BFF To Stranger

Aku coretkan di sini buat “bekas kawan baikku” yang aku rindui. Sungguh aku rindu. Terima kasih buat admin andai coretan aku ini disiarkan.

Tapi, sebelum aku lanjutkan coretan aku ini, izinkan aku ceritakan tentang “bekas kawan baik aku” ini. Maafkan aku andai ceritaku ini tidak menarik kerana ini lebih kepada luahan rasa hatiku sendiri.

Aku gelarkan dia Fify. Aku dulu satu sekolah dengan Fify, dari sekolah rendah sampailah ke sekolah menengah. Dia merupakan seorang top student, UPSR PMR SPM straight A. Walhal aku ini biasa saja, nak kata pandai sangat tak jugak, nak kata tak pandai pun tak jugak.

Aku ok ok saja, still perform if usaha lebih, kalau malas faham-faham la ya. Walhal Fify, dia memang dilahirkan pandai. Dia juga datang daripada keluarga yang ada-ada berpelajaran tinggi dan aku tetap biasa-biasa sahaja.

Tapi… Tapi dia tak pernah berlagak dengan apa yang dia ada. Masa zaman sekolah rendah dulu, ramai tak suka dekat dia, aku pun tak tahu kenapa. Naik ke sekolah menengah, dia kelas lain tapi kami masih berkawan macam biasa.

Masuk Form 3, habis saja exam PMR, aku terus beli handphone. Jadi, kami memang rajin SMS. Dulu tak ada whatsapp lagi, masa tu sebelum tahun 2010.

Dalam tempoh menunggu keputusan PMR, dia ada suarakan yang dia akan berpindah sekolah lepas PMR nanti, aku fikirkan mungkin dia nak masuk SBP atau MRSM, tapi tidak.

Untuk pengetahuan kalian, kami dulu sekolah harian tapi dalam kategori kluster. Rupa-rupanya, parents dia nak berpindah ke negeri lain dan menetap terus di sana. Jadi, masa Form 4 dia pindah sekolah ke negeri lain, di Ibu Kota, masih di sekolah harian.

Namun, semua ini tak menjadi halangan untuk kami lost contact sebab masih boleh berhubung SMS everyday 24/7 as long as ada credit la. Haha. Setiap kali tiba musim nak raya, banyak la fancy SMS dia hantar dekat aku.

Dan dulu, kami tak terkecuali daripada aktiviti-aktiviti bagi kad raya. Aku rindu semua momen-momen tu. Kami ada persamaan, bila taip mesej mesti akan taip sampai habis limit perkataan. Kalau korang semua familiar la dengan benda ni.

Sebab rugi kalau taip sikit-sikit, still potong credit. Baik cakap banyak terus dalam satu text, tapi takkan taip melebihi limit text tu even satu atau dua huruf, nanti makan credit double pulak. Hahahaha siapa macamni kita GENG!!!

Masa Form 4, semua orang cakap masa Form 4 ni la tahun yang sangat “Honeymoon”. Yes! Memang “honeymoon”. Balik saja dari sekolah, aku akan cek handphone yang aku simpan bawah bantal ataupun dalam almari buku. Mesti akan ada SMS daripada Fify. Sebab aku akan sampai rumah lambat, sebab ayah aku ambil lambat balik sekolah.

Kami sembang macam-macam, hal sekolah, hal peribadi, hal ‘crush’ masing-masing, dan macam-macam lagi la. Tak pernah rasa bosan, mengadu itu ini sesama sendiri. Kami memang rapat, sampaikan masa birthday, kan dapat call free sehari. Kami mesti akan on call cerita macam-macam kalah pasangan bercinta.

Yang bestnya, kami punya birthday bulan yang sama. Sampaikan dia pernah cakap dekat aku yang kami ni terlalu rapat cuma ada satu benda yang tak ok, dia dengan aku bahasakan diri kami Aku “Kau”, walhal di tempat kami, Aku “Kau” seolah-olah kasar untuk bahasakan diri bagi sesama perempuan.

Masuk Form 5, masih sama. Kami sentiasa contact with each other. Dia story dia study itu ini, everything la pasal study. And the best part pasal dia, dia tak pernah perlekehkan aku pasal study, tak pernah rendah-rendahkan aku pasal result everything.

Dia punya result gempak pun dia tak bangga langsung. Dia siap mengadu lagi, dia sedih result exam tak ok, dia silap jawab sebab tu markah rendah. Dan… Masa form 5 jugak la, inilah detiknya aku start bercinta tapi aku tak pernah share langsung dengan sebab aku segan, dah nak dekat SPM sibuk pulak bercinta.

Jadi, aku dah dah jarang SMS dengan dia, ya jarang. Tanpa aku sedar, aku terus lupa akan kewujudan dia. Tambahan pula memang dia pun dah jarang SMS aku sebab sibuk study nak SPM. Even, lepas habis exam SPM pun, kami dah tak pernah berhubung walhal lepas SPM dah banyak free time.

Tibalah detik keluar result SPM, dia contact aku tanya pasal result. Aku cakap dekat dia result aku, kalau nak diikutkan ok saja tapi ada jugak yang tak ok. Namun, sedikit pun dia tak perlekehkan aku. Dia sangat baik. Sangat low profile.

Dia share dengan aku apa yang dia nak isi untuk sambung study, aku pun sama. Tapi conversation kami dah tak sebanyak dulu. Plus, aku tak cakap dekat dia langsung yang aku tengah in love. Aku segan kot masa tu. Jadi, kami dah jarang contact. Sampailah satu masa kami dapat masuk IPT untuk sambung belajar.

Dia dapat sambung pelajaran dalam bidang yang dia nak, yang dia bercita-cita nak jadi masa dia kecik lagi. Walhal aku, sambung pelajaran dalam bidang yang bukan cita-citaku dan tempat yang aku belajar itu biasa-biasa saja.

Mungkin aku silap pilih jurusan, tapi aku anggap rezekiku tiada untuk apa yang aku minati. Tapi, dia tetap tidak memandang rendah terhadap aku. Sedangkan ada kawan-kawan yang lain pernah cakap dekat aku, “kenapa masuk situ, kalau keluarga aku memang tak bagi dah aku masuk situ”.

Aku redha. Dan aku tak mahu sebut dia belajar bidang apa, tapi mungkin orang akan tahu bila aku sebut dia salah seorang frontliner untuk COVID-19.

Bila masing-masing dah sambung belajar, memang terus lost contact. Sambung saja belajar, aku tukar nombor handphone aku, almaklum la bercinta kan, nombor mesti nak sama dengan boyfriend.

Erm… salahku juga, aku tak inform langsung dekat dia aku dah bertukar nombor sedangkan sampai sekarang dia masih guna nombor dia yang dulu, betapa dia sayang nombor dia dulu, aku lah orang pertama yang dia kongsi sebab dia beli nombor tu. Nombor cantik lah katakan, hehe.

Selepas daripada itu, kami hanya berhubung di facebook, instagram. Komen like komen like tapi dah rasa akward sebab dah jarang bersembang banyak macam dulu-dulu. Kami memang dah putus perhubungan sampai sekarang, langsung tak contact each other, tengok-tengok through media sosial saja.

Kini, dia sudah berjaya. Aku tumpang bangga. Yang aku peliknya, masa zaman sekolah rendah dulu, ramai yang tak suka dekat dia, tapi bila dia dah berjaya ni, tiba-tiba ramai pulak nak rapat dengan dia, ramai pulak yang dok puji memuji dia kat laman sosial sedangkan dulu kutuk dia habis-habisan.

Rasa sedih pun ada. Tapi dia layan ja, dia tak berlagak pun. Kini, dah hampir 10 tahun kami “lost contact” daripada dunia kami. Hanya “friend” di media sosial saja, tapi tak pernah bercakap langsung.

“…Fify, sumpah aku rindukan kau. Kau ingat lagi tak, dulu masa kita sekolah, kau pernah cakap kat aku yang kita ni kategori best friend yang rapat gila sebab tiap-tiap hari sms cuma satu benda ja, kita cakap kau-aku. Tapi kau cakap, tak kisah la kita cakap kau aku pun, sebab itu yang kita selesa.

Aku tak pernah lupa Fify. Aku tak berani dan rasa segan nak approach kau balik. Semua ni salah aku sebab aku yang putuskan persahabatan kita ni.

Kita tak pernah bergaduh, kita cakap main lepas ja, so takda apa-apa pun yang buat kita berdua terasa hati. Cuma keadaan dulu yang mana aku sibuk sangat bercinta membuatkan aku lupa yang aku ada kawan yang sangat berharga macam kau Fify.

Percayalah, aku rindu kau bukan sebab kau ada segalanya, sedangkan kau memang ada segalanya pun dari dulu. Cuma, aku rindu momen-momen kita. Bila aku tengok kau post itu ini, aku rindu. Tapi jauh sekali untuk aku approach, komen dekat kau. Aku hanya mampu tumpang gembira untuk kau Fify.”

“…Fify, tahun lepas sangat berat bagimu. Kau kehilangan orang yang paling kau sayang. Kita berada dalam satu kapal Fify, kehilangan orang yang kita sayang. Dulu kau pernah komen kat FB aku, kau tanya kenapa dengan orang yang aku sayang tu?

Sebab orang yang aku sayang dah meninggalkan aku, dan kini giliran kau pula, tapi aku hanya mampu komen dekat IG kau ucap takziah. Aku sentiasa doakan kau kuat Fify. Aku doakan kau dari jauh, aku nampak kau kuat.

Terkadang, aku rasa macam nak ulang balik waktu dulu so that aku takkan putus persahabatan dengan kau Fify. Tak ada apa yang mampu aku buat melainkan untuk mendoakan segala yang terbaik untuk kau Fify.”

Sekian coretan oleh aku, seorang kawan yang rindu akan kawan baiknya. Aku tak mampu nak cerita dekat orang lain, jadi aku coretkan dekat sini sebab aku rasa ramai yang senasib dengan aku, ada kawan masa dulu, tapi sekarang tak bertegur sapa dah.

Tapi mungkin situasi kita berbeza. Mungkin ada yang putus kawan, mungkin ada yang pernah bergaduh. Tapi kisah aku, aku tak pernah bergaduh dengan dia, cuma salah diriku sendiri yang terlalu leka dengan benda lain…

Aku harap ini jadi pengajaran buat aku untuk menghargai sesiapa saja yang ada di depan mataku kini. Agar aku tidak lalui keperitan rindukan orang yang pernah baik denganku tapi tak mampu untuk aku baik kembali dengannya.

Tak ada apa yang menarik pun tentang kisah aku ini, cuma aku mahu lepaskan rasa hati aku. Maaf juga andai coretan aku ni berterabur dan ada bahasa rojak. Jom la kongsikan situasi korang juga, mesti ada yang senasib dengan aku…

“The saddest part in life is when the person who gave you the best memories become a memory…”

– Bekas Kawan Baik Fify (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *