Harta

Assalamualaikum kepada semua pembaca dan terima kasih kepada admin jika disiarkan. Sedikit pengenalan, aku perempuan dan berumur 20-an dan sudah berkahwin. Di sini aku ingin menceritakan kisah keluarga besar aku. Baca sahaja tajuk pasti kalian boleh agak apa yang ingin aku ceritakan.

Maaf jika terlalu panjang buat kalian. Sahaja ingin aku kongsikan mungkin boleh dijadikan pengajaran untuk kalian semua. Ibu aku seorang ibu tunggal. Ayah aku meninggal sejak aku kecil lagi. Aku mempunyai seorang adik yang beza jarak umurnya dengan aku sekitar lima ke enam tahun.

Alhamdulillah aku dan adik sudah membesar kini dengan baik hasil didikan ibu aku. Jika ditanya soal bagaimana harta-harta ayahku saat beliau meninggal? Tiada konflik kah? Alhamdulillah tiada konflik kerana nenek dan datuk sebelah ayah aku menyerahkan semua bahagian mereka kepada aku dan adik aku demi masa depan dan pembelajaran kami.

Adik beradik ayah aku? Sedikit pun mereka tidak masuk campur. Ibu aku menguruskan segalanya memandangkan datuk dan nenek aku berada di kawasan kampung yang jauh dari bandar. Alhamdulillah aku bersyukur kerana datuk dan nenek aku sangat bertimbang rasa dan mengorbankan bahagian mereka demi pelajaran aku dan adik aku.

Kisah pergolakan dan perebutan harta yang ingin aku ceritakan adalah kisah nenek sebelah ibu aku. Ya terlalu banyak masalah kerana ketamakan adik-beradik leleki nenek aku dan isteri-isteri mereka. Kenapa aku katakan begitu? Susah untuk aku terangkan. Risau jika confession ini akan menjadi terlalu panjang.

Yang pasti, nenek aku hanya mempunyai anak perempuan jadi pasti sahaja jika nenek aku meninggal, waris iaitu adik beradik lelaki nenek aku pasti mendapat juga bahagian mereka. Hal ini menjadikan aku dan keluarga aku berada dalam masalah dan konflik yang berpanjangan.

Harta peninggalan arwah moyang aku memang banyak. Tidak aku menjangkakan sebanyak itu. Saat aku tahu barulah aku faham mengapa adik-adik lelaki nenek aku sangat berharap nenek aku meninggal dahulu supaya mereka boleh mendapat bahagian nenek aku.

Sewaktu aku masih kecil, adik-beradik nenek aku meminta ibuku untuk pulang dan tinggal di rumah pusaka arwah moyang aku (mereka mengatakan rumah itu diserahkan kepada nenekku namun tiada perjanjian hitam putih). Katanya mudah saudara mara jauh pulang boleh ke situ. Kami pulang ke kampung dan tinggal di sana atas persetujuan adik-adik nenekku.

Tidak aku sangka itulah permulaan derita hidup buat keluarga aku termasuk nenekku sendiri atas ketamakan insan bergelar adik-beradik kandung nenekku sendiri. Rumah yang tunggu hari akan runtuh itu telah dibaik pulih oleh datukku kerana memikirkan saudara-mara yang akan berkunjung. Datukku cuba untuk sediakan tempat berteduh yang selesa buat mereka (semua dilakukan setelah ayahku meninggal dunia).

Rumah kampung yang diperbuat daripada kayu yang kita sedia maklum, mudah dimakan anai-anai. Ya itulah yang terjadi kepada rumah pusaka tersebut. Arwah datukku membaik pulih menggunakan wang simpanan beliau yang beliau usahakan sewaktu beliau masih mudah. Lebih kurang RM100k kos membaik pulih yang telah datukku keluarkan.

Saat rumah itu telah siap dibaik pulih, saat itulah mereka yang pernah bersetuju seolah ingin menuntut rumah itu sepatutnya menjadi hak mereka, moyang aku ketika hidupnya mewasiatkan agar diberikan kepada cucu sekian dan sekian.

Segala urusan berkaitan harta peninggalan arwah moyangku tidak diselesaikan oleh mereka kerana mereka ingin menantikan nenekku meninggal mungkin sedangkan hingga ke hari ini, telah berbelas tahun moyangku pergi meninggalkan dunia ini. Segala konflik sentiasa ada kemuncak permasalahan berlaku adalah setelah kematian datukku. Ya mereka semakin berani memijak keluarga kami.

Aku masih ingat, saat datukku ingin mengubah nama tanah yang datukku hadiahkan kepada nenekku dahulu kepada ibuku dan adik beradik ibuku yang lain, ada seorang adik lelaki nenekku berpesan kepada datukku seolah jangan lupakan bahagian mereka sebagai adik lelaki datukku sedangkan jika difikirkan secara logik, sangat tidak sedar diri dan tidak malu orang tersebut kerana asalnya tanah itu adalah milik datukku dan atas usaha datukku sendiri. Bukanlah warisan dari nenek moyang.

Sepanjang keluarga aku tinggal di sana, sering datukku difitnah gilakan harta, bergaduh dengan adik beradik beliau sedangkan hal itu tidak pernah terjadi kerana adik beradik datukku sendiri juga berusaha keras, bekerja siang malam jika mereka ingin membeli sekeping tanah.

Harta nenekku? Semua dibahagikan secara adil dan tiada konflik yang berlaku kerana masing-masing fokus untuk keluarga masing-masing. Mereka sedia maklum harta dunia apa yang ingin direbutkan. Saat kematian datukku, imam bertanya kepada ahli keluargaku apakah kebaikan si mati kerana segala urusan sangat dipermudahkan?

Ibuku memberitahu kepada aku bahawa datukku sangat pemurah ketika hayatnya. Ketika beliau masih berniaga, beliau sering membantu pekerjanya. Pernah datukku orang berhutang, menipu beliau beratus ribu tetapi beliau halalkan. Katanya tak mengapa kita bantu mereka.

Berbalik kisah ketamakan adik beradik nenekku, sehingga hari ini konflik tidak pernah selesai dan semakin rumit. Sekitar tahun 2015 atau 2014 saya kurang pasti, salah seorang adik lelaki nenekku telah pergi meninggalkan dunia ini. Aku sangat terkejut tetapi benarlah tidak semestinya yang muda akan hidup lama dan yang tua akan pergi dahulu.

Sebelum kematian beliau, beliau meminta maaf kepada ibuku dan nenekku namun nenekku susah untuk memafkan beliau sehingga ibuku perlu memujuk nenekku supaya memaafkan adiknya. Oh ya, aku terlupa untuk menceritakan bahawa kami sekeluarga bukanlah dianiaya secera mata kasar sahaja, kami juga turut disihir. Datukku meninggal kerana disihir.

Aku pasti kerana seramai lima orang specialist telah memeriksa datukku dan salah seorang Dr. berbangsa Cina berkata kepada ibuku, mungkin boleh periksa dengan perubatan Islam kerana mereka tidak dapat kesan apakan penyakit datukku. Datukku koma tanpa ada masalah yang boleh diterangkan melalui perubatan moden. Kami sedia maklum tentang sihir yang dihantar kepada kami sekeluarga kerana memang kami dalam rawatan.

Sehingga hari ini masih ada yang menghantar sihir kepada kami sekeluarga. Sehingga hari ini, jika aku bermimpi sesuatu yang tidak baik, pasti aku akan telefon ibuku dan memaklumkan hal tersebut, ibuku memaklumkan bahawa beliau merasakan ada gangguan.

Telah banyak perawat yang telah kami berjumpa, semuanya lebih kurang sama jawapannya. Yang menghantar ingin ibuku mati. Ingin aku, adikku dan sepupu-sepupu aku tidak berjaya dalam kehidupan kami. Tapi aku percaya Allah itu lebih berkuasa.

Aku sekeluarga juga telah berpindah. Jika ingin ikutkan hati tidak ingin lagi aku untuk berjumpa adik-adik nenekku. Bukan aku lupakan mereka, kerana tidak lupa akan mereka dan perbuatan mereka membuatkan wajah mereka juga aku merasa benci untuk melihat.

Aku bernikah awal, ketika aku masih belajar. Tiada majlis kenduri perkahwinan yang kami adakan disebabkan masa dan kewangan. Namun jauh di sudut hati aku, tidak ingin aku adakan majlis kerana hati aku tawar. Tiada bahagia untuk menjemput mereka. Tiada kegembiraan untuk aku bersalaman dengan mereka atas apa yang mereka lakukan kepada ibuku dan nenekku. Wang dan masa hanyalah alasan.

Namun aku turut difitnah mengadakan majlis perkahwinan tetapi tidak menjemput adik adik perempuan nenekku. Perkara yang sangat kelakar tetapi mereka mempercayai 100% fitnah tersebut sehingga mereka memulaukan ibuku. Terlalu banyak fitnah yang dilemparkan buat ibu aku. Salah satu fitnah tersebut adalah mereka menuduh ibuku tamakkan harta.

Ingin sahaja aku ketawa sekuat mungkin kerana tidak pernah ibuku mengajar kami adik beradik untuk mengejar harta, ibuku juga membiarkan adik beradiknya yang lain yang mempunyai ramai anak mendapat bahagian yang lebih banyak (harta arwah datukku) berbanding beliau.

Datukku telah mengubah nama semua tanah beliau dan semua wang yang beliau ada telah diserahkan kepada anak-anaknya sebelum datukku meninggal dunia. Mungkin beliau telah merasakan ajal beliau yang semakin dekat dan beliau tidak mahu anak-anak beliau susah untuk menguruskan harta peninggalan beliau.

Hati kami sudah tawar. Jika benar ibuku tamakkan harta, mustahil ibuku akan berkata kepadaku, jika mereka tidak menganiayai kita pasti sahaja ibuku dan adik-beradiknya yang lain tidak akan berkira dengan mereka.

Jika dilihat masalah ini adalah masalah keluarga nenekku tetapi mengapa banyak aku sebut ibuku dan adik-beradiknya? Ianya kerana nenekku adalah pesakit psikiatri. Oleh hal yang demikian mungkin adik beradiknya fikir mereka boleh menganiaya nenekku.

Luka yang mereka ukir buat nenekku sangat mendalam walaupun tidak terungkapkan oleh beliau. Aku boleh melihat dari raut wajah nenekku dan matanya. Pernah beliau ungkapkan, begitu tegar hati adik-adiknya melakukan sebegitu terhadap beliau hanya kerana beliau tidak seperti orang lain dan hanyak mempunyai anak-anak perempuan.

Sebenarnya, harta dunia tidak akan kita bawa bersama ke pusara kita nanti. Yang akan kita bawa adalah amalan sepanjang hidup kita dan harta sebenar kita adalah keturunan yang sentiasa mendoakan kita.

Aku tak minta banyak, aku harap kepada pembaca supaya doakan kami sekeluarga. Doakan supaya ada jalan keluar untuk konflik ini dan doakan supaya hancurlah segala sihir yang dihantar kepada kami sekeluarga dan supaya orang yang menghantar itu dibukakan hatinya untuk bertaubat.

Aku dan keluarga aku, kami akan membawa diri. Mungkin tidak akan kami pulang lagi setelah segalanya selesai. Mungkin sepertinya ingin memutuskan tali persaudaraan tetapi sebenarnya pergi membawa diri mengubati hati yang terluka. Akan aku bawa ibuku jauh dari mereka sehingga akhir hayat aku.

– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *