Terima kasih kepada admin kerana sudi approve confession mengenai penyakit misteri aku. Aku cuba ringkaskan confession ni supaya straight to the point dan mencapai objektif.
Jadi confession ni terbahagi kepada 5 bahagian : Intro, Simptom, Punca, Diagnosis, Rawatan dan Penutup. Semoga bermanfaat.
0-Intro
Aku Nini. Berumur 30+, sudah berkahwin 4+ tahun dan masih belum sampai rezeki untuk mempunyai zuriat. Kami suami isteri bekerja di sebuah kota metropolitan. Penyakit misteri yang aku alami ialah gangguan jin.
Objektif confession ini ditulis adalah untuk berkongsi serba sedikit pengalaman dan info berkaitan gangguan untuk renungan bersama.
1-Simptom Penyakit
Ada 4 simptom besar akibat gangguan jin ni berdasarkan pengalaman sendiri;
a) Halangan2 dalam kehidupan
Aku sebenarnya tak tau sejak bila jin ni mula mengganggu. Bila aku fikir balik pasal hidup aku, memang betul banyak halangan2 berulang2.
Aku syak dia datang masa aku sedih dan kemurungan masa aku masih sekolah rendah. Masa tu aku sedih sebab mak aku pilih kasih dan selalu buli aku. Kecik2 lagi aku selalu fikir aku nak mati je atau lari dari rumah.
Aku bersyukur Allah sayang aku sebab Allah bagi aku cemerlang dalam pelajaran. So aku ada alasan keluar dari rumah untuk ke sek asrama. Disebabkan fikiran dan emosi aku sedia ada terganggu, aku tak reti bawak diri kat tempat baru.
Lepas UPSR aku dpt straight A, masuk sekolah asrama, keluar dan msk sekolah biasa. Lepas PMR pun sama jugak dapat straight A, masuk sekolah asrama, keluar, tak sekolah beberapa bulan dan masuk semula ke sekolah biasa.
Disebabkan banyak silibus tertinggal macam subjek Kimia, Fizik, Add Maths etc. keputusan SPM aku cukup2 makan. Kesian orang tua aku melayan karenah aku habis duit ke sana ke mari dan beli barang keperluan.
Masa tingkatan 4 aku siap makan panadol sepapan tak nak pergi sekolah punya pasal. Tapi Allah sayang aku. Allah bagi aku peluang lagi dan lagi. Akhirnya tamat juga zaman persekolahan aku dengan pelbagai dugaan.
Lepas SPM pun halangan seterusnya ialah nak sambung belajar pun susah kalau nk banding dengan kawan2 lain. Nak habiskan belajar kat universiti pun terpaksa extend 2 sem. Seterusnya nak dapat kerja susah, nak dapat jodoh susah. Allah je yang tahu semuanya.
Masa jahil dulu, kadang2 bila aku sedar aku tetap bersyukur dengan semua yang Allah bagi. Tapi ada masa tertentu pulak, aku mcm marah dengan Allah.
Especially bila aku bandingkan dengan kawan2 lain yang lebih berjaya, yang dah berkeluarga lebih awal dll. Aku macam tak redha dengan ujian yang Allah bagi. Maklumlah masa muda masih jahil.
Sekarang walaupun aku takdela berjaya sangat, tapi Alhamdulillah cukup makan pakai dan mampu beli rumah sendiri. Disebabkan aku rasa aku serba kekurangan kalau nk dibandingkan dengan kawan2 sama sekolah atau universiti, aku jauhkan diri dari mereka semua.
Aku sedih masa tu semua dah kahwin, dah ada anak, dah ada rumah, yang dah kahwin dah cerai dah kahwin balik. Graf hidup aku masih mendatar.
Alhamdulillah 4 tahun lepas, akhirnya Allah beri aku jodoh. Terima kasih Allah. Walaupun ada masa aku tak redha dengan ujian Allah, Allah makbulkan jugak doa aku.
Sekarang, walaupun belum ada zuriat, aku ingatkan diri supaya sentiasa bersyukur dengan segala yang Allah beri. Jangan sekali2 kembali ke zaman jahiliah. Aku nak masuk syurga dan nak mati dalam husnul khatimah. Aminnn.
Lepas kahwin ada jugak dugaan2 macam bergaduh dengan suami. Disebabkan gangguan ni seolah2 boleh menguasai emosi dan fikiran, aku jadi hot temper.
Aku ingat kerap jugak aku cari pasal dengan suami menangis membebel mcm orang gila. Bergaduh sebab suami yang terlalu asyik main game 24 jam macam orang bujang.
Dipendekkan cerita, lepas jumpa Ustaz, sebenarnya jin ni pergi duduk kat mata suami suruh suami fokus pada game. Tak pedulikan aku.
Sekarang dah tahu, kami berdua cuba baiki dan cuba lawan pengaruh2 tak sihat ni. Dan start semula solat berjemaah setiap hari. Dan setiap hari mengaji serta mendalami ilmu agama (setakat ni tengok kuliah2 agama kat Youtube).
b) Masalah kesihatan yang pelik
Dari segi kesihatan, aku selalu rasa berdebar2 tak tentu pasal. Masalah anxiety, nervous tak semena2. Baru2 ni sbl PKP, aku rasa mcm sesak nafas sikit. Nak tarik nafas rasa tak puas. Disebabkan over thinking, aku pun pergi klinik bgtau doktor masalah aku.
Aku ingat aku kena Covid sbb aku pergi kerja naik public transport. Ataupun aku ada masalah jantung ke sbb sebelum ni aku ada masalah kolestrol tinggi sikit (tapi tak sampai kene ambil ubat). Doktor buat ECG test, cek jantung. Lepas 3 kali test, Alhamdulillah takde pape.
Sebelum ECG, mintak doktor ambil darah untuk cek kolestrol, tapi sampai sekarang taktau apa result sebab PKP dah start sehari selepas tu.
Doktor cuma cakap kemungkinan masalah sesak nafas aku ni adalah sebab GERD. Jadi Doktor bagi ubat dan suruh minum jus epal hijau + timun + seleri. Alhamdulillah sekarang dah kurang. Kalau tidak hari2 aku ingat aku ni dah nak mati ke?
Selain daripada tu, sakit2 lain yang aku rasa ialah sakit kat bahu, sakit belakang, sakit pinggang, sakit dada (macam ada benda block kat dada), kerap migrain, sakit lutut, sakit kaki dll.
Sakit2 ni macam kejap2. Kejap ada, kejap takde. Masalah kesihatan ni sedikit sebanyak mengganggu kerja aku. Bila kita ambil cuti sakit, orang ingat kita malas kerja. Allah jelah yang Tahu.
c) Fikiran dan perangai lain sikit
Aku tak suka bercampur dengan orang. Aku tak suka acara2 rasmi yang office buat. Kalau duduk dalam majlis, aku rasa nak meletup. Rimas dan lemas. Kalau boleh skip, aku skip kan aje.
Aku kerap makan sorang2. Malas nak join group2 makan sebab aku rasa buang masa. Buang masa tunggu orang. Buang masa ikut selera orang. Dan aku cakap kat diri sendiri kalau join group macam ni nanti mesti ada sesi membawang, buat dose je. Baik tak payah.
Disebabkan masalah anti sosial ni, aku susah nak dapat promotion walaupun kerja aku bagus. Dan aku rasa dipandang pelik oleh orang lain. Aku dilihat macam pendiam. Takpelah, aku pujuk2 hati, Allah sayang aku. Allah sayang aku. Biarlah orang nak mengata aku, janji aku tak kacau orang.
Aku ambil positif je, kalau orang mengata aku maka banyaklah pahal dorang sedekah kat aku. Alhamdulillah terima kasih.
Aku rasa kalau orang betul2 kenal aku, mesti orang akan rasa aku ni seorang yang baik hati, suka tolong orang dan kelakar (perasan sikit). Cuma luaran aku nampak macam sombong jadi orang terus cop aku sombong.
Kadang2 terlintas dalam fikiran, aku nak mati. Aku tak sanggup dah hidup macam ni. Zuriat pun takde. Hari2 kehidupan sama, pergi kerja balik kerja, hujung minggu rutin sama, rasa macam bosan ulang2 drama sama.
Astaghfirullah.. bawak mengucap banyak2 kan. Tapi nak mintak mati pun, macam la aku dah bersedia. Aku tak bersedia lagi, hari2 aku doa kalau Allah nak ambil nyawa aku, biarlah masa tu Allah redha dengan aku, Allah terima taubat aku dan ampunkan dosa2 aku.
Kalau lepas mati, aku lebih tenang dan damai kat alam barzakh, tak kene siksaan kubur dan dapat masuk syurga tanpa hisab, dah tentu aku bersedia. Buat masa ni, aku nak kumpul dulu bekalan untuk bawak ke alam lain nanti inshaAllah.
d) Mimpi ngeri
Bila ada gangguan jin, kita jadi susah nak tidur malam. Kalau berjaya tidur, inshaAllah kita akan terjaga jam 3 pagi. Masa tidur pulak, kita akan mimpi bukan2. Kadang2 mimpi kene kejar hantu, berpeluh2 bila terjaga.
Dulu2 aku pernah mimpi ular, masa tu masih bujang. Bila cerita kat orang Melayu, jawapnya tak lama lagi nak makan nasi minyak. Sape la yang buat ajaran sesat ni..
Kadang2 pulak, mimpi lelaki. Dari lelaki tak kenal, sampaila lelaki paling terkenal. Ada mimpi lelaki hitam, mimpi suami sendiri (tapi jarang) dan kadang2 mimpi lelaki2 terkenal; bergantung kepada apa berita aku baca hari tu.
Kalau aku baru ternampak facebook fanpage Syed Saddiq, maka Syed Saddiqlah yang akan muncul dalam mimpi aku dan cuba mengorat aku (beberapa hari lepas aku mimpi menteri mengorat aku, kelakar kan?)
2-Punca
Kenapa aku dapat gangguan ni, cuma Allah je yang tahu. Cuma ada beberapa artikel yang aku baca mcm mana gangguan ni boleh berlaku. Antaranya ialah kerana roh kita lemah. Kita lalai dalam mengerjakan suruhan Allah. Kita leka dengan dunia. Selalu berseronok tak ingat dunia.
Contoh tengok wayang sampai tinggal solat, karaoke tak ingat dunia, dengar lagu2 yang melalaikan, sibuk baca pasal gosip. Kalau solat sekalipun, tak ikhlas / tak kusyuk. Tak kusyuk sebab kita tak faham bacaan kita sendiri.
Masuk dan keluar tandas tak baca doa. Mandi tanpa seurat benang (free show untuk jin2 yang menginap di dalam tandas). Mandi sambil menyanyi. Tak baca Bismillah bila nak buat apa2. Selalu lupa Allah dan aktiviti2 lagha yang lain.
Sebab2 lain ialah tak sengaja mengganggu tempat tinggal jin macam lubang2. Kencing di lubang2 kalau masuk hutan / semak. Tuang air panas ke dalam lubang / tandas.
Perempuan yang tidak tutup aurat, menarik jin untuk terpikat dan jatuh cinta. Mengamalkan ilmu salah macam ilmu kebal, minta tolong dengan bomoh / tukang sihir. Bersahabat / bela jin untuk tujuan perlindungan dan semua perbuatan2 yang mensyirikkan Allah.
3-Diagnosis
Cara untuk diagnos ialah dengan mendengar ayat2 Ruqyah. Boleh cari di YouTube, app kat handphone pun ada. Di Youtube boleh cuba Ruqyah yang dibacakan oleh Ustaz Nuruddin Al Indunissy, ini yang sesuai dengan aku.
Masa bacaan Ruqyah dimainkan, pejamkan mata dan hayati bacaan (jangan ikut bacaan). Kalau rasa mengantuk, berdebar2, terasa benda bergerak bawah kulit, sila dapatkan rawatan dari pusat rawatan Islam yang betul2 mengamalkan 100% rawatan Islam.
Iaitu bacaan Quran semata2 dan makanan2 berasaskan sunnah (contoh : susu kambing, kurma, minyak zaitun dll). Selain daripada tu, kena meningkatkan amalan dan ibadah.
4-Rawatan
Daripada penjelasan Ustaz yang aku jumpa, rawatan yang sebenarnya bermula dari diri sendiri. Dengan izin Allah, perawat juga boleh ikhtiar untuk paksa jin ni keluar. Tapi kalau jin dah keluar dan roh pesakit masih lemah, masih ada kemungkinan jin tu atau jin lain boleh masuk balik.
Jadi takde point Ustaz tolong keluarkan jin tapi roh dan iman pesakit masih lemah. Dari hasil bacaan2 aku, aku cuba praktikkan amalan2 berikut yang termampu (paksa diri perlahan2 istiqamah).
a) Solat awal waktu (jangan sesekali tinggal solat)
b) Selalu baca Al Quran
c) Amalkan Al Mathurat pagi petang
d) Atau amalkan Manzil pagi petang
e) Baca doa / ayat2 pendinding :
(i) Bismillahillazi la yadhurru ma’asmihi syaiun fil ardhi wala fis sama’ie wa huas sami’un alim
Ertinya : “Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(ii) A’udzu bi Kalimati llahit Tammati Min Syarri Ma Kholaq
Ertinya : Aku berlindung dengan segala kalimah ALLAH daripada segala macam kejahatan (keburukan) yang diciptakanNYA
(iii) La ilaha illallah wahdahu la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syai-in qadir
Ertinya : “Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. BagiNya adalah semua kerajaan dan puji-pujian dan Allah adalah Maha Kuasa atas segala sesuatu”
(f) Lain2 : Potong kuku, baca doa masuk – keluar tandas dan jangan biar pintu tandas terbuka, selalu baca Bismillah sebelum memulakan sesuatu pekerjaan (Allah ingat selalu), selalu zikir dan selawat. Perbanyakkan dengar ceramah2 agama dan baca buku2 agama untuk lebih faham agama.
5-Penutup:
Sekian confession aku kali ni. Alhamdulillah berjaya submit juga. InshaAllah dah sembuh nanti aku nak story detik2 kesembuhan, dengan izinNya.
Tak sabar rasanya untuk hidup macam orang normal yang lain dan dapat zuriat. Yang paling penting merasai kemanisan iman dan taat beribadat kepada Allah tanpa gangguan2 jin dan syaitan yang direjam. Mohon doa dari semua. Aamiin YRA.
– Nini (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit