Rasa Itu… Ya Allah Aku Berdosa

Terpanggil untuk menulis disini kerana aku terasa begitu dekat dengan tulisan seorang confesor yang bertajuk “MENCINTAI DAN MENYAYANGI TIDAK SEMESTINYA MEMILIKI”.

Boleh baca confession berkenaan di sini,

Part I, (https://iiumc.com/mencintai-dan-menyayangi-tak-semestinya-memiliki/).

Part II, (https://iiumc.com/mencintai-dan-menyayangi-tak-semestinya-memiliki-ii/).

Aku Z berumur 30an, berkahwin dan mempunyai 2 cahaya mata.

Zaman sebelum aku berkahwin, aku agak bebas dan liar. Aku katakan bebas dan liar disini kerana memang tiada siapa yang pantau pergaulan aku. Aku berhijrah ke bandar kerana mengikut kawan untuk berkerja dan tinggal di rumah sewa. Keluar dengan lelaki sampai lewat malam.

Walaupun cara berpakaian aku tidak lah sesempurna mana, tapi masih bertudung serta memakai baju lengan panjang. Ilmu agama aku mengenai aurat hanya ditahap itu sahaja pada masa itu. Allah, jahilnya aku. Tapi Allah tutup aib aku.

Berjumpa dengan ramai lelaki. Semua lelaki yang aku kenal itu suka berkawan dengan aku. Mungkin sebab aku ni jenis “happy go lucky”,”lone ranger” & mempunyai rupa paras yang agak cantik. Bercinta 5 kali. Huh sedih.

Cinta pertama putus, cinta kedua datang. Cinta kedua kecundang, datang pula cinta ketiga dan seterusnya. Begitu mudah untuk mendapatkan cinta baru. Tapi bukan bermakna aku ini “playgirl”. Aku kira mereka bukan jodoh aku. Allah nak uji aku dan Allah masih mahu tutup aib aku.

Dalam ramai-ramai lelaki yang aku kawan itu, ada seorang yang begitu terkesan dalam hati sehingga hari ini. Allah, berdosanya aku. A sebaya dengan aku. Dia merupakan pelajar tahun akhir ditempat aku bekerja.

A dan rakan-rakannya merupakan pelajar yang agak popular dan disukai oleh semua pensyarah. Selalu juga mereka datang ke pejabat untuk hantar tugasan atau mohon pelbagai surat. Memandangkan aku yang akan menyediakan surat-surat tersebut maka, yang pasti akan berjumpa dengan aku juga.

Ada 1 ketika, aku bertentangan dengan A. Kami berhenti. Situasi ketika itu, perasaan ketika itu, debaran ketika itu, takkan pernah aku lupa. Dan kami berlalu pergi. Aku pasti menangis bila teringat.

Make it short. Pertama kali jumpa, kami ke majlis perkahwinan kawan aku. Kami masih berkawan ketika itu. Tapi jujur, aku selesa berkawan dengan dia. Aku suka dia. Daripada segi layanan dia pada aku, aku tau, dia juga begitu.

Makin lama makin kerap keluar bersama hampir setiap minggu. Aku rasa hubungan aku dengan dia bukan lagi sebagai kawan. Perasaan itu. Bukan untuk seorang kawan semata. Aku mahu luahkan perasaan.

Memandangkan A bukan la dikategorikan sebagai lelaki yang kacak atau badan sasa, aku fikir dia pasti tidak akan menolak. Malam itu aku beranikan diri. Aku approched dia. Tapi, dia kata tak boleh dengan alasan ada yang sedang tunggu dia.

Aku pada ketika itu, memang menangis macam orang gila dah aku rasa. Macam-macam bermain dalam fikiran aku. “Kalau kau dah ada orang lain, kenapa masih keluar dengan aku? Kenapa bagi layanan istimewa?” tapi semua itu tak terluah. Aku hanya menangis dan keluar dari kereta dia.

Aku seperti bertepuk sebelah tangan. Tapi hati aku kuat mengatakan sebenarnya tidak. Dia juga punya perasaan seperti aku.

Aku malu mahu minta penjelasan daripada dia. Aku pendam rasa itu. Aku letak rasa itu betul-betul di dasar hati aku. Aku tak benci dia. Aku tak boleh nak benci dia. Walaupun perkenalan kami tidak sampai setahun pun tapi dia cukup istimewa dalam hati aku.

Aku moved on. Ya aku moved on. Aku berkawan dengan lelaki lain. Bagi peluang hati itu pada lelaki lain. Aku paksa hati aku terima cinta lain. Tapi atlast, aku tak mampu nak tipu diri sendiri. Aku tinggal mereka begitu sahaja. Kejamnya aku. Tapi Allah masih tutup aib aku.

Sampai lah aku berjumpa suami aku sekarang. Kawan sekelas ketika sekolah menengah dahulu. Berjumpa semula. Sangat mudah perjalanan hubungan kami. Allah permudahkan. Jumpa semula, bertunang 6 bulan dan berkahwin.

Semua berlaku dalam masa setahun. Ya, aku percaya jika Allah permudahkan jodoh aku, bermakna dia memang ditakdirkan untuk aku. Dan aku perlu lupakan A. Fokus pada rumahtangga aku.

2019. Sudah 10 tahun. Ya 10 tahun itu lah aku teringat. Walaupun ketika aku sudah berkahwin kini, tanggungjawab sebagai isteri & ibu tak aku abaikan. Aku cuma kekadang teringat pada dia, teringat dosa-dosa yang pernah aku lakukan dahulu.

Aku ada terbaca 1 posting di facebook. Katanya,

“Tidak mengapa kita mengingati kisah silam kita, mengingati cinta lama kita, mengingati orang yang pernah membahagiakan kita. Tetapi cukup la sekadar itu sahaja. Sekadar untuk kita sedar itu dosa dan bertaubat lah. Teruskan kehadapan, jangan sesekali pandang kebelakang lagi.”.

Ya. Kata-kata itu kekuatan aku untuk tidak pandang kebelakang lagi. Aku ingat aku sudah ada suami dan anak-anak.

Sebenarnya dalam masa 10 tahun itu aku cari dia juga. Walaupun dia sudah block aku daripada friendlist facebook dia, tapi aku cari jugak. Tak jumpa. No telefon. Hurmm aku tak pasti dia masih guna lagi atau tak. Gambar profile picture what’s up (WA) bukan gambarnya.

March 2019. Akhirnya aku jumpa facebook dia. Excited sangat masa tu dan sungguh jantung aku laju. Aku PM dia. Tapi niat asal hanya nak bertanya khabar memandangkan dia juga sudah berkahwin. Aku tak mahu fikir jauh.

Ayat pertama aku tanya, “woi, kau dah kahwin?”. Aku cuba nak sembunyikan perasaan aku dengan ayat kasar begitu. Dan dia balas. “betul ke ni. Aku tak mimpi?”. Dia minta aku WA dia guna nombor lama.

Rupanya, malam sebelum aku WA dia, dia ada buka email yang pernah aku hantar dulu. Email tu. Email luahan hati aku yang aku memang sayang dia, aku tak boleh terima orang lain.

Daripada bertanya khabar kepada timbulnya soal hati dan perasaan. Seperti cinta itu, it’s blooming again. Cerita lama datang kembali.

Ya. Dia jujur kali ni. Dia memang cinta aku, sayang aku. Tapi dia terlambat jumpa aku. Dia dah ikat janji dengan perempuan tu. Prinsip dia, dia tak akan sakitkan hati orang lain demi kepentingan diri sendiri. Dia takut pada karma. Dan dia pilih perempuan tu.

Dia berani keluar dengan aku pada masa tu sebab perempuan tu belajar di luar negara.

Dia ambil masa setahun untuk buat keputusan berkahwin dengan perempuan tu. Setahun selepas aku berkahwin. Sambung belajar selepas itu untuk tidak terlalu memikirkan aku. Dia ada tanya aku kenapa aku kahwin dulu. Tak tunggu dia. Aku jawab “kau reject aku kot”. Dia diam.

Sepanjang tempoh 10 tahun itu juga, dia seperti aku. Mencari, teringat. Gambar kami dahulu masih dia simpan. Dia tunjuk pada aku gambar-gambar itu. Tarikh lahir aku, semua tentang aku, dia masih ingat.

Bercinta tanpa declare apa-apa sebab masing- masing dah faham dengan perasaan masing-masing. 3 bulan pertama, perhubungan terlarang ini semua indah. Seperti pasangan bercinta yang lain. Maklum lah, dahulu tidak sempat untuk berbuat begini.

Daripada panggilan “aku kau” kepada “saya awak” kepada “saya sayang”. Aku pernah tanya dia. “sayang aku?” . Dia jawab. “ya”. Aku tanya lagi. “habis tu wife macam mana, tak sayang?”. Dan dia jawab. “aku cinta kau, aku sayang kau. Dia tanggungjawab aku”. Allah, perasaan itu. Aku takut.

Kami memang berjanji tak akan sakitkan hati pasangan masing-masing. Contoh aku minta cerai dengan suami aku semata mahu berkahwin dengan dia. Kami tidak akan sampai ke tahap itu. Kami hanya akan berkahwin jika Allah tarik nyawa mereka.

Ini bukan janji semata-mata tapi lebih kepada tak sampai hati nak melukakan hati pasangan masing-masing dan berlaku penganiayaan. Dia pernah pesan, kalau apa-apa terjadi pada suami aku, tolong bagitahu. Dia akan bantu. Tapi bila aku tanya. “tak nak kahwin?”. Dia diam.

Aku tahu dan sedar dengan perkara yang sedang kami lakukan ini adalah berdosa. Aku tau semua ini dosa. Berdosa bila aku bercakap dengan dia, mesej dia, video call dia.

Sungguh aku terseksa dengan rasa ini. Dia juga begitu. Setiap kali solat, aku menangis. Bangun solat tahajud. Menangis. Sungguh aku terseksa. Aku nk buang perasaan ini. Tapi aku tak mampu. Aku cerita pada dia. Ya, dia juga begitu. Aku tahu Allah dengar suara aku. Cuma bagaimana dan bila, aku tak tahu.

Lepas raya 2019. Dia mula menjauhkan diri. Dia larang aku telefon dia, cuma WA sahaja. Dia kata, ketika bulan puasa itu dia banyak muhasabahkan diri, mengenang dosa.

Ya, aku yakin Allah makbulkan doa aku dengan cara begini. Dia sedih. Aku juga. Tapi sampai bila nak jalani kehidupan begini? Perhubungan yang tiada arah tuju.

Katanya, “jika ada jodoh akan datang, kita tak tahu. Jika sudah umur 80 tahun pun, jika ketika itu sampai jodohnya, dia sanggup untuk terima aku. Tapi untuk ketika ini, kita tak boleh teruskan hubungan ini”.

Aku bersyukur, jika ini pengakhirannya. Aku bersyukur, dia kuat untuk tidak melayan aku lagi. Aku bersyukur, perhubungan kami ini tidak diketahui oleh sesiapa pun. Allah masih mahu menutup aib kami.

Aku blocked facebook dia. Cuma terkadang jika rindu aku cuma beristighfar sambil menangis. Sakit. Kelemahan aku adalah walaupun aku cuba sibukkan diri, tetap boleh ingat dia juga.

Jika apa- apa disekeliling aku yang ada kaitan dengan dia, pasti akan teringat dia. Contoh jenis kereta, negeri tempat tinggal dia, macam-macam lagi lah.

Point penting yang aku nak sampai disini bukan lah nak bagitahu tentang cinta sejati atau cinta tak kesampaian. Tapi aku nak bagitahu ini semua adalah ujian. Allah uji aku dan dia. Uji sejauhmana tahap keimanan kami berdua.

Aku struggle nak buang perasaan tu. Perasaan dan bayangan dia yang sangat mengganggu hidup aku. Pada masa yang sama perlu menjalani kehidupan seperti biasa dihadapan suami terutamanya. Tapi aku tetap bersangka baik pada Allah. Allah sayang aku. Allah sayang dia.

Aku tak perlukan kecaman atau nasihat daripada pembaca semua. Aku ok sahaja disini. Masih dalam proses merawat hati. Proses ini perlukan masa juga dan aku hanya berserah pada Allah.

Jika anda pembaca semua mengecam tulisan ini, silakan. Anda tidak akan faham jika anda tidak mengalaminya sendiri.

Dahulu aku pun kecam juga bila ada isteri orang bercinta dengan suami orang. Tak faham kenapa mesti tagih kasih lelaki lain lagi, terutamanya kes macam aku ni. Cinta tak kesampaian. Tapi bila aku alami sendiri, hanya yang kuat sahaja berjaya atasi perasaan tu.

Doakan aku terus kuat. Yes, struggle is real. Moving on is hard but i will keep trying. Sesungguhnya, MENCINTAI DAN MENYAYANGI TIDAK SEMESTINYA MEMILIKI.

– Z (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *