Assalamualaikum. Aku Seri. Nak cerita kisah mak aku yang jadi balu di usia muda. 37 tahun usia mak waktu tu. Semasa arwah ayah aku meninggal, mak aku ada 7 orang anak. Mak aku mulanya suri rumah, dek kerana gaji arwah ayah tak cukup untuk menampung ahli keluarga yang kian bertambah dan membesar.
Mak aku slowly berniaga dari kecil-kecilan sampai ada perniagaan tetap. Malah mak mampu membeli emas dan aset. Kemudian masa perniagaan mak tengah stabil, masa tu arwah ayah dapat berpindah ke negeri asal. Jadi kami pun telah berpindah di tempat baru dan kat tempat baru masa tu mak dah tak berniaga atas faktor lokasi tak sesuai dan tak berbaloi. Tak lama lepas pindah tu arwah ayah meninggal dunia secara mengejut.
Waktu itu mak aku dalam keadaan bingung, termenung, rasa hilang punca. Namun mak aku tidak menitiskan air mata di hadapan kami. Hanya hari pertama yang arwah ayah aku meninggal, aku lihat air mata emak. Lepas tu mak banyak diam. Mak sejenis yang bila stress hanya duduk termenung. Anak-anak masih kecil, tiada punca pendapatan. Mak sebatang kara tiada adik beradik. Arwah ayah pula hanya ada seorang adik perempuan.
Kami adik beradik pula masa tu sekolah jauh-jauh, jadi aku yang sekolah dekat rumah jadi yang sulung di rumah. Masa tu lah aku berkenalan dgn faraid, amanah raya. Aku selak buku-buku fekah yang arwah ayah aku tinggalkan. Arwah ayah ustaz. Suka membaca.
Gaji arwah ayah masa tu cukup-cukup makan… tapi ayah tak lupa beri duit pada atuk dan nenek, malah arwah ayah banyak bantu mak saudara aku masa dia belajar sampai dah kahwin. Harta yang ayah tinggalkan tak banyak, dan aku juga tahu ada bahagian mak aku dalam membelinya tapi guna nama arwah ayah. Masa mak berniaga dulu ada la duit, baru la kami dapat rasa pakai baju baru sikit dan makan sedap sikit.
Keluarga ayah yang jauh-jauh (selain adik ayah dan atuk nenek) mereka sibuk bertanya harta peninggalan ayah. Katanya perlu bahagi ikut hukum agama. Masa tu aku sekolah rendah. Dan aku berfikir ada sebab kenapa pembahagian harta dalam islam begitu. Orang lelaki besar peranan dan tanggungjawab dalam keluarga, bukan setakat dapat harta dan tuntut hak. Lepas tu say bye bye.
Orang lelaki ada tanggungjawab bagi nafkah. Mak aku kurang ilmu agama walaupun arwah ayah ustaz. Mak dari muda sibuk menguruskan suami dan anak-anak. Aku tahu pun kerana aku banyak share dengan mak apa belajar di sekolah dan mengajar mak mengaji untuk sedekah kat arwah ayah. Aku bantu gali ilmu untuk mak bila ditekan saudara-saudara jauh ni.
Sungguh mak tersepit waktu tu, banyak benda kena fikir. Mak tak pandai bawa kereta, hilang pergantungan. Akulah yang beli barang dapur lepas balik sekolah, bayarkan bil-bil rumah. Asalnya aku pemalu dan sama macam kanak-kanak lain, suka bermain. Tapi ketentuan Allah buatkan aku masa tu dah berfikir seperti orang dewasa.
Aku tak malu berurusan di pejabat-pejabat, menjadi wakil ibu bapa untuk adik-adikku di sekolah dan tadika. Aku nak bekerja, tapi mak tak bagi. Mak risau keselamatan aku. Mak banyak bertanya pendapat aku untuk sebarang urusan. Dengan kelulusan mak waktu tu, kalau mak bekerja, gaji yang dapat pasti tak seberapa. Adik-adik akan tentu terabai kerana harapkan kudrat aku seorang untuk mengurus.
Masa tu juga aku yang bantu menjaga mak pantang kerana masa arwah ayah meninggal, mak aku mengandung yang bongsu. Aku waktu tu tinggal 2 bulan nak UPSR masa tu. Kesempitan hidup buat aku tanam azam untuk dapat keputusan cemerlang. Padahal asalnya aku jenis main kat sekolah.
Hutang-hutang arwah ayah, mak uruskan. Nasib arwah ayah ada hutang wajib sahaja, sementara nak urus prosesnya masih kena bayar. Kereta dijual untuk di faraid, barang kemas mak juga dijual untuk kelangsungan hidup kami sementara nak dapat kesepakatan dalam pembahagian harta dan prosesnya. Simpanan emak makin menyusut. Mak tunaikan badal haji arwah ayah.
Akhirnya ada kawan arwah ayah dan mak, nasihat emak untuk guna amanah raya. Kawan arwah ayah dan mak ni balu juga. Pengalaman serupa. Balance harta lepas tolak hutang dll, yang ada taklah banyak mana. Tapi campur tangan saudara-saudara ni, buat lagi merumitkan.
Aku yang teman mak ke amanah raya. Ahli keluarga terlibat sahaja yang dipanggil masuk bilik walaupun ramai yang mengiring. Excited kot nak tau dan sibuk-sibuk. Nenek atuk dan mak saudara akhirnya menolak, peguam terangkan situasi mak aku, dan tanggungjawab-tanggungjawab yang perlu dilaksana bila arwah ayah dah tak ada.
Nenek, atuk dan mak saudara sebenarnya ok sahaja, mereka pun faham keadaan kami, tapi mulut-mulut saudara-saudara ni yang buat jadi serba salah. Atuk duduk di kampung, kerja kampung, kudrat dah tak seberapa. Mana mampu nak beri nafkah kami 7 beradik lagi. Atuk cakap kat kami, duit dia yang ada tak habis nak makan untuk dia dan nenek.
Dia pun dah berusia, tak ada apa dah dia nak, dia cukup dengan apa ada. Atuk suruh guna peninggalan arwah ayah buat kami. Mak pula memang amanah. Mak tak guna sesuka hati, mak cermat untuk pastikan kami 7 beradik cukup makan dan berjaya dalam pelajaran. Atuk aku kerja kampung tapi sentiasa utamakan pelajaran sehingga kedua anaknya berjaya.
Dengan pencen ayah yang tak seberapa dan simpanan emak, kami berjimat cermat. Mak pernah buat kuih, aku tolong jualkan tapi untungnya tak seberapa. Lepas tu mak fokus pada anak-anak. Kami tak pernah terima bantuan apa-apa. Raya pun sendiri-sendiri. Saudara makin lama tak datang ziarah dah. Aku pun tak selesa bila dilihat seperti melukut di tepi gantang.
Hanya tok saudara aku yang datang ziarah setia dari dulu sampai sekarang. Mak saudara aku pun jarang-jarang jejak kaki kat rumah kami. Mak juga tak putus silaturrahim, ajak kami ziarah terutama mak-mak saudara arwah ayah yang bantu arwah ayah masa arwah ayah belajar dulu. Mak ajar kami, biar apa buruk yang orang buat kat kita, sabar dan jangan kita balas.
Aku malas nak cerita pasal macam mana kami kena halau dengan saudara yang konon tolong anak yatim. Tapi lepas makan duit puluh ribu dihalaunya kami. Aku hampir kena r0gol bila berpindah di rumah yang tak ada kunci sehari lepas kena halau. Banyak lagi kisah sedih. Malas nak ingat.
Aku tak berani nak minta apa-apa daripada mak. Dalam kepala aku hanya nak memberi. Aku tau mak susah hati. Bila adik beradik yang atas aku telefon minta duit belanja daripada mak, mak akan termenung berhari-hari. Aku tak salahkan mereka, mereka tak nampak macam mana mak catu dan urus belanja kami sekeluarga. Itulah yang buat aku terfikir bila ada anak-anak nanti, aku taknak anak-anak duduk asrama. Biar anak-anak tahu susah senang keluarga sendiri.
Kuasa Allah dan doa-doa orang sekeliling, termasuk kebijaksanaan mak mengurus kewangan. kami cukup makan dan pakai tanpa pernah berhutang walau sekali. Apa yang tersemat di hati aku, bersyukur dengan apa yang ada dan sentiasa fikir ada orang lagi susah daripada kita.
Alhamdulillah sekarang semua kami dah habis universiti. Itulah motivasi aku untuk berjaya dalam pelajaran dan kerjaya. Biasiswa aku dapat aku beri pada mak dan adik-adik buat belanja. Dalam fikiran aku, hanya pelajaran boleh bantu baiki keadaan keluarga aku. Untuk bantu mak dan adik-adik.
Sekarang mak dah senang. Baju baru penuh almari, beg-beg branded, gelang emas dan cincin penuh di jari dan tangan. Cakap la mak nak makan apa, kami belikan. Banyak negara dah mak lawati. Umrah dan haji alhamdulillah dah selesai. Mak pun dah taknak apa dah, sekarang mak hanya belajar agama, pergi usrah, talaqqi dengan guru-guru agama. Ilmu agama mak lebih banyak daripada kami adik beradik dan kadang-kadang mak jadi rujukan kami.
Pengalaman mak menjadi balu ni, mak taknak anak-anak atau menantu laluinya lagi. Untung ipar aku yang perempuan, semuanya berkahwin dengan cuci kaki. Rumah, kenderaan dah lengkap. Selagi tak stabil, mak tak benarkan anak-anak lelakinya kahwin. Ipar yang tak bekerja pula mak encourage anak-anak lelaki berikan sesuatu untuk persiapan.
Bagi kami anak perempuan, semua bekerjaya dan tak menyusahkan suami masing-masing. Apa yang buat aku kuat untuk cari harta sendiri bila aku tengok suami aku tak ambil tindakan apa-apa bila aku kongsikan kisah mak dan arwah ayah. Dan keluarga belah suami yang agak berkira dengan duit sesama adik beradik sendiri. Walaupon dari segi hubungan baik-baik sahaja.
Suami aku bukan jenis peminta dan berhutang, suami satu-satunya anak yang berusaha sendiri tanpa bergantung dengan mertua. Arwah ayah aku dulu at least letakkan kami adik beradik termasuk mak sebagai penama harta. Tapi suami aku walaupun anak kami dah masuk empat, tak ada satu pun harta suami yang dibuat penama. Bukanlah aku terliur harta suami, mungkin pemikiran suami aku berbeza dengan sejarah dia dibesarkan dulu.
Anak-anak aku pula semuanya perempuan, sedang adik beradik suami ramai, belum masuk yang berlainan ibu. Aku membayangkan keserabutan bila nak berhadapan lebih banyak watak manusia andai terjadi macam mak lalui dulu. Jadi ia buat aku makin kuat motivasi untuk miliki harta sendiri untuk kelangsungan hidup aku dan anak-anak tanpa harapkan orang lain satu hari nanti. Hatta suami sendiri.
Kalau suami beri alhamdulillah. Kalau tak beri, aku wajibkan diri sendiri kena kerja dan usaha sendiri. Aku banyak doa aku mati awal daripada suami supaya aku tak hadap seorang-seorang nanti kesan sambil lewa suami aku ni. Hahaha… Walaupun jiwa aku alangkah seronok jadi suri rumah (baik masa awal kahwin dan sekarang) aku takkan biar diri aku jadi suri rumah semata-mata tanpa punca pendapatan sendiri.
Aku kadang-kadang pesan kat suami, harta aku nanti untuk anak-anak. Aku harap dia boleh jadi pemegang amanah andai aku pergi dulu. Bukan apa, aku percaya kat suami tapi aku tak mungkin percaya pada bakal ganti tempat isteri kepada suami aku nanti andai dia berkahwin lain. Manusia boleh berubah dan suami tak terkecuali. Aku perempuan dan aku tau perempuan ni mudah jadi tamak.
Setakat ni aku masih gigih kerja. Siapa taknak duduk rumah, memasak, tengok anak membesar depan mata, tunggu suami balik kerja. Kebahagiaannya aku tak sangkal. Tapi aku twist pemikiran aku. Aku bahagia walaupun aku tak berada di rumah 24/7 dengan anak-anak.
Bila cuti, aku akan make sure aku beri fokus lebih pada anak-anak dan aku enjoy tumbesaran mereka, involve aktiviti mereka supaya mereka tak rasa lost dan kurang masa dengan mak sendiri. Anak-anak tak rasa kurang. Aku harap anak-anak faham dengan pilihan aku buat ni. Sekarang aku berumur 35 tahun. Aku tau betapa kuatnya mak aku untuk lalui semua tu waktu mak jadi balu di usia 37 tahun.
Aku sayang kat mak. Aku harap kisah ini dapat jadi pengajaran. Sediakan payung sebelum hujan.
– Seri (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit