut nak bergurau dengan saya.

Begitu jugalah ketika zaman kolej. Tetap sama. Namun ketika di zaman kolej, saya bercinta dengan seorang lelaki yang sangat saya minati. Bertuahnya saya kerana dia pun menyimpan perasaan yang sama terhadap saya.

Ketika ini saya mula ada confident sedikit disebabkan teman lelaki saya seorang yang sangat mesra dengan semua orang, memiliki ramai kawan dan disayangi ramai. Amat berbeza dengan saya. Kadang-kadang saya jealous juga tengok life dia, tapi tak apa. Saya jadikan dia sebagai semangat saya untuk lebih berkeyakinan diri.

Apabila ada masalah, saya hanya bercerita dengannya. Nak cerita dengan mama or kakak, atau rakan-rakan, jauh sekali. Bukan nak menyombong dengan keluarga sendiri tapi, entahlah. Saya berasa segan untuk discuss perkara-perkara peribadi dengan mereka. Lagipun mereka nak dengar ke?

Apabila sudah tamat belajar, saya rasa makin banyak perubahan dalam diri saya secara tidak sedar. Saya jadi seorang yang cepat marah, semakin tidak pandai bergaul dan mudah menyakitkan hati orang lain tanpa saya sedar. Kadang-kadang teman lelaki saya pun kena marah disebabkan mood swing saya ni.

Saya juga tidak pandai layan budak-budak dan kadangkala saya berasa tidak suka dengan budak-budak terutamanya yang bersikap lasak dan hyper. Saya jadi rimas. Saya lebih suka terperap dalam bilik dan tidak mahu bertemu sesiapa.

Dengan family, lagilah. Langsung tidak rapat, apatah lagi nak bergurau. Tapi tidaklah sampai bermusuh. Cuma, mereka dah faham dengan sikap saya yang pendiam. Mereka dah tak menghina fizikal saya. Tapi kadang-kadang tu suka berkumpul dan bergosip.

Kadang-kadang saya tidak tidak suka diri saya. Saya rasa macam tak berguna dalam keluarga ini atau mungkin juga atas muka bumi? Tapi apabila tersedar, saya cepat-cepat beristighfar kepada Allah. Mana mungkin Dia menciptakan makhlukNya tanpa sebab. Pasti ada hikmahnya. Saya buntu bagaimana nak ubah diri saya.

Kalau dulu saya rasa orang sekeliling yang bermasalah, sekarang saya mula merasakan yang sayalah yang bermasalah. Saya merasakan ibarat meletak tembok pemisah dengan orang sekeliling dalam tempoh yang sangat lama sehingga orang jadi tak berani nak tegur saya.

Saya pergi kerja pun sekadar buat kerja apa adanya. Nak bersembang dengan rakan sekerja pun saya tiada minat. Saya banyak berdiam diri sahaja sambil siapkan kerja. Hanya bercakap bila perlu.

Sekarang apabila ada masalah, still saya akan bercerita dengan teman lelaki sahaja. Dengan orang lain, jauh sekali kerana terlalu segan. Dia sahaja orang yang betul-betul faham saya, sebab semua benda saya akan cerita dengan dia. Untungnya saya dapat kenal dengan insan yang baik seperti dia.

Dah 5 tahun kami bercinta. Kadang-kadang saya rasa sangat menyesal kerana dalam tempoh 5 tahun ini saya banyak marah-marah dia dan menjadikan dia tempat melepaskan kemarahan saya yang membuak-buak. Tapi dia tetap bersabar dan setia dengan saya sehingga kini.

Saya bukan membenci semua orang, saya sayang semua orang. Saya tidak mahu berdendam. Tapi semakin hari semakin parah tahap confident saya. Saya teringin nak beramah mesra dengan orang, terutama family saya, at least sebelum saya meninggalkan dunia ni, saya nak jadi diri saya yang sebenar-benarnya, tapi tetap tak boleh. Seperti ada sesuatu dalam diri yang menghalang.

Orang boleh nasihat itu dan ini tapi hanya saya sahaja yang tahu macam mana susahnya nak ubah. Saya hanya mampu memerhati sekeliling dengan pandangan kosong. Jealous tengok orang yang rapat dengan family mereka dan ada ramai kawan.

Kadang-kadang tertanya pada diri, “Aku ni depression ke?” Tapi saya 100% yakin yang saya tiada depression, cuma hilang keyakinan diri disebabkan pengalaman silam.

Walaubagaimanapun saya tetap bersyukur sebab masih dikurniakan kesihatan yang baik, usia yang panjang, ada family, ada kawann(walaupun tak ramai dan tak rapat), dan banyak lagi. Terima kasih Ya Allah. Ramai lagi insan yang kurang bernasib baik jika nak dibandingkan dengan saya. Saya patut bersyukur.

Kadang-kadang dalaman saya meronta-ronta dan mengatakan “Ini bukan diri aku yang sebenar. Aku nak jadi peramah, nak jadi normal macam orang lain tapi tak boleh. Aku benci diri aku yang pendiam”. Rasa macam mayat hidup pun ada.

Adakah perilaku saya ini ada kaitannya dengan zaman silam, sehingga saya hilang keyakinan diri sampai sekarang? Entahlah. Saya tak mahu ingat lagi pengalaman silam yang bagi saya , it’s not a big deal, benda dah lepas pun. Tak perlu nak diingatkan sangat dan saya tidak mahu berdendam pun.

Doakan saya semoga dapat berubah menjadi insan yang lebih baik dan lebih confident! Terima kasih kerana membaca.

– Wanie (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *