Anak Haruman Syurga

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum semua. Lama menjadi silent readers dalam page ni. Pagi ni tepat jam 04:58AM tergerak hati untuk menulis secebis cerita dari keluarga kecil aku. Moga apa yang cuba aku sampaikan ini menjadi kekuatan dan semangat buat semua pasangan yang belum dikurniakan rezeki untuk menimbang cahaya mata.

Kisah ini perihal kakak ku. Wanita yang sungguh kuat di mata aku. Wanita yang tabah mengharungi hidup dengan segala kata-kata kejam dari mulut manusia.

Aku mempunyai 3 orang adik beradik. 2 perempuan dan seorang lelaki. Aku anak kedua manakala kakak adalah anak sulung. Kami kematian ibu sejak aku berumur 6 tahun dan kini umurku sudah menganjak usia 27 tahun. Kami masih mempunyai ayah. keluarga kecil kami sungguh bahagia, tiada cacat celanya.

Kakak bernikah dengan pilihan hatinya ketika berusia muda 18 tahun dan suaminya 23 tahun. ketika itu aku masih bersekolah. Jarak usia kami adalah 4 tahun. Perkawinan kakak bersama suami bahagia walaupun tanpa kehadiran cahaya mata setelah bertahun lamanya bersama.

Kakak dahulunya tinggal bersama mertua di tempat mereka berkerja di selatan tanah air manakala kami pula ketika itu di pantai timur. Bertahun lamanya kakak menghadap cemuhan dari keluarga mertua tentang soal anak. bertahun lamanya hati kakak digores dan dilukai dengan kata-kata mereka.

Tak perlu aku ceritakan lebih banyak aib tentang perilaku keluarga mertua kakak. Kakak banyak mengadu soal keluarga mertuanya dengan airmata tapi apa daya bagi diriku yang hanya mampu menasihatinya agar bersabar setiap masa sampai satu masa kakak mengambil keputusan bijak untuk tinggal berasingan setelah 3 tahun tinggal bersama mertua.

Soalan tentang anak oleh rakan rakan sentiasa ada. Di laman sosial kakak jadi malu untuk sentiasa mengemaskini perihal dirinya kerana takut ada yang menegur tentang perkembangan dirinya.

Ada yang sibuk bertanya bila dia akan ada anak. Ada yang bertanya adakah dia mandul dan ada juga yang sentiasa berkongsi pautan tip untuk mendapatkan anak di facebook kakak sehingga dia malu dan mula menjadi seorang yang pendiam dan merendah diri.

Suami kakak? Aku bersyukur dia mendapat suami yang memahami. Abang ipar sorang yang baik dan tidak pernah sekali kakak bercerita tentang perangai buruk suaminya.

Suaminya sentiasa ada disisi saat jatuh bangun mereka. Suaminya tak pernah bercakap soal anak kerana baginya anak itu rezeki dari tuhan. Bila sudah sampai masanya akan Allah titipkan roh di rahim kakak. Itu kepercayaan mereka dari awal perkawinan mereka.

Setiap kali lebaran, kakak menjadi takut untuk berkumpul atau menerima kunjungan tetamu. Takut sekiranya disoal perihal anak. Aku tahu disebalik senyuman mereka ada pedih yang mereka simpan tiapkali melihat sanak-saudara yang mempunyai ramai anak-anak kecil. Apatah lagi keduanya memang seorang yang sukakan kanak-kanak.

Perbagai rawatan moden dan tradisional telah mereka cuba. Jamu, ubat ubatan, akar pokok kayu, berurut dan perbagai usaha telah mereka cuba. Aku tahu kerana kakak selalu berkongsi setiap ceritanya dengan aku. Tapi masih belum sampai rezekinya untuk punya cahaya mata.

Jika dahulu aku selalu berdoa pendek-pendek ketika solat kerana aku fikir aku sudah punya semuanya tapi sekarang aku dahulukan nama kakak setiap kali berdoa. Aku mahu dia bahagia, aku mahu dia punya cahaya mata. Aku berdoa moga seluruh dari kebahagiaan aku diberikan padanya. Biar sakit dan pedih hatinya itu diberikan kepada aku untuk aku tanggung selamanya.

Pernah satu hari ketika aku bercuti di rumahnya dan aku, kakak dan suaminya menonton tv bersama dan ada iklan bayi di tv kakak bertanya pada suaminya “kalau kita ada anak, abang nak anak perempuan ke lelaki?” suaminya menjawab “dah beratus kali sayang tanya, mestilah nak anak lelaki. Boleh ajar main bola” Dan ketika itu mereka ketawa bersama.

Sungguh, ketika itu sebaknya hatiku hanya tuhan yang tahu. Sakitnya perasaan aku ketika itu sehingga aku menangis di atas sejadah meminta lagi pada tuhan untuk sekian kalinya agar dititipkan anak yang soleh/solehah di rahim kakak.

Satu hari, kakak menelefon aku. Menangis. Aku terkejut dan bertanya kenapa. Kakak berkata bahawa dia mengandung. Sungguh, aku terkejut. Aku menangis. Aku rasa hari itu adalah hari paling bahagia dalam hidup aku. Hari itu juga aku mengambil cuti emergency dan ke rumahnya.

Sampai di rumahnya aku dan kakak melompat kegembiraan seperti kanak-kanak. Kami bahagia. Saat kakak memberitahu suaminya yang baru pulang kerja bahawa dia mengandung airmataku tumpah sekali lagi melihat suaminya gembira dan bersujud bila melihat alat uji kehamilan yang kakak tunjukkan kepadanya.

Peristiwa ini dah setahun berlalu, alhamdulillah tuhan menunaikan impian abang iparku untuk mempunyai anak lelaki dengan nama abdul warith abir sesuai dengan maksud ‘hamba yang mewarisi haruman’ dan dia akan mewarisi kebaikkan kedua orang tuanya.

Dialah kebahagiaan kami sekarang. Banyak coleteh dan ragamnya. Sentiasa menjadi penguat semangat kakak dan suaminya malah kami sekeluarga.

Coretan ini ditulis apabila tiba-tiba kakak muncul dan duduk dikatilku saat aku mahu tidur sebentar tadi. Dia ucapkan terima kasih sambil mengusap kepalaku walaupun aku tidak tahu atas apa ucapan itu diberi dan ketika itu aku menangis lagi hahaha.

Tuhan, aku terlalu menyayangi dia. Terima kasih kerana tunjukkan kepadaku bahawa kasih sayang mu mengatasi segalanya. Terima kasih kerana bahagiakan keluarga kecil mereka atas apa yang mereka tempuh sekian lamanya.

Kisah kakak membuat aku takut untuk berumahtangga. Takut sekiranya aku tidak kuat seperti kakak apabila berkait soal cahaya mata. Takut sekiranya aku salah membuat pilihan mencari pasangan.

Dengan usia aku sekarang rasanya dah tiba masanya aku fikirkan soalan perkawinan lagipun ayah dah mula bising hahaha. Aku harap kalian mendoakan aku agar kuat menjadi seperti kakak dan punya jodoh yang baik seperti suami kakak.

Anak itu haruman syurga. Dia datang dalam keadaan begitu suci, adakah ketika itu kita yang kotor ini bersedia untuk menjaga sesuatu yang datangnya dari syurga? Allah itu maha mengetahui bahawa kita ini bersedia atau tidak. Jangan persoalkan takdir, perbaiki diri dan dekatkan diri pada tuhan nescaya dia makbulkan apa yang tersirat dalam setiap hati hambaNya.

Wahai sekian isteri dan suami di luar sana. Yang masih mengharapkan kehadiran zuriat anak anak kecil dirumah kalian, sesungguhnya doa aku sentiasa bersama kalian. Aku mungkin tidak tahu betapa sakitnya pedih yang kalian tanggung tapi percayalah, setiap mendung yang tuhan berikan pasti akan ada sinar yang tidak kalian jangkakan.

Sentiasa bersabar dan berusaha. Moga satu hari nanti di rahim kalian akan ada nyawa yang memberikan kebahagiaan yang tak pernah kalian bayangan.

“Maka nikmat tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan.” (Al-rahman 13)

Salam sayang.

– Anis Nasuha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *