Saya seorang wanita berusia awal 30-an. Anak sulung, masih bujang, lepasan degree dan mempunyai pekerjaan tetap. Hidup saya boleh dikatakan stabil. Kerap tukar pekerjaan dan terkini bekerja di sektor swasta sudah 4 tahun.
Tujuan menulis hanya untuk luahkan perasaan dan meminta pembaca lebih memahami apakah perasaan orang yang menderita masalah OCPD.
Secara ringkas, OCPD (obsessive compulsive personality disorder) adalah sejenis masalah gangguan personaliti yang menyebabkan penderitanya sentiasa ingin mencapai kesempurnaan dan keteraturan dalam kebanyakan aspek dalam kehidupan.
Dalam dunia pekerjaan, penderita OCPD biasanya berasa yang dia adalah aset syarikat. Dan memang tidak dinafikan, kebanyakan kerja mereka memang berkualiti. Senang cerita majikan memang suka pekerja seperti ini.
Antara ciri biasa pada pekerja dengan masalah ini ialah seorang yang sangat berdisplin, bagi perhatian pada detail, sangat rajin bekerja sehingga mengenepikan kepentingan lain seperti waktu makan dan keluarga, kerja lebih masa, susah nak ambil cuti tahunan, bekerja dengan list-to-do yang panjang, sentiasa mementingkan effisiensi dan sangat patuh arahan orang atasan.
Semua ciri tersebut saya letak perkataan penguat seperti sangat atau sentiasa sebab penderita OCPD buat semua itu secara extreme. Mereka buat benda ini semua bukan untuk pujian atau mengampu orang atasan. Mereka hanya mahu buat sesuatu untuk nampak terbaik.
Jika mereka adalah bos, ciri biasa adalah micro manage (istilah mudahnya bos bagi arahan secara khusus kepada pekerja dan expect mereka ikut bulat-bulat). Bekerja dengan bos seperti ini, pekerja mesti ikut cara yang sama untuk menyelesaikan sesuatu pekerjaan, walau ada berbagai lagi cara lain untuk menyelesaikannya.
Selain itu, bos dengan masalah OCPD juga mempunyai masalah untuk bahagikan pekerjaan kepada pekerja dan sering buat sendiri kerja tersebut untuk elakkan kualiti kerja terjejas sebab kerja orang lain dan susah percaya pada kebolehan pekerja.
Selain itu, mereka cenderung untuk mengikut sesuatu peraturan dengan keterlaluan dan sangat tidak flexible sehingga ke tahap mengabaikan emosi pekerja.
Tetapi, itu tidak bermakna yang mereka tidak bertanggungjawab, tiada perasaan atau memandang rendah kerja orang lain. Mereka biasanya akan ada masalah dengan rakan sejawatan dan pekerja bawahan sebab terlalu rigid dan serius.
Di perenggan ini, saya huraikan dengan lebih mendalam untuk lebih memahami apa yang mereka fikir sehingga bertindak seperti itu.
Contoh, datang awal untuk meeting. Sebabnya, OCPD menyebabkan penderitanya sentiasa bersedia secara keterlaluan sehingga ke tahap tidak sedar yang mereka belum makan untuk pastikan mereka bersedia untuk meeting tersebut.
Kerja sehingga korban waktu makan dan waktu dengan keluarga sebab mereka cuma mahu yang terbaik. Dalam pemikiran mereka, untuk buat yang terbaik mereka tidak boleh buang masa. Mereka juga antara yang selalu datang bekerja di hari cuti.
Mereka sangat taksub dengan kesempurnaan kerja sehingga abaikan masa cuti sendiri. Contoh lain, dalam situasi mereka terpaksa tukar plan yang telah dirancang, mereka sangat kurang toleransi dan mudah untuk berasa marah. Tetapi, malangnya mereka tidak tahu untuk menunjukkan perasaan marah.
Penderita OCPD susah untuk express perasaan samaada perasaan marah, sedih, gembira dan juga tidak tahu bagaimana express rasa sayang kepada orang lain.
Senang cerita mereka sangat formal, kelihatan kaku dan tidak pandai tunjuk rasa penghargaan kepada orang lain termasuklah kepada ahli keluarga sendiri.
Semua yang saya cerita di atas baru merangkumi satu sahaja aspek kehidupan iaitu dunia pekerjaan, belum masuk lagi aspek yang lebih besar dalam kehidupan seperti kekeluargaan atau lain lain.
Walau apa pun yang dirasai oleh orang yang perlu berhadapan dengan penderita OCPD, percaya lah yang mereka sebenarnya berada dalam keadaan tertekan. Bayangkan sahaja, masalah personaliti seperti ini biasanya terbentuk sejak awal remaja.
Kebiasaan penderita adalah lelaki, anak sulung atau tunggal, dibesarkan oleh ibu bapa yang terlalu protektif, tegas, membandingkan prestasi anak-anak, terlalu kawal anak dan sentiasa mengharap anak itu melakukan yang terbaik dan selalu dihukum apabila tidak berjaya.
Faktor persekitaran seperti masyarakat dan sistem persekolahan juga penyumbang kepada masalah ini selain faktor genetik. Mereka membentuk OCPD sebagai cara untuk melepaskan diri dari hukuman ibu bapa atau kata kata masyarakat sekeliling yang akan menyakiti mereka jika mereka gagal.
Dan perkara ini berterusan sehingga mereka dewasa kerana mereka terpaksa kekalkannya untuk terus selesa dan diterima. Mereka sanggup bekorban apa sahaja asal hasil pekerjaan mereka menepati standard tinggi mereka.
Cuba fikir, apa yang mereka rasa sejak awal remaja. Nak rasa seronok pun susah. Orang lain bersukan untuk seronok, tapi dia bersukan untuk menang.
Orang karaoke untuk lepaskan tension, tapi dia balik dari karaoke tension sebab suara tidak sedap. Padahal tiada pun orang judge suara dia sedap atau tidak. Bukan rancangan realiti pun. Dapat markah 80 dalam periksa pun dah sangat mengecewakan.
Melukis untuk menghasilkan lukisan terbaik, sedangkan lukisan cantik datang dari hati. Tahap mereka inginkan kesempurnaan sehingga kreativiti pun hilang walau ada bakat. Pergi melancong, tetapi stress sebab tidak dapat menghasilkan gambar percutian yang sempurna.
Semua telah lari dari aspek sebenar tujuan asal aktiviti tersebut iaitu keseronokan. Dan yang lebih menyedihkan, mereka tidak akan maafkan diri mereka jika mereka nampak gagal.
Di sebabkan semua kelainan pada mereka, penderita OCPD selalunya berseorangan sejak di bangku persekolahan, terasing dari orang lain walaupun mereka terbaik.
Walaupun mereka dihormati sebab dapat nombor satu, menang dalam sukan, kebanggaan bos, cikgu, pensyarah dan ibu bapa tetapi tidak ramai yang sayang. Sebab apa orang tidak sayang, sebab mereka terlalu kejar kesempurnaan sehingga abaikan orang lain.
Semua perkara di atas menyebabkan mereka terisolasi, banyak pendam perasaan, jadi pendendam, merasa tidak disayangi dan dihargai seterusnya membentuk masalah lain seperti kerisauaan melampau (anxiety) dan panic attack. Semua benda itu sudah cukup memenatkan orang seperti saya.
Sekian sahaja luahan dari saya, banyak lagi rasa yang nak dicerita tapi cukuplah setakat ini. Harap pembaca boleh memahami dan membantu orang yang ada masalah seperti ini.
Tolong beri perhatian pada mereka lebih lebih lagi jika mereka adalah orang yang anda sayang, tolong bantu mereka sedar yang mereka perlu pertolongan untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik dan berhak untuk rasa gembira walaupun terpaksa tinggalkan kesempurnaan.
-Bukan senang nak berubah-
– Rossa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit