Episod Hitam Anggun

Assalamualaikum kepada semua pembaca. Pertama sekali, terima kasih kepada IIUM Confession sekiranya cerita ini disiarkan buat tatapan dan pengajaran kepada semua pembaca.

Tujuan aku menulis confession ini hanya untuk meluahkan apa yang telah terjadi sepanjang hidupku. Memandangkan telah banyak aku lalui, aku lebih senang untuk keep my circle small. Sebab bagi aku kawan time senang memang ramai, tetapi semasa susah boleh kira berapa yang ada, silap-silap langsung tak ada.

Aku lebih rela berseorangan walaupun kadang-kadang aku agak jealous dengan orang yang ramai kawan. Tapi aku hanya keseorangan. Pergi shopping, makan sorang tu benda yang dah lali dalam hidup aku.

Sebelum itu, aku perkenalkan diriku sebagai Anggun, berumur 27 tahun. Masih belum berkahwin dan insyaAllah akan melansungkan perkahwinan pada bulan November tahun ini. Aku datang dari keluarga yang sederhana. Aku mempunyai 3 adik beradik dan aku yang sulung. Ibu dan ayahku bercerai semasa aku berumur 6 tahun dan ketika itu adikku yang bongsu masih lagi dalam hari.

Punca penceraian disebabkan ayahku tergilakan sepupunya sendiri dan dalam masa yang sama nenekku tidak menyenangi ibuku. Ini disebabkan ibuku bukan setaraf dengan keluarganya yang agak berada ketika itu dan belajar setakat STPM sahaja. Ibuku tak dapat keizinan ayahku untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti kerana mereka baru sahaja berkahwin dan ayahku nak ibuku jadi surirumah sepenuh masa.

Semenjak mereka bercerai, ibuku ditinggal sehelai sepinggang bersama 3 orang anak yang masih kecil. Ayahku lansung tidak ambil peduli dengan kami. Nafkah pun lansung tak diberi. Alhamdulillah, ketika itu ibuku masih mempunyai arwah atuk dan nenek sebelah ibu. Mereka yang banyak support ibuku untuk terus bangkit. Ibuku mulakan dengan berniaga kecil-kecilan menjual kuih muih di kawasan kilang.

Pada mula nya agak sedih sebab banyak kali pulang dengan membawa lebihan kuih yang tidak habis terjual. Akhirnya hanya sedekah kepada jiran tetangga yang terdekat. Namun begitu, ia lansung tak mematahkan semangat ibuku. Alhamdulillah, hasil titik peluh ibuku dan akhirnya ibuku berjaya dapat berniaga di kantin sebuah kilang. Maka bermula episod ibuku menjadi seorang yang sangat sibuk, keluar rumah gelap, balik pun gelap.

Aku yang ketika itu masih 6 tahun seakan faham dengan penderitaan ibuku alami. Aku seakan faham tanggungjawab sebagai kakak yang sulung perlu menguruskan adik-adikku. Pada usia aku ketika itu, aku sudah pandai berdikari. Aku dah pandai buatkan susu, tukar pampers, mandikan adik-adik dan juga memasak. Ketika dalam kesibukan ibuku, agak sukar untuk aku bertemu dengan ibuku. Ibuku pergi ke kerja kami masih lagi tidur, bila ibu pulang kami sudah pun tertidur.

Masih teringat, aku menulis sepucuk nota untuk meminta duit rombongan. Dengan cara itu sahaja aku boleh berhubung dengan ibuku memendangkan pada ketika itu penggunaan handphone belum lagi popular. Semenjak dari hal itu, aku sentiasa motivate diriku untuk belajar bersungguh-sungguh dan alhamdulillah, aku berjaya dapat 5A dalam UPSR.

Kemudian aku ditawarkan ke sekolah berasrama penuh yang terbaik di Malaysia. Aku belajar bersungguh-sungguh dengan harapan aku boleh ubah nasib keluarga kecilku. Rezekiku sekali lagi, PMR aku berjaya dapat 8A. Aku berasa sangat gembira kerana hasil keputusan aku dapat menggembirakan ibuku yang selama ini bersusah payah membesarkan kami adik beradik.

Episod hitamku bermula ketika umurku 16 tahun. Berkenalan dengan seorang lelaki dewasa yang jarak umurnya ketika itu 7 tahun lebih tua dariku. Aku kenalkan dia sebagai S. Pada mulanya aku benci dengan dia sebab dia macam over acting.

Betul orang tua cakap, jangan benci nanti lama-lama jatuh sayang. Akhirnya aku pun jatuh hati padanya. Dia la insan yang pertama berjaya memikat hatiku. Aku yang sebelum ini tak pernah bercinta, aku seakan gila dengan dia. Aku ketika itu masih bersekolah asrama. Kalau cuti sekolah, aku akan keluar dengan dia. Kemana-mana kami bersama macam belangkas.

Dia banyak ajar aku erti kehidupan dan motivate aku untuk terus belajar. Bagi aku, dia sumber inspirasi bagi aku kerana pada umur dia ketika itu dia sudahpun menjadi supervisor di sebuah company oil and gas. Jadinya aku selalu cabar diri aku untuk belajar rajin-rajin supaya aku dapat buktikan yang aku boleh jadi seorang yang berkerjaya lebih baik darinya.

Ku sangkakan kan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Semasa aku sedang menghitung hari untuk menghadapi SPM, aku menerima khabar yang S sudah pun melansungkan perkahwinan dengan seorang perempuan satu kampung dengannya. Ketika aku dapat perkhabaran tersebut, aku bagai hilang arah. Aku betul frust dan hari-hari menangis.

Aku ditinggalkan tanpa sebarang penjelasan. Disebabkan itu, aku tidak mendapat keputusan straight A dalam SPM. Walau bagaimanapun, aku berjaya juga move on lepas beberapa bulan. Aku tidak pernah lupakan dia. Aku masih ingat setiap perkara tentang dia sehingga hari ini.

Ketika aku melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, S sekali lagi hadir dalam hidupku memohon kemaafan ketika umurku 21 tahun. S memberitahu ketika itu dia tidak mahu ganggu aku belajar dan ingin aku mengejar cita-cita aku. Disebabkan perasaan sayang dan cinta pertama yang tidak pernah hilang, aku sekali lagi terjerat dalam percintaan walaupun aku tahu statusnya sebagai suami orang.

S yang aku kenal sama seperti dahulu. Kami sering kali mengimbau kenangan semasa kami bercinta 4 tahun yang lepas. Aku bersyukur S kembali kepadaku semula. S melamarku untuk menjadi isterinya tetapi isterinya yang kedua. Alasannya ingin berkahwin kerana mahu zuriat memandangkan perkahwinannya dengan isteri pertama belum lagi mendapat rezeki. Kerana sayang dan cinta aku bersetuju dan kami nikah di Thailand tanpa restu ibu bapaku.

Namun begitu, berita perkahwinan kami akhirnya sampai di pengetahuan isteri pertama. Aku kenalkan dia sebagai A. A ketika itu bagai orang gila sehingga sanggup menggugut untuk menyerangku di kampus tempatku belajar. A telah memberitahu kedua-dua belah keluarga S dan dia. Adik-beradik A mula menyerangku. S menjadi sangat tertekan dan begitu juga aku. Kami sering bergaduh dan bertekak.

Perkara yang lebih memeranjatkan aku, rupa-rupanya semasa kami bernikah A sedang sarat mengandung. Bertambah tertekannya aku ketika itu kerana mendapat tahu yang S menipu aku. S membuat keputusan untuk menyewakan aku sebuah rumah yang agak terpencil dan jauh dari tempatku belajar.

Sejak isu pernikahan kami terbongkar, S jarang pulang ke rumahku walaupun aku meminta untuk berlaku adil. A memberi kata putus kepada S sama ada memilihku ataupun A. Aku ketika itu hanya keseorangan, tiada tempat untuk mengadu. Ditinggalkan di rumah berseorangan. S seperti lepas tangan dan ikut sahaja apa yang diarahkan keluarga dan juga A.

Akhirnya, aku membuat keputusan untuk memberitahu perkara sebenar kepada ibuku. Ibuku sangat sedih, begitu juga ayahku. Akhirnya, ayahku meminta S untuk menceraikan aku. Pada mulanya S tidak mahu menginggalkanku. Tapi atas desakanku untuk dia tampil bertanggungjawab dan selesaikan masalah yang berlaku, akhirnya S menceraikan aku dengan talak 1. S seakan menyalahkan aku dengan apa yang terjadi. S cakap penceraian ini adalah kehendakku. Aku sedih, aku meraung. Sekali lagi aku hilang arah.

Jika sebelum ini aku seorang yang tidak tinggal solat, solat sunat, mengaji. Aku seakan-akan marah pada Allah memberi ujian sebesar ini kepadaku. Aku marah sebab Allah tak makbulkan doaku untuk kuatkan jodohku dengan S. Walhal aku sering berdoa, sekiranya S jodohku dekatkan lah. Sekiranya tidak, jauhkan. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang.

Sejak daripada itu, aku mula leka. Aku lupakan Allah. Aku salahkan Allah. Aku marah sebab Allah ambil S dari hidupku. Aku marah kenapa Allah jodohkan aku juga dengan S, tapi akhirnya Dia ambil S dari aku. Aku selalu persoalkan kenapa Allah uji aku macam ni? Aku bagai hilang iman. Aku jadi seorang pendendam apabila melihat kebahagiaan yang S ada sekarang apabila aku stalk instagram A. Aku sedih, kenapa S bahagia tetapi tidak aku?

Disebabkan kemarahan aku, aku mula melanggar perintah Allah. Aku tidak berhijab, color kan rambut. Aku mula hisap rokok, ambil dadah dan minum arak. Aku berparti setiap malam. Setiap kali aku mabuk, aku menangis kenapa Allah ambil S dari aku. Aku yang dahulu seorang yang innocent sekarang menjadi seorang yang sangat liar. Kenapa S tak rasa apa yang aku rasa sakitnya hati ini.

Pemikiran aku ketika itu, walaupun aku sembahyang cukup 5 waktu pun aku dah pun diuji sebegitu teruk. Pada aku lebih baik langgar perintah Allah. Astaghfirullah, betapa jahilnya aku ketika itu. Namun begitu, tidak sekali Allah menghukumku. Betapa sayangnya Allah kepada aku hamba yang kerdil lagi hina ini.

Setelah masuk alam perkerjaan, aku mula berubah. Aku berkenalan dengan bakal suamiku sekarang. Aku kenalkan sebagai Z. Z banyak mengubah bad habit aku. Sekarang aku dah stop semua dan mula berhijab. Sekarang baru aku sedar, Allah sebaik-baik perancang. Allah lebih mengetahui segalanya dari hambanya yang jahil lagi hina seperti aku. Mungkin sekiranya Allah jodohkan aku dengan S, aku tak bahagia. Segala yang berlaku ada hikmahnya.

Aku bersyukur kerana Allah menjaga aibku sehingga sekarang walaupun aku pernah membenciNya. Setelah apa yang berlaku, baru aku sedar. Sesungguhnya Allah nak sedarkan aku yang sayang dan cinta kepada manusia tidak boleh melebih-lebih. Bagi aku, ujian yang diberinya menunjukkan Allah masih sayang padaku. Allhamdulillah. Ampunkan segala dosaku ya Allah.

Sampai sini sahaja nukilanku, terima kasih atas yang sudi membaca luahaan ini. Doakan aku bahagia dan kuat untuk menempuh ranjau kehidupan ini sehingga sampai ke akhir hayatku. Doakan aku murah rezeki dan diampunkan dosa oleh Allah SWT. Aamiin.

– Anggun (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *