Depression Aku Makin Teruk

Aku nak luahkan sesuatu. Tapi aku tak tahu nak luah pada siapa selain Allah. Aku tak ada ramai kawan. Kalau dikira ikut apa dalam fikiran aku, kawan cuma dalam 3 orang. Tapi sekadar kawan biasa dan aku tak pernah ada seorang sahabat baik seumur hidup aku.

Mungkin ini salah satu medium yang aku dapat luahkan sementara Allah buka jalan untuk aku dapatkan hidup yang lebih baik. Inshaa-Allah.

Aku seorang ayah yang mempunyai dua orang anak. Alhamdulillah. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Aku bekerja sendiri. Apa sahaja kerja aku akan buat demi menanggung keluarga aku, meskipun aku tahu diri aku tak sempurna (aku akan ceritakan kenapa aku tak sempurna nanti).

Sebelum ini aku memegang jawatan yang agak tinggi hierarkinya disebuah bank terkemuka di Shah Alam. Alhamdulillah gaji aku mencecah 5 angka. Segala apa yang aku inginkan dengan izin Allah mudah aku dapatkan waktu itu.

Bila orang lain dengar, mereka pasti akan rasa aku hidup senang dan tak perlu fikir banyak masalah. Tapi mereka lupa yang wang ringgit tidak akan dapat membeli ketenangan dan kelapangan yang manusia inginkan.

Aku sedikit pun tak pernah anggap gaji yang aku terima setiap bulan itu dapat bahagiakan aku. Dalam fikiran aku, ada perkara yang lebih penting lagi aku perlukan.

Selama 10 tahun aku bekerja dibahagian perbankan, setiap hari hanya Allah yang tahu betapa seksanya emosi aku. Emosi yang aku tidak tahu bagaimana muncul. Emosi yang tiba-tiba boleh ‘menyerang’ aku saat aku sedang enak menjamu selera.

Malah saat bermain dengan putera puteriku. Emosi yang betul-betul makan diri aku.

Sehinggalah pada tarikh 4 Julai 2017, aku telah mendapat surat daripada majikan aku bahawa aku dinasihatkan untuk meletakkan jawatan. Atas alasan apa? Atas alasan prestasiku yang merudum teruk.

Lebih-lebih lagi bila rakan-rakan pejabat yang takut dengan tindakan aku yang sukar untuk dijangka. Aku sering menyendiri sewaktu dipejabat dan gagal untuk terjemahkan kerja aku dengan baik didepan orang atasan. Lebih-lebih lagi ketika aku menghadiri mesyuarat yang dihadiri Tan Sri dan Dato’.

Sebenarnya, aku tidak sikit pun salahkan mereka. Aku tahu mana kedudukan aku. Aku tahu diri aku memang tidak sesuai lagi untuk pegang tanggungjawab tersebut. Seringkali aku menjerit dan bentak kerana sedikit tekanan kerja.

Mungkin bagi orang normal ia terlalu kecil tanpa perlu bertindak diluar kawalan. Tapi bagi seseorang seperti aku, aku tidak berdaya menahannya. Nak berkongsi dengan rakan sekerja? Rakan sekerja aku sendiri tak boleh terima diri aku.

Selama aku bekerja, aku hanya berkomunikasi dengan mereka dalam hal-hal kerja sahaja. Dan mungkin juga kerana aku boss mereka, jadi mereka pandang aku sebagai satu entiti momok yang menyusahkan.

Sejak zaman sekolah sehinggalah zaman belajar di universiti, aku sedar akan kelemahan aku yang satu ini. Aku sering rasa rimas dengan dunia ini. Emosi aku sering terganggu. Kerana kekuatan yang Allah berikan pada aku, aku mampu harungi zaman belajar ku dalam situasi emosi yang sukar.

Kawan-kawan? Tiada. Aku pendiam. Hanya bercakap banyak sewaktu pembentangan dihadapan pensyarah. Selebihnya hanya bercakap seorang diri. Ya, aku bercakap seorang diri.

Waktu selesaikan assignment, aku bercakap dengan ‘seorang’ lagi yang tak wujud pada mata umum, cuma wujud dalam diri aku. Berbalas-balas percakapan yang pada dasarnya hanya keluar kata-kata dari mulut aku seorang.

‘Kawan-kawan’ belajar kurang bercakap dengan aku seolah-olah ada satu jargon antara aku dan mereka. Bila bersama dalam kumpulan, kami lebih banyak diam dari bercakap.

Aku mempunyai psychiatrist sendiri saat aku masih lagi bekerja diperbankan. Semuanya ditanggung oleh pihak bank. Dua minggu sekali akan ada temu janji bersama psychiatrist. Aku sempat mendapat rundingan pakar dalam 3 tahun terakhir sebelum aku dinasihatkan letak jawatan.

Aku bergantung pada ubat yang diberi sepenuhnya untuk menstabilkan emosi aku. Walaupun jujurnya, ubat tidak memberikan kesan yang aku inginkan. Namun, aku terus bertawakkal kepada Allah supaya Allah hilangkan sakit aku ini.

Setelah aku meletak jawatan, aku cuma teruskan temujanji aku dengan pakar dalam setahun setengah. Aku tak lagi mampu untuk menampung kos tersebut memandangkan aku hanya bekerja sendiri. Aku buat jualan online. Apa sahaja yang mampu berikan aku wang, aku akan jual selagi ia halal.

Kenderaan yang ada aku terpaksa jual dan tukar kepada kenderaan yang lebih murah bayaran bulanannya. Keluarga aku berpindah ke rumah yang lebih murah dan kecil setelah berjaya menjual rumah lama.

Ternyata Allah itu Maha Mengasihani. Dia kurniakan pada aku seorang isteri yang sangat menyayangi aku dan anak-anak. Isteriku terpaksa bekerja dengan gaji yang kecil demi membantu keluarga.

Selepas aku hilang kerja, aku ada cuba untuk bekerja dalam bidang lain yang tawarkan gaji yang rendah. Namun, cuma sia-sia.

Entah kenapa, aku semakin lemah dalam berfikir. Aku lemah dalam urusan kerja aku. Aku gagal fokus dalam semua tugasan aku. Malah task yang sangat simple pun aku tidak dapat selesaikan.

Aku amik keputusan untuk letak jawatan sekali lagi. Kali ini memang atas keinginan aku sendiri bila aku sedar yang potensi aku sudah jauh tak seperti dulu. Terlalu jauh. Kemudian aku bekerja di 7-eleven. Cuma bertahan seminggu. Kenapa seminggu?

Pada masa ini, depression aku semakin teruk. Jantung aku berdebar-debar waktu pelanggan ingin buat bayaran di kaunter cashier.

Aku berpeluh-peluh. Aku takut aku salah pulangkan baki. Aku takut pelanggan akan marah aku. Aku takut pelanggan tatap muka aku. Semua kemungkinan aku fikir walaupun jauh lubuk hati aku cakap yang tiada apa-apa akan jadi.

Aku sangat sedih dengan keadaan diri aku. Aku tidak tahu kenapa aku begini. Aku nak ceritakan pada kawan. Tapi siapa kawan aku? Aku ceritakan pada isteri.

Ya, isteri seorang isteri yang taat dan sangat penyayang serta memahami. Tapi dia bukanlah seorang pendengar yang baik. Namun aku tetap bersyukur atas kurniaan Allah yang menjadikan dia isteri aku.

Saat aku menaip ini, aku masih menunggu ‘like’ dari status facebook aku. Ironinya, semua status facebook aku set privacy pada ‘only me’. Mana mungkin friends (yang aku tak kenal pun siapa) akan nampak dan ‘like’ status aku.

Pernah dulu aku tak sengaja set kepada ‘public’. Dan seperti dijangka aku tak mendapat satu ‘like’ pun. Betul-betul buat diri aku rasa tak berguna. Aku malu. Aku terlalu malu hingga aku tak sentuh langsung akaun aku lebih 2 bulan.

Seminggu aku tidak keluar bilik kerana malu yang orang lain tak tahu pun. Cuma aku yang tahu. Secara logik, sepatutnya tiada apa pun perlu aku malukan sebab tiada siapa pun yang tahu. Entahlah, perasaan aku sebegitu.

Aku masih tercari-cari penawar untuk sakit aku ini. Ya, aku tak sempurna. Aku nak jadi seperti orang lain. Yang mampu menguruskan hidup dengan lebih baik. Aku takut berjumpa orang. Aku takut angkat telefon.

Aku takut beri komen di facebook. Aku takut keluar rumah. Aku takut bawak kereta. Aku takut pandangan orang. Aku takut dihina. Aku takut masyarakat pandang aku jijik. Aku takut nak bersiar-siar. Aku takut.. aku takut..

Pada sesiapa yang membaca luahan aku ini, aku harapkan doa kalian semua untuk aku teruskan hidup aku. Aku tak pandai mengarang ayat. Aku cuma cari suatu medium yang dapat aku gunakan untuk melepaskan sedikit luahan yang terpendam walaupun aku tahu ini hanya untuk sementara.

Aku harap suatu hari nanti gangguan emosi aku tidak akan membawa aku kearah kebinasaan.

Terima kasih, ‘SAHABAT’…

– Insan Hina (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *