Hancurnya Kerjaya Kerana BFF

Hai, semua! Aku nak share perihal bff yang berjaya merosakkan kerjaya aku. Sebelum tu, meh aku nak intro. Masa aku kat universiti, aku memang bersahabat baik dengan Fify (bukan nama sebenar). Dia ni sama jurusan, cuma dia masuk lewat 1 sem dari aku.

So, ada subjek yang kami sama kelas dan ada yang berbeza. Kami rapat bukan sebab sekelas tapi sebab banyak join event universiti sama-sama. Kat mana ada dia, mesti ada aku. Kira kami ni macam belangkas lah. Ada ja event, mesti kami join.

Aku sampai bergaduh dengan teman lelaki Fify, Joe. Joe boleh cakap yang Fify ni sibuk sangat dengan event. Nanti mesti asyik gagal exam dan tak da masa depan. Aku punya menyirap sampai tak bertegur sapa dengan si Joe. Yelah, cubit peha kanan, peha kiri terasa.

Fify pulak. Cinta itu buta. Dia sibuk nak bagi aku baik balik dengan Joe. Aku tau Joe tu budak baik, tapi apa hak dia nak meramal masa depan Fify? Tu je yang aku marah sangat. Tapi, aku tak da lah sampai suruh Fify putus dengan Joe. Cuma aku perlu masa untuk sejukkan hati aku dengan kata-kata Joe.

Alhamdulillah, masa aku tamat belajar, aku terus dapat kerja di satu syarikat ni. Rezeki aku. Fify pulak kena extend sebab ada gagal beberapa subjek. Fify down sampai nak berhenti belajar sebab tak mampu dah nak tanggung yuran belajar dia. Mak ayah dia pun dah bising-bising dengan dia. Aku pulak paksa dia habiskan belajar dan sanggup support sikit-sikit perbelanjaan dia sebab dia dah tak dapat PTPTN masa extend.

Mulanya aku tak berkira. Tapi aku sentap bila dia mula bercerita yang dia beli itu ini. Contohnya, beg tangan tu harga RM450. Tapi offer tinggal RM150. So dia beli. Fify ni kaki shopping. Banyak lagilah dia boleh shopping sampai aku rasa macam sia-sia usaha aku. Gaji aku tak besar mana. Sebab nak tolong dia, aku ikat perut. Kalau aku teringin sesuatu, aku tak beli sebab kena jimat. Nak tanggung adik-adik aku lagi. Nak tanggung dia lagi.

Korang faham tak perasaan aku? Mulanya aku ikhlas, tapi lama-lama aku macam dah malas nak tolong dia. Hidup pelajar universiti lagi mewah daripada hidup aku? Bukan aku dengki, tapi aku rasa tak patut dan rasa sumbangan kecil aku untuk dia tak dihargai. Aku dah kurang layan dia. Dia asyik merungut tak da duit. Tapi mampu beli barang yang aku pun takkan beli sebab mahal? Aku nak dia belajar bersyukur. Maka, aku biarkan dia.

Meh aku cerita kisah aku kat tempat kerja. Masa ni seronok sangat. Team aku pun ada dalam 4 orang je. Kerja sangat best. Kawan-kawan kerja pun best. Kira semua yang baik-baik je antara kerja & kawan kerja.

Sampailah suatu hari, bos aku suarakan untuk cari orang baru. Kebetulan Fify baru habis belajar. Aku pun minta dia hantar resume. Ada juga aku uar-uarkan kat media sosial. Sesiapa yang emel resume, aku akan bagi kat bos, termasuk resume Fify.

Dan bila bos perasan yang aku dan Fify satu universiti, bos tanya sama ada aku kenal Fify & dia bagus atau tak. Jawapan aku, Fify tu junior. Aku tak rapat sangat. Aku tak pernah mengaku Fify tu BFF aku sebab aku tak nak berat sebelah.

Nasib menyebelahi Fify. Dia dapat kerja satu ofis dengan aku. Fify cuba show off yang aku ni BFF dia. Aku pulak naik segan sebab aku ada BFF juga kat ofis. Nama dia Ayu. Aku tak nak lah Ayu rasa aku tinggal dia macam tu je bila Fify datang.

So, aku berkawan dengan semua macam biasa. Aku tak nak tonjolkan yang Fify rapat dengan aku. Nanti orang ingat aku berat sebelah, masukkan BFF aku kerja kat sini. Aku dah terangkan pada Fify. Tapi, dia tak faham dan bertindak ikut kepala dia.

Cerita luar ofis kejap. Aku tengah plan nak kahwin dengan suami aku masa tu. Nak dijadikan cerita, Fify tak suka suami aku. Dia bertindak dalam diam hantar mesej kat Aril (sahabat baik aku dari zaman sekolah, tapi aku tak da hati dengab Aril) suruh meminang aku.

Fify jugak mesej adik aku suruh bagitau kat parents aku untuk suruh Aril masuk meminang. Kebetulan Aril memang dari kecil selalu datang rumah aku dan rapat dengan aku. Fify kenal Aril pun sebab ada la dua tiga kali jumpa Aril masa dia cuti dan dia datang universiti aku.

Adik aku bocorkan rahsia tu sebab dia rasa Fify tak patut buat macam tu. Aku berang sebab sampai ke tahap tu Fify bertindak? Sedangkan dia tahu aku dan Aril hanya sahabat karib.

Aril pulak, bila aku tekan tanya baru mengaku yang Fify ada mesej dia. Sebelum tu dia mendiamkan isu tu sebab nak jaga persahabatan aku dengan Fify. Aril nasihatkan aku untuk tak marahkan Fify. Biarkan sahaja. Dan aku hanya perlu fokus pada persiapan perkahwinan aku dan suami aku.

Maka, aku hadap Fify macam biasa kat ofis. Menahan rasa nak marah. Sebab, aku bengang dengan Joe pun aku tak lah sampai nak dia putus dengan Joe. Ni, pasal aku? Sampai hati dia cari segala macam cara nak pisahkan aku dengan suami aku. Aku dah mula ignore Fify sebab dia masih buat muka tak bersalah depan aku dan tak pernah mengaku apa yang dia buat. Kat ofis, dia cuba tarik perhatian aku.

Fify cemburu bila aku rapat dengan Ayu. Fify pun dah mengaku kat bos aku yang kami BFF. Dan Fify meluah rasa kat bos aku pasal aku tak layan dia sangat. Drama air mata. Sepanjang aku kerja, aku tak pernah nak share hal peribadi dengan bos aku sebab aku taknak campur adukkan urusan kerja dengan peribadi. Dan aku taknak urusan peribadi tu jadi isu bila ada masalah pasal kerja.

Ternyata bos aku kesian dan terkesan dengan drama air mata Fify tu. Bos aku ni sejenis yang mudah simpati. Lepas tu, bos aku cuba korek cerita dari aku tapi aku tak buka cerita. Maka, bos aku mendengar cerita sebelah pihak.

Suatu hari, seorang dari team aku berhenti kerja. Bos minta cari orang baru lagi. Kebetulan, ada resume Aril. Aku serahkan resume Aril.

Betapa seronoknya Fify mengalahkan aku bila dapat tahu Aril akan kerja satu pejabat dengan kami. Aku? Biasa-biasa ja. Fify dah mula cerita yang Aril tu BFF kami. Kami?? Eh, sejak bila jadi kami?? Sebab dia jumpa Aril pun 2 3 kali je masa zaman belajar.

Ok fine. BFF aku, BFF Fify jugak. Tapi, Ayu tu?? Tak da pulak dia nak jadikan BFF. Asyik cemburu dan buat drama air mata sampai Ayu selalu tersepit dan jadi bahan untuk lepaskan perasaan bos aku dan Fify.

Bos aku ni tunggu masa je nak attack aku yang agak suka melawan (aku sejenis yang suka voice out kalau nampak benda tak kena) ni tapi tak boleh sebab tak da point untuk dia attack hal peribadi sebab kerja aku semua baik-baik saja. Aku tau bos aku marah aku sebab hal peribadi, iaitu sebab aku ignore Fify dan bos aku dah terpedaya dengan drama air mata Fify.

Aril yang dah kenal drama Fify akan sebelahkan aku. Macam-macam Fify buat untuk tarik perhatian dan simpati semua orang termasuk drama air mata kat ofis aku. Aku? Masih malas layan dan buat-buat macam tak ada apa yang terjadi. Asalkan kerja aku tip top.

Aku dah mula sekadar pergi kerja & balik kerja. Aku dah tak suka havoc2 kat ofis macam dulu2. Sebab orang dah start pandang serong kat aku. Diorang bagi hint. Aku faham. Fify memang terbaik dalam hal ‘play victim’ dan aku biarkan saja.

Hari demi hari. 2 tahun berlalu. Aku sampai dah kahwin dan dah ada anak. Fify masih tak berubah. Dia masih belum puas dengan aku. Agendanya diteruskan seperti biasa. Dan aku? Aku dianggap kian berubah. Bos aku pun suarakan yang aku banyak berubah. Kononnya aku tak banyak cakap dan tak seceria dulu.

Sifat ‘concern’ si Fify yang buat andaian aku selalu bergaduh dengan suami aku dan aku letih dengan anak aku tu sampai bos aku pun anggap benda yang sama. Tanpa bukti. Sekadar andaian berdasarkan pemerhatian Fify dan Fify amat ‘kenal’ suami aku kononnya. Sedangkan aku berubah kerana aku bosan dan letih nak melayan Fify dan bos aku yang banyak berdrama.

Hari demi hari. Nanah di dalam hati kian meletup. Aku merasakan hidup aku tak adil. Saat bos aku dah mencampur adukkan hal peribadi dan urusan kerja. Entah apa yang Fify buat. Bos aku cuba provoke aku. Bila tak berjaya, dia ignore aku selepas cubaan sakitkan hati aku tidak berjaya.

Mula2 aku okay. Tapi, hal kerja pun bos aku ignore aku. Aku nak ajak bos aku berbincang. Betapa tinggi egonya. Terjerit sana sini nak perli aku tapi taknak cakap dengan aku. Aku nak cuba jernihkan keadaan. Disebabkan bos aku tak nak dengar, aku tulis surat resign. Dan bos aku terdiam bila baca. Alasan resign, suami aku suruh duduk rumah nak jaga anak.

Cepatnya bos aku buat assumption yang selama ni aku ‘buat perangai’ sebab suami aku. Ni tiba2 aku hantar surat resign pulak. Susah nak fahamkan bos aku. Bos aku siap ‘brainwash’ aku, kalau ada masalah kat rumah jangan bawa ke tempat kerja.

Dan, takkan aku nak cerita semua ni berpunca dari Fify? Takkan aku nak cerita apa Fify buat? Dah macam aku tuduh Fify. Benda susah nak terangkan sebab Fify buat semua ni secara play victim dan secara dia concern pasal aku. Aku yang tak appreciate apa dia buat bila aku tak layan kehendak dia.

Bos aku pulak sejenis yang suka serkap jarang. Dia tazkirahkan aku berkenaan jangan suka buat andaian dan judge orang. Sedangkan aku tak buat apa-apa. Bos aku dan Fify yang suka buat andaian dan judge aku. Bos aku yang terpercaya fitnah si Fify. Bila aku kata, aku tak ada judge orang, bos aku cakap, dia nasihat ni untuk diri dia sendiri jugak.

Bukan nak hentam aku (walau cara dia ceramah aku tu dah macam confirm aku buat hal). Aku tahu yang bos aku termalu sendiri, tapi tak pernah keluar ucapan memohon kemaafan. Alasannya? Boss is always boss. Boss is always right. Tingginya ego boss aku yang sentiasa menjaga ‘pride’ dan pengaruhnya.

Aku dah tak mampu bertahan di bawah naungan bos yang beremosi dan berat sebelah. Semakin hari, bos aku dan Fify semakin menjadi-jadi. Semakin tak profesional. Dah macam budak sekolah je perangai. Aku tak pernah meluah rasa. Rupanya, Ayu dan beberapa kawan aku kat ofis pun perasan, cuma mereka tak berani nak suarakan. Masing-masing buat tak oerasan sebab malas nak melayan meroyan bos aku ada sahaja tak kena di mata bos aku. Senang sangat terpalit dengan drama air mata Fify.

Aku tahu, Fify sebenarnya terlalu sayang akan aku sampai tak boleh terima bila orang lain rapat dengan aku. Cuma, tindakan keterlaluan Fify membuatkan aku tak boleh terima dan rapat dengannya lagi. Hal semakin rumit apabila perbagai andaian dan judgement dia buat. Ternyata dia merosakkan aku walau aku tak layan. Lebih rumit apabila ada campur tangan bos aku yang tak profesional. Aku tahu, bos aku tu manusia biasa. Tapi, teruk sangat dia punya tak profesional.

Kini, aku menanti hari untuk berhenti kerja. Sukar untuk aku buat keputusan kerana aku sangat gembira dengan kerjaya aku. Namun, apa guna berada dalam situasi yang serabut lagi menjengkelkan ini. Aku pilih untuk duduk rumah dan tumpukan perhatian pada anak aku. Aku ada perancangan untuk bekerja dari rumah. Aku perlu keluar dari suasana yang tidak sihat untuk mental aku.

Ternyata, agenda Fify berjaya. Aku dah pun berhenti kerja. Dan Fify yang suka mencari perhatian akan terus menggunakan taktik yang sama untuk menjatuhkan Ayu dan rakan-rakan aku yang lain.

Aku doakan rakan sekerja aku diberi kesabaran untuk menghadapi segala drama Fify dan bos aku. Tak apa. Allah ada. Dan Allah tahu segalanya.

Pengajaran buatku. Jangan terlalu percayakan BFF sendiri. Hingga menghancurkan kerjaya aku. Namun, aku tak pernah menyesal. Allah buka jalan untuk aku lebih kenal siapa Fify dan aku akan lebih berhati-hati selepas ini.

Sekian, coretan aku.

– Ayra (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *