Berbeza Walaupun Daripada Rahim Yang Sama

Aku Alang, anak keempat dari lapan beradik. Aku, Along, Ateh dan Acik, empat beradik perempuan. Empat lagi lelaki.

Aku ingin berkongsi kisah kami empat beradik perempuan. Ya, meski lahir dari rahim yang sama, watak kami jelas berbeza. Sukar meluah tapi aku mahu pembaca membantu. Cukuplah bantu kirimkan doa buat kami.

Membesar sebagai anak gadis dari keluarga miskin, aku jadi sedar diri. Sedar dan tahu diri juga asal-usul kami. Dari kecil, didikan Mak dan Bapa tak pernah berbeza.

Seperti anak perempuan lain, kami diajar kerja-kerja rumah. Sama. Tak ada yang berbeza. Maka, dewasalah kami dengan pandai urusan rumah.

Namun, didikan yang serupa tak menjadikan pandangan hidup kami sama. Aku anak paling gigih belajar.

“Belajar rajin-rajin. Jangan jadi macam Mak. Membaca pun Mak tak tau”.

“Ingat pesan Mak, anak perempuan kena ada kerja, ada duit sendiri. Jangan jadi macam Mak, nak beli bedak sejuk pun kena minta kat Pak kamu”.

Itu pesan Mak saban waktu. Persis gurindam yang membelai pendengaranku. Aku membesar dalam dodoi pesan Mak. Dan…vpesan itu terpasak kejap dalam ingatan.

Along membesar menjadi gadis manis yang rajin. Namun, Along agak sederhana dalam pelajaran. Berkat didikan Mak dan Bapa, Along pandai berdikari. Along pandai dan sedap memasak. Maka, itu menjadi mata pencariannya.

Walaupun bersuamikan seorang penjawat awam, Along kekal berusaha. Ya, Along ada duit sendiri.

Hebatnya Along ialah di mana susah senang adik-beradik, Along ada di situ. Kalaulah Along baca catatan ini… ketahuilah Along, Alang sangat sayangkan Along. Demi Allah, Along kakak terbaik buat Alang.

Aku pula anak yang paling mendengar. Gigih dan minat belajar dari kecil.

“Alang tau, mata pen ni boleh ubah nasib kita”, ujar Mak saat menemami aku belajar.

“Alang tak fahamlah Mak”.

“Kalau Alang belajar rajin-rajin, nanti Alang dapat kerja bagus. Ada gaji, ada duit. Alang boleh pakai baju cantik. Tengok baju Mak noreh ni, buruk, busuk. Alang nak macam ni?”

Nasihat Mak sungguh aku dakap erat-erat. Aku yakin dan percaya.

Maka, aku berjaya menjadikan mimpi Mak satu kenyataan. Aku dapat menghidu aroma bangga dalam diri Mak. Mak tentu gembira saat menyaksikan aku menerima segulung ijazah demi ijazah.

Acik. Adik perempuan bongsu ini cerdik orangnya. Memperoleh keputusan SPM yang baik, namun rezeki Acik sukar mendapat kerja yang baik. Beberapa kali memohon kerja di sektor awam, Acik tiada rezeki di situ.

Oh ya, mungkin pembaca tertanya. Mengapa tak mohon ke universiti? Bapa memang meletakkan had, sekolah sampai SPM sahaja. Bapa tak mampu membiayai pengajian tinggi kami.

Aku? Ya, selepas SPM aku berjaya menjadi penjawat awam. Maka, aku belajar sendiri saat sudah bekerja dan sudah berkeluarga.

Apapun Acik beroleh kerja dalam sektor industri. Sikap tenang dan sabar Acik menjadikan dia kekal bekerja di tempat sama hingga kini.

Syukur, Acik melalui peningkatan kerjaya yang baik. Cuma Acik tak sekental aku yang berusaha belajar dan belajar.

Acik walaupun adik bongsu namun matang berfikir. Tentu pembaca tertanya Ateh bagaimana pula?

Di sinilah ceritanya. Ateh, anak gadis Mak yang paling cantik. Sedari kecil Ateh memang cantik manis orangnya. Meski Mak tak pernah membezakan, Ateh seakan membina dirinya berbeza dari kami.

Ateh juga anak yang bijak. Cuma, seperti Acik, dia tak mencari jalan melanjutkan pelajaran di universiti.

Setelah bekerja, Ateh memilih belajar kemahiran yang digemari. Rezeki Ateh, dia sukses dalam bisnesnya. Rezeki Ateh juga bersuamikan lelaki yang berjaya dalam karier.

Sedari kecil, Ateh bersifat pendesak. Jika mahukan sesuatu untuk persekolahan, Ateh paksa Mak dan Bapa adakan. Jika tiada, Ateh akan mengamuk. Demikian, Ateh mewarna acuannya sendiri.

Ateh jadi berbeza dengan kami. Cara hidup, cara bercakap, cara bergaul dan cara berkawan.

Pendek kata Ateh berada dalam kelas orang atasan. Sedang kami, masih kekal membeli belah di pasar malam. Ateh barangkali selesa menjamah kayangan!

Segalanya menjadikan Ateh jauh dari adik beradik. Aku pula kekal menyantuni semua. Aku kan penakut? Aku tak tenang dengan perbalahan. Biarlah mengalah.

Maka, aku menjadi tempat Ateh bercerita. Ya, kerana aku setia mendengar.

Sehingga jika adik beradik susah, mereka enggan meminta bantuan Ateh.

“Pinjam duit Ateh lah”.

“Tak nak lah Alang. Aku segan”. Demikianlah.

Hingga kini, Ateh lah yang paling senang hidupnya. Namun, sikap mahu menang kekal ada dalam dirinya. Aku dan Acik memang bersifat mengalah.

Untuk memelihara suasana, aku selalu jadi pendamai. Walaupun ada sakit di mana-mana.

Acik pernah menegur aku.

“Alang ni lah punca Ateh macam tu”.

“Apa Ateh buat, kongsi dan tunjuk, Alang sokong, puji”.

“Alang bukan apa. Jaga hati aje”, aku mempertahankan diri.

“Tu punca Ateh ketagih puji. Ko lah Alang, bagi muka sangat. Semua dia nak dilebihkan”.

Along memihak kepada Acik. Aku tak marah mereka tapi merenung diri sendiri.

Along sangat sedih. “Sombong betul Ateh kan. Dah kaya, lupa dulu pernah miskin”. Luah Along suatu hari.

“Tak apalah Long, sampai ke mana sombong dia. Kalau dia buang kita pun, dia bukan boleh “beli” adik beradik lain”.

Aku memujuk Along. Nampak benar Along terkesan. Adik-adik yang Along sayangi, jaga dan lindungi, sudah mula berubah.

Untuk Along, kamulah kakak yang paling Alang sayang. Lagipun memang Along seorang sahaja kakak Alang. Along telah banyak berkorban untuk Alang juga yang lain. Alang tau Along penat. Maafkan adik-adikmu…

Untuk Acik, Alang cuba berubah. Alang belajar tahan diri memuji oada yang tak perlu. Kita tak benci Ateh kan? Acik kan kata, kita nak ajar Ateh. Kita biarkan dia tahu erti rindu.

Untuk Acik, hidup ini terlalu singkat… tak salah merenung akar pohon…. walau telah sampai di puncak tinggi.

Aku? Terus rindukan masa kecil yang naif. Saat kita memaksa tapi tak punya upaya… Dan kita belajar menerima.

– Alang (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *