Assalammualaikum semua. Terima kasih untuk admin jika sudi siarkan cerita saya. Tujuan saya tulis dekat sini adalah untuk minta pendapat semua, apa yang saya perlu buat?
Baiklah saya mulakan, ayah selalu cakap dia sayang kami anak beradik, tapi tindakan ayah seolah-seolah dia tak sayangkan kami.
Arwah abang meninggal kerana bunuh diri. Boleh di katakan sebabnya adalah ayah, dari kecil ayah tak pernah sayang abang macam mana ayah sayang kami adik beradik. Ayah selalu halau dia dari rumah. Sebab ayah cakap dia ambil dadah. Tak ada cara lain lagi untuk ajar dia.
Seminggu sebelum abang meninggal dia kumpulkan semua baju-baju abang. Masa tu time maghrib, ayah bakar semua baju abang. Dia cakap siapa berani kutip baju-baju abang. Dengan kami nanti dia pukul.
Ya abang seorang penagih dadah. Pernah kami bersembang dengan abang. Kami tanya abang ‘kenapa kau ambil dadah bang?, kau tak sayang mak ke?? Kau tengok mak hari-hari kena maki dengan ayah sebab pertahankan kau’.
Dan jawapan abang ‘aku sedih kenapa ayah tak boleh layan aku macam ayah layan korang, kenapa dengan korang ayah boleh gelak-gelak.. dengan aku tak?’
Allahu.. macam-macam cara kami cari untuk pulihkan abang dari ambil dadah-dadah tu, sebab tak tahan sangat tengok mak kena maki hari-hari dengan ayah.
Ayah pulak bukan dia benci abang sangat. Buktinya masa abang di serahkan kepada pihak polis untuk jalan terakhir pulihkan abang, ayah menangis dalam kereta. Dia sayang abang cuma dia ego untuk tunjuk dia sayangkan abang.
Dua hari lepas dia di serahkan kepada polis, dia di lepaskan dengan jaminan mahkamah atau polis.. Entahlah itu kami sampai hari ini tak pasti. Waktu kami serahkan dia kepada polis.. Kami mintak polis untuk bawa dia ke pusat pemulihan..
Tapi perancangan Allah lain, lepas 3 hari dia di bebaskan. Dia ambil jalan singkat dengan menggantung diri di bilik tidur. Allahuakbar.. Ujian paling besar buat kami dan mak..
Untuk pengetahuan semua, arwah abang adalah satu-satunya anak lelaki dalam keluarga kami. Apa yang berlaku kami anggap ujian Allah buat kami.
Kami pon berharap selepas arwah abang meninggal. Ayah takkan maki-maki mak lagi. Rupanya kami salah, lepas arwah abang meninggal di seksanya perasaan mak pulak..
Mak adalah seorang pesakit kronik (kegagalan buah pinggang). Setiap hari ada saja salah mak di mata ayah. Pesakit buah pinggang kena cuci darah seminggu 3 kali. Kebiasaannya hari dia cuci darah dia memang akan jadi lemah. Dan tak boleh buat kerja apa-apa. Nak masak pon tak larat.
Tapi ayah dia akan paksa mak untuk masak jugak. Walaupun dia tahu mak sangat-sangat lemah hari tu. Adik paling bongsu berhenti sekolah untuk jaga mak sebab mak tak boleh seorang-seorang di rumah. Terkadang dengan tiba-tiba dia boleh pengsan.
Allahuakbar.. Ayah seksa mak hari-hari.. Macam-macam dia maki mak.. Sampai hari mak meninggal. Mak pernah cakap kalau mak meninggal nanti.
Cakap dekat ayah kau, mak sangat terseksa hidup dengan dia.. Dia seksa hidup anak mak.. Sekarang dia seksa hidup mak.. Cakap kat dia nanti.. Tapi kerana memegang kata ‘jangan derhaka kepada mak ayah’ sampai hari ni kami adik beradik tak pernah luahkan kata-kata tu. Kami simpan dalam hati-hati kami.
Mak perempuan paling sabar dari muda sampai akhir hayat dia, ayah seksa zahir dan batin dia. Menangis jangan cakaplah hari-hari makan air mata. Pembaca doakan mak kami di rahmati.. Dan di masukkan ke syurga tanpa hisab ya..
Persoalannya sekarang mak baru meninggal lebih kurang 4 bulan, tapi ayah asyik sebut-sebut nak nikah lagi. MasyaAllah kami adik beradik seorang pon tak larang.
Lepas sebulan mak meninggal dia ada suarakan hasrat dia nak minang adik arwah mak. Kami tak setuju sama sekali. Ayah dah seksa arwah mak. Kami tak nak dia seksa ibu saudara kami jugak.
Dan kami sangat yakin ibu saudara kami takkan mungkin mahu terima ayah, kerana mak selalu crita ayah seksa mak pada ibu saudara kami. . Mak sangat rapat dengan adik dia.
Dari awal kami bantah. Tak ada satu pon antara kami yang suarakan hasrat dia pada ibu saudara, kerana kami bimbang ibu saudara takkan datang lagi ke rumah kami jika ibu saudara tahu yang ayah nak memperisterikan dia. Dia sangat bencikan ayah.
Allahuakbar. Dalam kami berjaga-jaga. Baru-baru ini di callnya sendiri ibu saudara kami dan nyatakan hasratnya sendiri.
Macam yang kami jangka ibu saudara kami menolaknya dengan tegas. Dia kelihatan kecewa. Dari mak masih ada kami dapat lihat yang ayah memang menyukai ibu saudara kami. Malu kami adik beradik nak berhadapan dengan ibu saudara kami.
Selepas beberapa hari dari kejadian tu, di hubunginya kakak ketiga saya di nyatakan pulak hasrat untuk meminang kakak ipar kakak saya. Kakak sangat membantah.
Lalu di carinya seorang janda yang telah kematian suami. Susah orangnya.. Tetapi dia tidak mahu berpindah ke rumah kami.. Dia ingin menetap di sana bererti ayah juga perlu menetap di sana jika mereka menikah.
Tadi ayah katakan kepada aku dan adik. Jika dia harus meninggalkan kami. Lebih baik dia tak payah menikah. Tapi di seksanya kami.
Setiap hari harus masak apa yang di suruh.. Makan pon harus berhidang. Siang harus masak ini. Malam nanti harus masak itu. Bila masak sekali sahaja dimakannya. Di katakan dia tak berselera.
Dan hari nie petang tadi dia marah-marah adik. Kata-katanya seolah-olah kami tak boleh jaga dia.. Nak duduk rumah orang tua-tua dia cakap.
Kami terpinga-pinga apa yang kami dah buat?? Nak makan apa semua kami turutkan. Kami hidangkan makan.. Siap air basuh tangan lagi. Entahlah kami sangat-sangat buntu dengan perangai ayah..
Saya mintak pendapat semua. Apa yang perlu kami adik beradik lakukan?
Sekian terima kasih,
– Miss S (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit