Mak Dan Handphone Berpisah Tiada

Assalamualaikum semua pembaca. Tujuan aku share confession ni bukanlah untuk mengaibkan mak aku sendiri. Cuma nak meluahkan rasa sedih yang terbuku di hati dan aku mengharapkan semua yang membaca kisah ni sudi mendoakan mak aku supaya berubah. InsyaaAllah

Sebelum ke peringkat konflik sekarang ni, aku nak perkenalkan dulu bagaimana hubungan kami sekeluarga sebelum ini. Alhamdulillah kami keluarga yang bahagia. Walaupun abah tidak bergaji besar dan mak pula seorang suri rumah, kami mendapat keperluan fizikal dan kasih sayang yang mencukupi.

Mak seorang yang bersikap adil. Tidak membeza-bezakan kami enam beradik. Tetapi aku sendiri yang merasakan aku banyak menghabiskan masa dengan mak kerana kami mempunyai minat yang sama.

Bukanlah aku ini dimanjakan. Cuma kami berdua banyak membuat aktiviti bersama-sama disebabkan minat yang sama. Contohnya akan mengaji bersama-sama selepas maghrib setiap hari, menonton filem hindustan, atau yang paling ringkas hanya mengemas di dapur.

Bukanlah adik beradik lain tak menolong, mereka pun buat juga. Cuma aku yang merasakan ada ‘special bonding’ aku dengan mak. Tambahan pula aku satu-satunya anak yang menemani mak ke surau untuk terawih setiap kali Ramadan. Dari aku darjah lima sehinggalah aku kahwin masa umur 23 tahun.

Konfliknya bermula bila mak ada handphone sendiri. Mak mula berjinak-jinak dengan whatsapp. Kami adik beradik agak gembira kerana lebih mudah berkomunikasi dengan mak.

Tapi semuanya berubah bila mak join macam2 group whatsapp. Alumni sekolah la, saudara mara la, group surau la dan macam2 lagi. Memanglah group2 ni kedengaran biasa untuk kita semua, tapi mak aku punya komitmen untuk chatting dalam group2 ni sangat luar biasa.

Dia sentiasa aktif di semua group. Setiap message dia balas. Dia rajin hantar gambar. Dia rajin komen gambar-gambar orang. Profile picture ditukar 5-6 kali sehari. Kesannya? Handphone mula jadi fokus utama hidup mak aku.

Handphone sentiasa di tangan. Bunyi notification tak henti-henti. Dia memang leka sambil tersenyum menghadap skrin. Kami adik beradik semakin rimas dengan perubahan mak. Kalau kami tegur pun mak akan balas, “Ala kawan mak ni ha tanya, tengah buat apa”.

Kalau kami semua dengan cucu-cucunya berada depan mata sekalipun, mak tetap akan khayal dengan handphone. Sesekali dia tangkap gambar kami. Kemudian senyum seorang diri. Kami ibarat tak wujud di depan mata

Abah pun pernah meluahkan rasa tidak puas hati. Malah abah pernah delete group mak. Ada yang abah tekan left group. Hahaha. Tapi mak akan cuba cari jalan supaya kawannya invite dia semula. Bak kata mak, kawan-kawannya cakap, mak ni menceriakan suasana group.

Hubungan mak abah pun tak semesra dulu. Dulu selalu lihat mereka bergurau senda. Cuit mencuit. Sekarang mak banyak menghabiskan masa mengurung diri dalam bilik di tingkat atas. Abah pula menonton tv seorang diri di tingkat bawah.

Disebabkan kami semua tinggal berhampiran dengan mak abah, kami selalu datang menjenguk mereka. Abah cukup suka jika dapat bersembang dengan kami.

Kasihan abah. Memang terlihat di wajahnya yang abah selalu kesepian seorang diri. Memanglah mak masih menjaga makan minum abah, tetapi layanan mesra sudah hilang.

Keadaan bertambah parah bila mak makin suka menghias diri dan bergambar. Bila ada majlis keluarga atau setakat makan bersama di luar, mak akan bersiap ‘makeup’ macam orang muda.Setiap makanan diambil gambar.

Kemudian minta kami pula ambilkan gambarnya dan makanan sekali. Kemudian mak ‘selfie’ pula. Direkodnya pula video kami semua sedang bergelak ketawa. Tapi mak langsung tidak melibatkan diri dengan perbualan kami. Dia hanya hanyut dengan skrin handphone sendiri.

Tidak dinafikan aku sendiri pun aktif di media sosial. Tapi kami semua hanya bergambar sesekali kemudian letakkan semula handphone masing2 ke tepi. Nanti dah balik rumah kami update la ig story atau post fb. Kami yang muda mudi ni masih lagi ‘enjoy’ bersembang adik beradik.

Hubungan mak dengan cucu-cucu pun semakin renggang. Cucu sulung yang dah belasan tahun diminta ambilkan gambar nenek. Kemudian tiada sepatah yang dibualkan.

Kadang2 bila kita ambilkan gambar mak guna handphone kita, mak akan mendesak kita send waktu tu juga. Tak sempat tunggu waktu lain. Nak tunjuk sekarang juga pada kawannya katanya.

Kalau cucu-cucu yang kecil pula, dipinjamnya sebentar untuk diletakkan atas ribanya. Selesai kita ambilkan gambarnya bersama cucu, dipulangkan semula kepada kita. Kemudian dia pun mula tersenyum semula menghadap skrin handphone.

Pernah juga cucu sendiri menyuarakan rasa pelik mengapa nenek bertindak sedemikian rupa. Mak hanya membalas, “Ala zaman nenek dulu takde handphone canggih mcm ni”

Itu baru kisah whatsapp. Mak aku juga aktif di fb. Selalu upload gambar ke sana sini. Gambar selfie seorang diri. Gambar selfie bertelekung di surau dengan jemaah lain yang kelihatan senyum kelat di belakangnya. Komen di ruangan sana sini.

Kadang2 mak juga main game ramalan itu ini. Pernah sekali ketika abang sulung datang ke rumah mak, dilihatnya mak baru saja komen di fb 3 minit yang lalu. Tetapi mak sedang berkurung di bilik.

Maka abang pun membalas komen di fb, “Mak turunlah bawah. Orang datang ni”. Hahaha sampai begitu sekali mak dah takkan ambil peduli orang sekeliling. Waktu aku belum ada anak dulu, setiap kali balik rumah mak. Aku akan bersembang di bilik mak berjam-jam. Kadang2 di dapur.

Macam2 yang nak dikongsikan sambil mak melipat kain atau mengupas bawang. Sekarang semua dah berubah. Kadang2 mak hanya turun ke ruang tamu setelah abah panggil berkali-kali. Kalau tidak, kami hanya bersembang dengan abah.

Disebabkan sebelum ini jika kami menegur secara lisan, mak hanya ambil ringan dan membalas secara ringkas. Akhirnya aku memberanikan diri menegur mak dalam message panjang lebar untuk meluahkan apa yang terpendam.

Aku nasihatkan mak memberi perhatian kepada abah selagi hayatnya masih ada. Aku minta mak hargai anak cucu yang berada di deapn mata.

Aku juga beritahu yang kami semua rindukan mak yang dulu. Yang rajin melayan cucu. Yang suapkan cucu makan. Yang potongkan kuku cucu. Yang berbual dengan anak2. Ya! Sungguh kami rindu. Mak tidak membalas sepatah pun. Hanya ‘bluetick’

Teguran ‘mendalam’ tu tidak berakhir di situ. Sejak itu mak mula menunjukkan sikap jauh hati dengan aku. Bila jumpa aku, mak akan letak handphone di tepi. Tapi air mukanya akan berubah seperti ada sesuatu.

Dia cuba berbual dengan kami tapi kelihatan tidak fokus dan sangat janggal. Bila mak ke dapur sekejap, aku intai dan dapati mak membelek handphone semula. Lama mak sanggup berdiri bertongkat siku di mesin basuh meninggalkan kami di meja mkn.

Akhirnya waktu pagi raya tahun lepas, aku tak dapat menahan sebak melihat mak masih tidak berubah. Aku menangis meminta maaf kpd mak kerana menghantar message teguran itu. Ternyata mak sememangnya ambil hati dengan kata-kataku. Mak hanya membalas. “Takpe mak maafkan”.

Sebaik sahaja kami mula beraya beramai-ramai selepas sesi bermaaf-maafan, mak mulakan semula tabiatnya. Menghabiskan masa dengan handphone kesayangannya.

Waktu malamnya pula, kami adik beradik bersembang dalam bulatan sambil makan kuih raya. Dikelilingi anak masing2 yang riuh rendah. Mak langsung tidak menjenguk kami di ruang tamu. Mak menghabiskan masa berjam-jam duduk di kerusi di dapur sambil handphone dicaskan ke plug dinding.

Hujung tahun lepas aku sambut hari jadi anak sulungku di sebuah restoran. Semua ahli keluarga aku dan suami hadir waktu tu. Mak pula seperti biasa bergambar dan merekod video di sana sini. Waktu semua orang menjamu selera, mak mengasingkan diri di hujung ruangan sudut seorang diri.

Mak masih makan bertemankan abah di sebelah, tapi handphone masih di tangan. Hampir sejam mak hanyut dalam dunianya sendiri sementara kami menikmati masa bersama keluarga.

Sememangnya tabiat mak dapat dilihat dengan jelas sepanjang majlis tu. Aku rasa malu sangat2 dengan keluarga mertua. Sungguh malu!

Awal tahun ni aku dan suami dapat berpindah ke negeri lain. Jauh daripada semua ahli keluarga yang lain. Jauh di sudut hati berharap aku bakal mendapat layanan mesra daripada mak sekiranya sesekali balik menjenguknya. Aku selalu berdoa agar Allah perbaiki hubungan kami.

Nak dijadikan cerita, ada beberapa kali aku berdoa selepas solat. Agar Allah menjauhkan mak aku dengan handphone. Supaya mak mendapat pengajaran dan lebih menghargai keluarga.

Selang beberapa hari, kakak aku beritahu yang mak tidak sihat. Muntah2, sakit perut, bacaan darah tinggi, batuk dan macam2 lagi. Patutlah ‘last seen’ mak di whatsapp sudah beberapa jam. Tidak pernah berlaku macam tu. Paling lama pun dalam 30minit.

Kakak kata mak pening dan demam. Adik dah bawa ke hospital. Hampir seminggu juga mak tidak aktif di whatsapp. Alhamdulillah selepas seminggu lebih mak beransur sihat. Mak kembali aktif di media sosial. Aku pula? Aku mula rasa serba salah untuk mendoakan perubahan mak.

Sebulan lebih waktu PKP ni mak aktif seperti biasa. Menghantar gambar selfie di group keluarga kami. Forward mcaam2 gambar & video agama.

Aku mula terfikir adakah aku patut biarkan sahaja mak dengan handphone nya? Aku tak patut masuk campur kehidupan sosial mak? Biarlah mak nak buat apa pun asalkan mak bahagia? Tapi aku rindukan mak aku yang dulu! Kami adik beradik rindukan mak!

Kepada semua pembaca… doakan yang terbaik untuk mak aku ya!

– Hana Tajima (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *