Derita Yang Bahagia

Aku teringin nak kongsi cerita duka aku sebab aku nak kongsi sesuatu yang baik untuk semua.

Aku seorang wanita yang lahir dalam keluarga yang tak harmoni macam kawan-kawan sebaya.

Ayah ku seorang yang panas baran, kaki pukul dan kuat maki. Kalau sehari tak dipukul boleh jadi satu hari yang pelik. Tapi Allah kurniakan aku kelebihan sedikit sebab aku ni antara budak yang cerdik.

Aku sentiasa simpan azam untuk keluar menjadi orang yang berjaya dan masuk universiti. Membesar dalam keluarga yang haru biru buat keazaman aku untuk berjaya berkobar-kobar.

Setiap hari keremajaanku sentiasa diuji. Aku pun tak pasti aku seorang anak yang memang bermasalah atau ayah aku yang sebenarnya mental dalam egonya sendiri.

Aku tak ada keluar dengan lelaki, memang jauh sekali. Belajar pun aku sangat cemerlang. Patutnya aku anak yang sangat dibangga. Ayah akan menggila tanpa diduga, kesilapan yang sedikjt aku boleh sampai diludah dan dipijak dimuka.

Maki dan hinaan dah macam perencah wajib setiap hari. Disebabkan dah terlampau dimarah dan segala macam yang dihadap aku boleh pula menjadi seperti tunggul. Melawan pun tak, menjawab jauh sekali. Redho sahaja menahan sakit dan sengsara.

Setelah puas dihenyak aku sambung sahaja menangis dibilik.

Emak tak dapat beri pertolongan. Apa lagi beri nasihat kepada ayah. Kami pendamkan sahaja perangai ayah begitu. Apa nasib badan aku serahkan sahaja. Sehinggalah aku tamat spm dan dapat keputusan yang cemerlang. Akhirnya dipendekkan cerita aku dapat belajar di UTM.

Perpisahan dengan keluarga buat aku menangis sekali lagi. Puas rasa hati dapat pergi jauh dari penjara itu tapi penderitaan aku tak berkesudahan.

Aku dibiarkan menjadi seorang pelajar yang sangat daif. Kebajikan kewangan tidak dipeduli dengan alasan miskin maka tak dapat nak hantar duit belanja.

Untuk pengetahuan, aku tidak belajar di universiti atas pilihan kehendak dan kesesuaian sendiri. Walaupun aku cemerlang SPM tapi aku pelajar jurusan akaun.

Ayah memaksa aku untuk ambil bidang kejuruteraan. Tawaran berjaya untuk untuk ke UiTM ayah buang sahaja dalam tong sampah.

Sedihnya hati bila bidang perakaunan yang diidam tinggal impian. Ayah paksa ke UTM. Tiada pilihan aku turutkan sahaja sehinggalah detik yang menakutkan aku terima bahawa aku dibuang kerana keputusan semester 1 gagal. Selamat tinggal segalanya.

Tidak berputus asa, aku merayu kepada dekan akhirnya aku diterima untuk meneruskan pengajian kebidang yang aku idamkan sepertimana dalam rayuanku didengar oh indahnya.

Meneruskan pengajian dalam serba kekurangan. Disebabkan rekod pernah gagal maka biasiswa ku juga ditarik. Menumpang hidup di rumah ibu saudara yang hanya berkerja kilang buat aku sangat bersyukur masih ada ruang untuk terus berjuang.

Malam hujung minggu jam 9 hingga 3 pagi aku buat kerja sambilan di warung dengan upah RM15. Cukuplah buat belanja dengan jimat cermat 3 hari di Kuala Lumpur. Kerja aku mudah sahaja ambil order dari kaki lepak yang suka bersembang larut malam.

Gadis muda 18 tahun di Kuala Lumpur boleh kerja pelayan warung! Mata-mata mula memerhati. Lalu aku ditawarkan menjadi ‘teman’ seorang pemuda kaya. Dengan menjanjikan segala perbelanjaan ditanggung buat aku berfikir dengan waras. Lari atau ikut.

Dengan sedikit jati diri mahu berjaya dengan kemuliaan, aku ambil keputusan untuk pergi jauh dan tinggalkan segala tawaran manis. Allah sayangkan aku! Tidak lama selepas itu rayuan MARA untuk pinjaman pelajaran diluluskan.

Meneruskan hidup di Kuala Lumpur dengan berjimat, tamat belajar dengan penuh syukur, walaupun tidak terlalu cemerlang sekadarnya pun sudah cukup indah untuk gadis miskin macam aku.

Aku pernah berpura-pura berpuasa sahaja dengan kawan-kawan sebab duit hanya cukup tambang pergi dan balik naik bas intrakota no 16. Balik ke rumah aku intai saki baki makanan lebihan yang ibu saudara tinggal.

Dia pun bujang dan bersendiri dia tidak juga menjanjikan untuk melengkapkan makan dan minum aku. Aku memang faham sangat keadaan diri aku. Jadi aku tidak bersungut. Dapat tumpang tidur pun sudah cukup rahmat.

Rintih hati hidup sukar sudah jadi makanan kehidupan sejak dari rumah pun ibu ayah tidak menyajikan yang indah. Kesusahan di Kuala Lumpur buat aku menjadi semakin kental dan bermaruah.

Walaupun aku melangkah dengan penuh cerita duka. Namun aku tidak pernah melayan buruk ibu dan ayah. Sesekali aku pulang ke kampung, ayah masih begitu.

Tambah pula aku hanya kerja sebagai kerani bank apalah sangat baginya. Sudah berkahwin pun dia boleh lagi memaki ku dengan alasan meloya katanya dengar aku bercakap ikut lorat utara. Sudah beranak pinak pun masih dimaki. Sedih hati simpan mati!

Rumusan dari penceritaan ini ingin aku khabarkan tiada halangan untuk menjadi ‘seseorang’ biarpun berentakkan hati penuh kesedihan. Banyak lagi cerita duka yang tidak tergamak untuk dikongsi. Biarlah sekadarnya sahaja.

Hari ini aku sangat bahagia, punya keluarga kecil yang buat hidup ini merasa banyak kemanisan akhirnya. Ada sedikit perniagaan sendiri buat hidup rasa cukup. Cukup untuk sebuah kehidupan yang tenang.

– Suhana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *