Hi. Nama aku Z. Aku rasa terpanggil untuk berkongsi kisah aku. Mungkin ada yang di luar sana yang mempunyai kisah yang sama seperti aku.
Aku berusia lewat 20-an dan bekerja sebagai penjawat awam. Nasibku agak baik apabila aku bekerja aku ditempatkan di kampung halamanku sendiri, berkat doa ibu dan ayah yang tak putus mendoakan kebaikan anak mereka. Aku tinggal bersama ibu dan ayah aku.
Seperti mana orang lain, di usia seperti aku sepatutnya aku sudah mendirikan rumah tangga. Akan tetapi nasib semua orang tidak sama. Aku masih single and available bak kata orang muda.
Dulu semasa aku mula-mula melanjutkan pelajaran di sebuah IPT, aku berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan pekerjaan yang bagus selepas aku menamatkan pelajaran.
Zaman belajar adalah zaman yang indah. Ada yang mencari jodoh, ada juga yang bertemu jodoh. Semasa awal tahun pertama aku belajar, aku bertemu dengan seseorang di IPT aku.
Elok akhlaknya, rupanya sedap mata memandang dan orangnya bijak dalam pelajaran. Selalu mendapat keputusan yang baik di akhir semester. Tiada alasan untuk sesiapa pun tidak jatuh hati kepadanya termasuklah aku.
Sekian lama aku memendam rasa. Sepanjang tahun pengajian aku, aku tidak pernah memandang orang lain. Setia dalam diam. Selalu aku mendoakan dari jauh walau kadangkala aku kalah dengan perasaan sendiri. Selalu mencuri pandang dari jauh.
Bila kau menyimpan perasaan pada seseorang mana mungkin kau mampu menahan perasaan untuk tidak memerhati. Bunyi macam stalker lah pulak kan hahahaha. Bukan begitu, cuma apabila sesekali bertembung mesti hati kau berbunga betul tak.
Sesekali aku dan dia bertegur juga. Aku dan dia saling mengenali walaupun tidak rapat. Dia seorang yang peramah. Apabila bertembung dia selalu juga bertegur sapa dengan aku, akan tetapi aku sedikit pemalu.
Walaupun hatiku rasa berbunga aku cuba untuk mengawal perasaan sendiri. Aku ingin sekali menyatakan perasaan aku kepadanya, tetapi rasa takut lebih menguasai diri.
Takut akan penolakannya. Kelak kalau bertembung pasti rasa pelik. Tak mampu aku nak menatap matanya lagi. Lalu aku biarkan sahaja perasaan sendiri. Aku masih memendam perasaan dari jauh.
Di akhir tahun pengajian aku, aku menerima berita yang dia akan melangsungkan perkahwinan dengan pasangan pilihannya. Berdebar rasa hati waktu aku mendengar perkhabaran tersebut. Tak dapat aku gambarkan perasaan apa yang aku rasa pada waktu itu.
Terkejut? Sedih? Takut? Keliru? Patah hati? Aku keliru dengan perasaan aku sendiri. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang sebenarnya aku rasakan ketika itu.
Selepas dari perkhabaran itu aku lebih banyak memdiamkan diri dan termenung. Aku melayan perasaan sendiri. Sukar untuk aku terima hakikat orang yang aku suka selama bertahun-tahun bakal jadi milik orang lain.
Tapi selepas itu aku cuba menerima hakikat yang dia bakal jadi milik orang lain. Silap aku juga kerana tidak cuba untuk merebut hatinya dari awal. Hanya berdiam mengharapkan keajaiban dari Tuhan. Mana mungkin kau dapat sesuatu tanpa usaha.
Aku redha. Aku berlapang dada dengan pilihannya. Aku dan dia tidak berjodoh. Dia sudah bertemu pilihan hati.
Dia ada menghantar kad jemputan kahwinnya kepada rakan sekelasku. Dia menjemput rakan-rakan satu batch kami. Akan tetapi mana mungkin aku dapat menghadiri majlisnya. Melihat dia di pelaminan bersama orang lain. Walau hati aku sudah redha, sakitnya masih ada.
Tidak lama kemudian kami pun berjaya menamatkan pelajaran dan masing-masing menempuh alam pekerjaan. Seperti yang aku katakan di awal penceritaan aku, aku berjaya mendapatkan pekerjaan di kampung halamanku.
Aku bersyukur walaupun sebenarnya aku ingin sekali mendapatkan pekerjaan di tempat lain. Ingin rasa hidup berdikari tanpa bantuan ibu ayah. Akan tetapi aku harus berlapang dada dengan ketetapan Allah. Ada hikmah aku ditempatkan di kampung sendiri.
Tidak lama selepas aku bekerja aku mendapat perkhabaran yang si dia juga bekerja di daerah yang sama dengan aku. Terkejut? Ya. Itu yang aku rasa.
Aku mengharapkan selepas episod aku patah hati aku dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. Akan tetapi Allah telah menetapkan yang si dia bekerja di kawasan yang sama dengan aku. Kemungkinan kami untuk bertemu adalah sangat tinggi.
Di awal dua tahun aku bekerja aku bernasib baik. Aku tidak pernah bertembung dengannya. Mungkin kerana hati aku masih rapuh. Sakit patah hati takkan hilang dalam sehari dua, walaupun sudah hampir dua tahun berlalu hati aku masih terasa lagi.
Tahun seterusnya ditakdirkan Allah kami bertembung. Allah jua yang tahu apa yang aku rasa pada masa itu. Jantungku berdebar sangat laju di kala itu. Tapi aku berjaya menyembunyikan perasaan aku. Kami bertegur seperti biasa, seperti kawan lama yang sudah lama tidak bertemu.
Dia masih seperti dulu. Masih peramah, pandangan matanya masih sama. Hati aku sungguh tak keruan. Tapi aku tahu dia milik orang apatah lagi dia dan pasangannya sudah menjadi ibu bapa kepada seorang permata hati.
Setelah dari itu sehingga ke hari ini aku kerap bertembung dengannya atas urusan kerja. Dia masih melayan aku sepertimana dahulu.
Sehingga ke detik ini hampir 10 tahun aku masih merasakan perasaan yang sama sepertimana aku bertemu dengannya waktu pertama kali.
Benarlah rasa sayang itu Allah yang campakkan di dalam hati. Allah jualah yang membolak – balikkan hati. Aku redha dan aku terima ketentuanNya. Dia bukan milik aku, walau hati aku masih terasa sakitnya jauh di sudut hati aku, aku bersyukur dan aku berbahagia untuk dia.
Dia seorang yang baik. Aku gembira melihat dia bahagia walaupun bukan aku di sampingnya. Aku berlapang dada. Aku doakan dia bahagia sehingga ke syurga dengan keluarga kecilnya. Aku doakan kita masih kekal berteman sampai bila-bila.
Buat pembaca di luar sana aku harap jika kau juga seperti aku, berlapang dadalah dengan ketentuanNya. Walau hati kau masih belum dapat melupakan, tidak mengapa.
Satu hari nanti akan ada seseorang yang dapat menjentik hati dan kau akan dapat merasa bahagia semula. Mungkin belum sampai masanya lagi, tapi suatu hari nanti inshaa Allah.
Doakanlah, doakan diri sendiri, doakan juga orang yang kita sayangi untuk bahagia. Jangan ada rasa dengki di dalam hati. Jangan pernah kau merasa iri dan kau ingin merebut bahagia orang lain.
Walau kau mampu, walaupun pernah terlintas atau terdetik di hati kau tapi jangan pernah sekali kau melakukannya. Walau sekuat mana rasa sayang kau jangan peenah sekali kau mencuba untuk meruntuhkan rumah tangga orang lain.
Berlapang dadalah. Inshaa Allah, Allah akan membalasnya. Mungkin bukan dengan jodoh tapi dengan rasa ketenangan.
Aku mungkin belum dapat melupakan sepenuhnya tapi dengan berlapang dada aku merasa tenang. Aku doakan mereka yang seperti aku juga berasa tenang. Sekian.
– Z (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit