Assalamualaikum. Nama diberi Aurora (bukan nama sebenar) dan berumur pertengahan 20an.
Sekian lama asyik menjadi pembaca, hari ini saya beranikan diri untuk ‘meluahkan’ rasa di sini dengan harapan agar mendapat sedikit sebanyak kata² semangat atau teguran dari pembaca.
Sedikit pengenalan, saya adalah individu yang berhijrah kembali kepada Islam.
Walaupun saya dikira sudah agak lama memeluk Islam (belum sampai 3 tahun), tetapi terkadang terbit persoalan dalam hati ‘apa perubahan’ yang saya sudah lakukan sehingga saat ini.
Saya berhijrah kepada Islam bukan kerana cinta atau perkahwinan, (belum berkahwin lagi).
Perjalanan saya dari mengenal hingga memeluk Islam tidaklah sesukar mereka yang dipulaukan, tetapi tidak juga mudah.
Mungkin kerana sifat saya yang banyak berdiam diri, dan bila tiba² memeluk Islam, banyaklah cerita yang tidak enak didengari mulai kedengaran.
Seawal penghijrahan saya, saya banyak bertanya kepada diri sendiri, adakah saya mampu untuk mendengar kata² yang tidak enak.
Alhamdulillah, saya berjaya mengawal emosi walaupun adakalanya sedih hingga ‘down’ berhari².
Orang akan bertanya, bilakah saya akan berkahwin memandangkan saya sudah memeluk Islam…
Dan ada yang bertanya berapa ribu ringgit yang saya dapat ketika memeluk Islam sedangkan saya tidak pernah pun sekali dibayar untuk berhijrah.
Terhiris rasa hati seketika seolah² agama ini satu ‘benda’ yang dijual beli.
Kadang, saya menangis bila mengingat saya sudah cukup lama belajar tentang Islam sebelum berhijrah, menguatkan keyakinan, tetapi bila saya sudah berhijrah, hidup saya seakan² tiada perubahan.
Saya masih rasa kosong, masih rasa tiada hala tuju walaupun saya tahu dan yakin, inilah jalan yang saya mahukan.
Saya solat, saya puasa, saya belajar mengenai agama Islam dari ustaz & ustazah….. tetapi saya masih rasa kosong.
Saya buntu, saya cuba dapatkan jawapan, apa lagi yang saya buat untuk elak dari rasa kosong.
Kerana bila perasaan ‘kosong’ itu muncul, saya pertikaikan untuk apa saya berhijrah, jika hati saya tidak terisi dengan cinta-Nya, jika masih tiada perubahan dalam kehidupan saya.
Saya pernah berfikir bagaimana tentang keluarga saya. Adakah bila sampai saatnya nanti saya akan disoal tentang tanggungjawab saya sebagai Islam kepada mereka.
Dan saya sedih, saya tidak tahu kepada siapa untuk saya luahkan apa yang tersimpan dalam hati.
Kadang saya terasa kehidupan saya cuma dipenuhi kesedihan, ketidak-semangat-an hidup (maaf perkataan buat sendiri), keputus-asaan dan sebagainya.
Mungkinkah saya yang tidak mengamalkan apa yang diajarkan dalam agama sehingga saya merasa begini….? Mungkinkah perasaan saya sahaja? Saya keliru……
Sehingga confession ini ditulis, saya masih lagi rasa ‘kosong’, sedih.
Saya kini Islam, tapi langkah² saya masih goyah. Saya masih tertanya, adakah cuma saya seorang yang rasa kekosongan begini?
Bantulah saya, semangati saya, tegurlah saya… sepahit mana pun, seandainya ia ubat, saya tetap mahu.
Terima kasih sudi membaca. Saya harap anda semua dapat beri semangat, teguran….
– Aurora (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit