Memori Lama

Teringat waktu itu, sewaktu Latihan Mengajar. Aku mengajar sebuah kelas tingkatan 4 yang paling hujung. Mempunyai 10 orang pelajar lelaki, 4 orang pelajar perempuan. Dan bertambah seorang pelajar perempuan yang berasal dari kedah sewaktu akhir Latihan Mengajarku.

Mengajar di kelas hujung. Apa yang boleh diharapkan. Apa yang ingin ditemukan. Apa sebenarnya yang ingin Allah suratkan. Tiga kelas aku mengajar. Tapi kelas ini yang masih kekal dalam ingatan.

Setiap pagi isnin selepas perhimpunan. Aku berkejar ke surau untuk mengajar tiga masa bersama mereka. Hanya sekali seminggu bertemu mereka. Dan yang pasti H**** sudah menunggu aku di pintu surau. Dan kadang kala A**** ada bersama pada waktu pagi.

Dua orang lagi pelajar perempuan sepanjang 16 minggu Latihan Mengajar hanya 2@3 kali aja masuk ke dalam kelas. Yang peliknya nota siap pula bila diminta oleh aku.

10 anak pelajar lelaki yang banyak modal bicaranya. Yang tentunya tak pernah sekali pun cukup bilangannya. Ada kalanya hanya 4 orang yang hadir. Ada yang memang tidak hadir ke sekolah. Dan ada yang berkunjung ke flat sebelah.

Pada awalnya aku bertegas dengan mereka. Cuba pamerkan sisi ketegasan seorang Sxxxxx. Namun bila diperhatikan sejenak bila mana ada pelajar yang berubah air mukanya, kelihatan merah menahan marah setelah dibebeli oleh aku kerana kelewatan datang ke surau.

Aku mengira mereka ini bukanlah anak-anak yang bisa dimarahi dan dileteri. Jadi strategi lain diambil. Cakap secara sopan dan hormat denganmereka. (Kenapa macam indon aje ayat hahaha).

Bercakap dengan sopan. Dan biar mereka rasa dihormati. Lantas mereka pun akan pamerkan cara yang sama. Pesanan agar buku teks dibawa. Hanya mengambil masa 5-10 minit untuk datang ke surau setelah perhimpunan. Mereka cuba hadamkan apa yang aku pesan dan cuba turuti semampu mereka.

Mengajar mereka bukanlah seperti mengajar kelas pertama yang silibus pelajaran menjadi tugasan utama. Mereka adalah anak-anak yang kelihatan ada lompang pada kasih sayangnya. Aku banyak menghabiskan masa berbual dan meng’attack mereka.

Pernah bertanya. Apa perkerjaan orang tuamu. Seorang berkata ayahnya pesara guru dan ibunya pensyarah. Seorang lagi ayahnya jurutera dan ibunya bekerja pejabat. Wah! Anak² yang dilahirkan dalam keluarga yang agak senang jua.

Lantas aku bertanya lagi kepada pelajar yang ibunya seorang pensyarah perubatan dan ayahnya pesara guru pendidikan khas. Jadi awak Ahmad (bukan nama sebenar) ingin ikut jejak langkah ayah awak ke mak awak?

Ahmad yang merupakan anak bongsu dari dua beradik terkaku dengan pertanyaan aku. Tidak seiring dengan keperibadian asalnya yang kuat menjawab dan nakal. Dia seolah-olah berfikir sejenak.

Anak matanya bergerak ke sebelah kanan yang menunjukkan dia terfikir akan maksud pertanyaanku. Dan anak-anak pelajar lelaki lain cuba menyelamatkan Ahmad dari situasi bingung itu lantas memberi cadangan “jejak langkah diri sendiri”.

Seperti biasa anak-anak ini memang pintar dan cerdas menjawab kembali setiap persoalanku. Ahmad dengan ragu-ragu berkata “jejak langkah saya sendiri”.

Pertanyaanku tidak terhenti di situ. Siapa yang mengenali seorang xxxxxx pastinya tahu yang aku akan bertanya soalan bertubi-tubi dan waktu itu kali kedua atau ketiga aku masuk mengajar di dalam kelas itu. Dan aku belum cukup mengenali personaliti setiap pelajar. Salah satu cara ingin mengenali pelajar adalah dengan bertanya tentang keluarga mereka.

Antara 10 orang pelajar lelaki. Ahmad yang paling besar dan sangat kelihatan yang diorang yang sangat nakal dan suka mengejek setiap apa yang aku utarakan.

Antara soalan lain yang aku kemukakan adalah, “apa masakan mak awak yang paling awak suka?” Lalu dia dengan selamba menjawab nasi lemak. Aku tidak berfikir dengan panjang sama ada itu memang betul jawapannya ataupun dia hanya menjawab sekadar membalas pertanyaanku.

Ada satu hari tu, aku harus relief (ganti guru lain) kelas mereka. Pelajar perempuan perlu hadir ke satu sesi taklimat. Jadi hanya pelajar lelaki yang perlu aku perhatikan. Menunggu di surau. Entah bila waktu mereka akan kelihatan.

Lantas aku panjat ke tingkat 3 mencari mereka. Dan mereka tidak berada di dalam kelas, kemungkinannya masih rehat kerana sebelumnya itu waktu rehat. Aku sudah berniat ingin mengajar mereka kerana kelas mereka agak ketinggalan kerana kebanyakan cuti yang jatuh pada hari isnin dan program yang berlangsung di sekolah.

Aku baru aje ingin meneruskan perancangan aku mengajar mereka walaupun waktu relief. Tetiba pelajar dari kelas ketiga sebelum akhir lantas masuk ke dalam surau dan ingin turut serta dalam pengajaranku.

Guru asal mereka tidak ingin mengajar kerana dibimbangi pelajar perempuan ketinggalan dalam pelajaran. Lantas aku perlu menghadapi lebih kurang 15 orang pelajar lelaki berusia 16 tahun.

Pelajar kelas lain yang kebanyakannya tidak mengenaliku memberikan cadangan agar menonton movie. Lalu semua pun masing-masing kelihatan menyokong cadangan tersebut lantaran kerana terdapat layar skrin ke skrin layar di dalam surau. Aku sebagai seorang guru pun kembali merencanakan apa yang perlu aku lakukan dalam situasi tersebut.

Oleh kerana, waktu tersebut hanyalah waktu relief. Jadi aku turutkan saja permintaan mereka. Yang pastinya video yang disiarkan adalah video yang memberikan pengajaran dan iktibar kepada mereka. Aku mainkan video tentang tanda-tanda hari kiamat, ujian hidup dan lain-lain.

Semua terdiam aje sebab semua video yang aku mainkan tidak seperti yang mereka harapkan. Aku tahu mereka berharap yang aku mainkan movie untuk hilangkan kebosanan diorang.

Setiap video yang aku mainkan, aku pasti akan bertanya kembali kepada mereka apa yang awak faham daripada video tersebut. Dan mereka dapat menjawab dan memahami intipati dan mesej setiap video meskipun daripada kelas hujung. Dan jawapan mereka itu lebih baik berbanding jawapan ujian bulan mac mereka. .

Salah satu video yang aku tayangkan adalah video seorang anak yang membenci ibunya kerana ibunya buta sebelah mata, dia berasa malu dengan keadaan ibunya.

Tanpa dia mengetahui bahawa ibunya telah memberikan mata kepada dirinya kerana dia mengalami kemalangan sewaktu kecil dan kehilangan matanya. Seorang ibu sangat sayang kepada anaknya dan sanggup berkorban apa pun kepada anaknya. Itu lah kata-kata yang aku nyatakan kepada anak-anak pelajar waktu itu.

Lantas, seorang pelajar lelaki yang dari kelas lain mencelah dan menunjukkan jari ke arah Ahmad lalu berkata “tapi mak dia tak sayang dia ustazah”. Aku dalam keadaan tak bersedia dengan pernyataan itu cuba menghadam maksud yang tersirat melalui kata-kata itu.

Ahmad yang merasa malu agaknya menunjukkan protes dengan menumbuk rakannya yang mengatakan perihal tentang dirinya dan menafikan hal tersebut dengan berkata “ehh, taklah”.

Rakannya itu aku kira masih belum matang, dan masih cuba menegakkan apa yang dikatakan itu benar, lalu berkata “ehh, ye kan, mak kau tak sayang kau”. Lalu dia menambah, ” kalau ustazah tahu kisah Ahmad, mesti ustazah sedih”.

Aku yang ingin meredakan situasi itu lantas berkata, ” sekarang ni pun ustazah tengok Ahmad, ustazah dah rasa sedih”. Masing-masing terdiam waktu itu seingat aku sebab keadaan agak tegang sebenarnya jika memerihalkan tentang ibu bapa.

Untuk kelas yang seterusnya Ahmad tidak hadir di atas sebab yang agak melucukan kalau diceritakan padahal dia tidak pernah ponteng dan tidak hadir sepanjang aku mengajar kelas tersebut. Jadi hari tersebut aku cuba bertanya kepada pelajar lain. Apa sebenarnya masalah Ahmad dengan ibunya.

Aku mengira yang aku akan mendapat jawapan bagi pertanyaan aku itu. Namun ternyata sangkaanku meleset. Pelajar lelaki lantas menjawab. “Ustazah tanya lah Ahmad sendiri “. ” Ustazah face to face dengan dia. Nanti dia jawab” .

Aku cuba memancing mereka untuk menjawab soalan tersebut. Lantas mereka memberikan jawapan yang membuat aku terdiam. ” Tak boleh ustazah, aib”. Allah. Ustazah kena pukul dengan anak murid sendiri. Anak murid yang nakal dan yang tak lulus ujian. Mereka mungkin tidak beradab. Adakalanya nakal dan memeningkan.

Tapi mereka tahu untuk menjaga maruah rakan mereka yang lain. Kebiasaannya kita dapat mencungkil rahsia pelajar lain melalui rakan mereka. Tapi tidak dengan mererka kerana mereka tahu menghormati dan merahsiakan perihal rakan mereka.

Aku cuba mengimbas kembali setiap kata-kata Ahmad termasuklah jawapan nasi lemak tu. Apa sebenarnya maksud ibunya tidak menyayangi dirinya. Namun aku tidak berkesempatan untuk menemui jawapan itu kerana tidak sempat bertanya sendiri kepada Ahmad.

Dan ada sekali tu, waktu mula-mula mengajar kelas tersebut. Aku ada memasang telinga yang Ahmad ada bagitahu rakan-rakannya dengan berkata “cita-cita aku dulu ustaz”. Lalu disambut gelak ketawa rakan-rakan kerana mengira itu cuma lah gurauan semata. Tapi dari pandangan aku kata-kata itu ada maksud yang tersirat.

Antara kekesalan aku adalah tidak sempat untuk bertanya langsung kepada Ahmad tentang dirinya. Aku tidak menemukan kesedihan yang lebih sakit dalam hidup ini berbanding kesedihan diabaikan ibu sendiri. Teringat aku waktu itu, relief pelajar yang sedang Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Aku hanya berdiri memerhati anak-anak kerana dibimbangi mengalami kecederaan sewaktu bermain.

Lalu kelihatan Ahmad datang ke padang walaupun itu bukan kelasnya. Dari jauh dapat diperhatikan yang dia ingin mengambil kerusi untukku di kantin. Lalu dilarang oleh aku kerana waktu aku relief sudah habis.

Dan dia juga yang menyapu kelas sewaktu aku melalui hadapan kelas walaupun aku tahu ketika itu dia sedang ponteng. Anak ini mudahan menjadi seorang berguna meskipun ada kekesalan dalam hatinya.

Dalam dunia ini, kita akan temui ramai remaja yang memilih keseronokan sebagai pilihan mereka. Anak yang berseronok kerana ibu bapa yang memanjakan mereka. Ada yang sebagai tanda protes kepada orang tua. Tapi situasi seorang anak yang tidak disayangi ibunya sangat lah meruntun jiwa.

Ramai anak yang seperti Ahmad memilih untuk bersikap nakal kerana inginkan perhatian oleh orang tua. Dan berapa ramaikah lagi Ahmad yang ada di dunia ini. Jadi puncanya dari mana.

Salah Ibukah.

Bapakah.

Gurukah.

Masyarakatkah.

Pemimpinkah.

Dan solusinya ternyata semua mestilah kembali kepada agama yakni Islam.

TAMAT
———————————–

Harap ada pengajaran dan pedoman yang boleh diambil dari kisah ini.

Penulis kering idea dah eh. Tahniah jika anda berjaya membaca sehingga tamat.

Cerita 2 tahun lalu.

– Miss Mawar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *