Tulisan ini dihantar sebagai respon kepada tulisan Pn Diana, “Suami Kedekut, Apa Nak Buat”. Boleh baca confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/suami-kedekut-apa-nak-buat/).
Aku dah berumahtangga lebih kurang Pn Diana, dan seperti beliau juga aku dan suami golongan professional penjawat awam. Aku punya 3 anak dan telah mendirikan bahtera rumahtangga hampir 15 tahun.
Aku juga sayangkan suami dan rumahtangga, namun berpada-pada. Tulisan ini bukan untuk isteri yang sanggup melepaskan hak nafkah daripada suami dan bukan juga untuk isteri yang percayakan 100% suami.
Jika pembaca bukan golongan di atas sila teruskan bacaan. Jika tidak bersetuju, ada aku kisah?
Suami aku sewaktu awal kahwin, tiada pekerjaan tetap. Beliau menyambung pelajaran hingga peringkat ijazah sarjana sepanjang perkahwinan kami hinggalah tahun lepas, baru beliau mendapat tawaran kerja tetap di sektor kerajaan.
Oleh kerana tiada kerja tetap sebelum ini, maka tiadalah pendapatan untuk keluarga. Hampir ke semua perbelanjaan di atas pundak bahu aku.
Oleh yang demikian, aku sering tertekan dan marah. Apa yang aku buat?
Setiap kali aku marah, aku akan menyimpan sejumlah wang di dalam beberapa akaun rahsia. Kalau hari tersebut aku sangat marah, aku akan menyimpan sejumlah wang banyak, nilainya meningkat mengikut tahap kemarahan aku.
Aku bukan jenis marah mulut, atau pecahkan barang atau apa-apa tindakan mencederakan sesiapa, tapi bila marah, aku menyimpan duit, aku akan lega dan ini salah satu terapi aku sepanjang perkahwinan aku sebelum suami mendapat kerja tetap. Dan simpanan ini adalah rahsia.
Apa yang aku buat dengan simpanan tersebut? Pertamanya aku akan simpan simpanan rahsia tersebut di dalam pelaburan yang mendatangkan keuntungan tahunan.
Disebabkan ini rahsia, aku tidak boleh menyimpan di dalam Tabung Haji atau ASB, kerana kedua-dua akaun ini boleh diakses melalui Maybank, dan suami aku tahu semua ID dan password.
Strategi aku untuk kurangkan pergaduhan dengan membenarkan suami mempunyai akses kepada salah satu akuan aku, supaya suami aku tak curiga. Akaun lainnya adalah rahsia, terutama akaun gaji aku. Aku membuat overdraft (OD) di bank dengan kadar keuntungan 4% setahun.
Sijil OD aku simpan tanpa pengetahuan sesiapa. Kemudian aku melabur di dalam koperasi tempat kerja aku, dengan kadar keuntungan 7% setahun, penyata aku simpan tanpa pengetahuan sesiapa. Hasil simpanan rahsia ini, membolehkan aku menikmati ribuan ringgit dividen setiap tahun.
Oleh kerana aku banyak menyimpan duit tanpa pengetahuan suami, aku berjaya membida beberapa rumah lelong, dan membeli rumah tersebut secara cash. Semua rumah ini adalah nama aku seorang. Ini aku tak dapat sorokkan daripada suami.
Apa yang baiknya suami aku ini, dia tidak mengawal urusan gaji aku, dan tidak mengawal apa yang aku mahu beli. Syukur.
Semenjak suami aku bekerja tetap, dan ada gaji, aku terus bersara daripada menanggung makan minum keluarga. Mulanya agak ganjil kerana selama ini aku menanggung, tapi aku bertegas.
Aku sudah manjakan suami selama ini, dan sekarang beliau perlu berfungsi sebagai suami sepenuhnya. Tempat tinggal, makan minum, bil semua suami aku yang tanggung. Aku dah tak beri muka.
Oh ya, suami aku seperti suami Pn Diana, dihormati masyarakat sekeliling. Malukan nak hebohkan kekurangannya pada orang lain.
Meskipun begitu, aku masih menanggung separuh perbelanjaan sekolah anak, makan mewah sekali sekala dan percutian, membeli hadiah mahal untuk suami, menjadi bank segera jika suami terdesak memerlukan wang sekali-sekala etc, aku niatkan ini sedekah buat keluarga.
Aku pastikan gaji aku terikat dengan komitmen baik. Aku membuat pinjaman perumahan, pinjaman ASB1 dan ASB2 maksimum, insurance diri dan tinggalkan sedikit baki gaji untuk perbelanjaan aku, di samping habit menyimpan secara rahsia.
Jadi suami aku tiada ruang untuk mempersoalkan di mana gaji aku, sebab kebanyakannya telah aku tambat dengan komitmen baik, untuk masa depan keluarga aku juga.
Aku terpaksa buat semua ini demi masa depan anak-anak dan pelajaran mereka. Aku melantik peguam untuk menguruskan harta dan simpanan ini jika aku meninggal dunia.
Aku sayangkan suami dan keluarga, tetapi ada batasnya. Aku perlu kaedah ini sebagai terapi diri, tak berfaedah menjeruk rasa tanpa hasil lagi sia-sia. Setakat ini, metod simpanan rahsia aku berjaya dan aku gembira.
Buat Pn Diana dan yang senasib, mungkin boleh mencuba kaedah simpanan rahsia, mulakan dengan jumlah kecil, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Ingat, isteri perlu berdisiplin simpan duit, sebahagiannya simpanlah secara rahsia.
Selamat mahu jaya.
– Isteri Genius (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Inspiring Reading!