Terlihat Miskin Tetapi Berpada

Untuk part I, (https://iiumc.com/orang-kaya-yang-terlihat-miskin/).

Alhamdulillah, terima kasih kepada yang sudi membaca dan melontarkan komen yang murni untuk aku berkongsi lebih lagi cerita.

Aku didalam cerita yang dikongsikan sebelum ini tidak menceritakan 100% kehidupanku kepada kalian, supaya adalah modal untuk aku kupas cerita kehidupanku dengan lebih mendalam.

Aku tidak menyeru pembaca mengikut jejakku, jauh sekali kagum dengan cerita-ceritaku. Ini hanyalah sisi kehidupan orang yang ingin hidup biasa seadanya.

Jujur aku katakan, bahawa jika aku berada diluar dari tugasan (sewaktu bukan dalam waktu kerja), aku lebih selesa bertudung lusuh, berseluar sukan dan berkasut sarung sahaja tetapi bukan sewaktu kerja.

Waktu kerja aku mestilah kelihatan professional, dan baju itu jugalah aku ulang-ulang untuk bergaya. Adakala aku juga berkasut tinggi kerana tugasanku memerlukan aku untuk sentiasa mempengerusikan mesyuarat juga untuk membentang dihadapan pegawai-pegawai atasan di kementerian.

Aura kasut tinggi sebenarnya membuatkan aku terasa yakin dan memberikan postur badan wanita yang tegap, lampai dan kuat walaupun sebenarnya aku ini kecil sahaja orangnya.

Sewaktu bukan dalam mod bertugas, aku begitulah sehinggakan aku selalu disindir oleh mak mentua bahawa orang yang memakai seluar sukan sewaktu ke shopping complex itu kelihatan selekeh.

Mak mentua aku tidak menyindir secara direct tetapi lebih kepada berkias… contohnya: tengok kak shila awak tu (kakak ipar). Selekeh betul jadi orang. Pakai seluar sukan dengan t-shirt aja. Lepastu mukanya takde calit calit sikit lipstick ke apa.. ujar mak mentuaku.

Sebenarnya mak nak sindir aku tu.. tapi aku senyum je, kah! malas hendak ambil hati kerana mak mentua aku tu dah macam mak aku.

Mak mentua pernah tengking aku depan orang ramai kerana aku tersalah apa, aku tak ingat, tetapi esoknya aku sejuk semula. Begitulah kamcingnya aku dengan mak mentua ku.. tidak ambil hati langsung.

Jika Hari Raya pula, lebih kurang 10 tahun juga aku tidak membeli baju raya. Tetapi, baju anak-anak dan baju suami aku tidak pernah lupa. Biarlah aku seorang yang tidak berbaju baru tetapi bukan orang disisiku.

Piawaian mak mentuaku adalah baju mesti baru ketika hari raya. Jadi, aku ikutkan untuk menghormatinya tetapi bukan baju untuk aku. Aku hanya akan padankan baju yang sesuai dengan tona warna baju mereka dan digayakan semula.

Hari kedua, ketiga pun sama. Aku terlebih dahulu memilih-milih baju lamaku dan dipadankan dengan anak-anakku dan suamiku. Aku bahagia, aku gembira tetapi tidak bermaksud aku menepikan hasrat dan kehendak orang-orang yang aku sayangi.

Tentang handbag berharga ribuan pula, aku sudah berikan kepada mak mentua dan juga kakak iparku. Seronok melihat mereka bergaya dengan barang yang kubeli hasil titik peluhku dahulu.

Jujurnya aku masih sayang, tetapi handbag tersebut akan buruk jika tidak dipakai. Lebih elok berikan kepada sesiapa dalam keadaan yang masih baru dan cantik, bukan buruk untuk didermakan.

Aku ditempat kerja? Hanya memakai handbag biasa tiada jenama. Kadang-kadang aku pakai pouch goodies atau pouch telur yang aku dapat dari tempat kenduri sahaja. Ada juga beberapa kakitangan ku yang selalu mempromosikan handbag berjenama kepadaku..

“Dr. katanya, tukarlah kantung (pouch) tu, saya ada jual handbag branded murah-murah aja”.. Aku hanya senyum tetapi menolak dengan baik jika dipelawa.

Aku sering mengelak dari reunion kawan-kawan lama. Tidak suka jika perbualan selalu membabit hal berkaitan harta.

Disitulah ada bertanya, rumah dah beli ke belum, dah beli, tanya pula rumah ada berapa. Cerita pula pasal kereta, cerita lagi pasal barangan-barangan peribadi yang dibeli, sedangkan disatu sudut kawan-kawan yang bekerja sendiri menggigit bibir mendengar cerita.

Elakkan lah bercerita mengenai harta kita jika kita berjumpa kawan-kawan lama, atau sesiapa jua pun. Itu adalah pencapaian personal untuk kita kenang kesusahan mendapatkannya, tetapi bukan untuk dikongsi cerita tersebut kepada sesiapa yang tak punya.

Ceritalah mengenai kehidupan, isu semasa, hobi, masakan, anak-anak dan lain-lain hal.

Tentang kereta pula. Alhamdulillah kereta yang aku pakai ini masih mampu membawa ku ketempat kerja dengan baik.

Ada juga sesekali disapa kakitangan ditempat kerja dengan mesra.. “taknak tukar kereta baru ke?’’ ujar mereka.

Dahulu, ku pakai kereta baru, CC besar dan mewah. Sehingga suatu ketika aku menjual kereta tersebut demi pengajianku. Sehingga ku genggam PhD ku dan mendapat menerima gaji lumayan ini, tiada fikiran nakal menerjah minda untuk untuk menukar kereta baru.

Cuma kebelakangan ini, aku perlu bekerja diluar kawasan yang jauh.

Terasa sakit-sakit sendi ku. Aku pernah diberi pinjam kereta yang agak mewah oleh bengkel sebagai ganti sementara kereta ku dihantar kebengkel kereta.

Kebetulan, aku harus menghadiri mesyuarat di satu tempat di Utara. Lain benar rasanya ya. Penat itu sedikit, dan sendi tidak berasa lenguh seperti aku sedang memandu kereta ku.. Nantilah, aku fikir lagi samada ia betul-betul perlu atau tidak.

Kalian yang membaca, Syukurlah diatas nikmat wang yang diberi tuhan. Pakailah apa sahaja yang kalian mahu, asalkan tidak angkuh dengannya.

Aku gembira kalian ada rumah besar, kereta besar, handbag mahal, baju ribuan. Syukur kepada Tuhan kalian mendapat nikmat itu.. aku juga mendapat nikmat ini.

Semoga kalian akan berjumpa lagi dengan tintaku selepas ini untuk aku ceritakan tentang Abang Omar.

– Latipah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *