Untuk part I, (https://iiumc.com/tinggalkan-kehidupan-toksik/).
Assalamualaikum dan hai semua. Saya harap semua masih kuat menjalani ibadah puasa dan menjalani kehidupan yang aman aman di waktu PKP ni.
Post ni sebenarnya lebih kepada nak menjawap persoalan dari readers. Sebelum tu saya nak ucapkan terima kasih atas kata kata positif dari anda semua. Awalnya saya takut kalau dikecam. Tapi ramai yang faham dan rasanya ramai yang berada di dalam “boat” yang sama dengan saya.
Walaupun ada kecaman, saya terima dengan hati yang terbuka. Biasalah manusia. Kita ada pandangan dan pendirian sendiri dan di platform ni, kita bebas menyampaikan apa yang kita rasa betul mengikut pemahaman kita.
Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada admin kalau post kedua saya ni disiarkan.
Macam yang saya tulis sebelum ni. Kebahagiaan tu kita kena cari dan pada masa yang sama, kita kena berusaha untuk dapatkan kebahagiaan tu selain berdoa supaya hidup kita akan selalu rasa bahagia.
Saya tak lupakan ibubapa saya. Macam dalam post sebelum ni, sesekali saya akan call mak saya. Awal PKP ni pun, saya ada call dan berpesan kalau perlukan apa apa, nak beli barang ke, beritahu dan saya akan belikan.
Kepada adik saya yang paling kecil, (pun saya ada berhubung juga sekali sekala) pun saya ada berpesan, kalau balik ke rumah ibubapa, bawa lah mak datang ke rumah saya. Tak pun, bawa lah ibubapa saya ke seri malaysia.
(Ibubapa saya suka makan di situ) saya nak belanja ibubapa makan. Tapi, tak pernah lah pula adik saya tu nak bawa mak jumpa saya.
Dari dulu pun ibubapa saya biasanya akan menolak dari datang ke rumah saya. Rumah sewa saya ni rumah teres setingkat. Kecil. Tapi di dalamnya penuh kasih sayang dan kegembiraan.
Saya cakap benda yang sama bila mak saya komplen rumah saya kecil. Saya bahagia. Bahagia tu bukan dengan berjalan ke luar negara setiap tahun. Bahagia tu bukan dengan beli handbag ribu ribu atau tudung berjenama mahal mahal.
Bahagia saya apabila saya dikelilingi orang baik baik. Rezeki anak anak saya selalu jumpa orang orang baik dan diberi peluang untuk maju ke hadapan. Anak saya pernah dilatih secara personal oleh bekas atlit olimpik Malaysia.
Ramai sangat orang orang baik yang saya jumpa dan mereka mereka ini membuka peluang dan ruang kepada anak anak saya dan kebanyakkannya secara percuma.
Dalam kehidupan ni, bukan semuanya indah. Nikmat berkeluarga besar saya ditarik tetapi digantikan dengan nikmat nikmat yang lain.
Untuk yang bertanya mengenai suami saya. Waktu baca komen pembaca, suami saya kata “ eeyyy i anak yatim je. Abah i baru call lepas berbuka tadi”. Hati dia meronta ronta nak reply komen, Tapi nanti kalau dia reply komen tu, dah tak anonymus la pulak kan.
Suami saya anak lelaki seorang dari 3 beradik. Punya seorang kakak dan seorang adik perempuan. Saya takde masalah dengan keluarga mertua. Saya yang bawa suami jauh dari family dia sewaktu kahwin untuk duduk dekat dengan ibubapa saya.
Dan akhirnya, suami saya yang city boy tu selesa duduk di negeri yang aman dan tenang ni sampaikan dia beli rumah pun di negeri ini juga.
Disebabkan saya duduk berdekatan rumah ibubapa saya, jadi setiap kali raya, kami akan menyambut raya di rumah mertua saya. Samalah kalau ada cuti perayaan yang panjang.
Mak mertua saya meninggal beberapa tahun lepas. Selepas ketiadaan mak mertua, saya mengambil alih untuk memasak di hari raya. Saya lakukan dengan gembira. Tapi ini pun mendatangkan resah kepada adik beradik saya. Kata mereka, saya dibuli di rumah mertua.
Padahal, kalau di rumah ibubapa sendiri pun benda yang sama akan saya buat. Saya akan memasak juga. Itu kiranya mereka membuli saya ke?
Adik beradik saya, jenisnya suka berkumpul adik beradik kemudian mengutuk keluarga mertua. Saya tiada apa yang buruk nak diperkatakan terhadap mertua. Itupun jadi isu. Apa salahnya kita berbaik dengan mertua?
Adik beradik mengejek sebab kata mereka, saya dan suami sehati sejiwa. Salahkah? Bukan ke sepatutnya memang kita kahwin dengan orang yang paling kita selesa? Yang berfikiran selari dengan kita. Yang punya
Kehendak dan matlamat yang sama.
Kakak saya, sudah lama bercerai. Adik perempuan saya, suaminya bekerja jauh. Ibubapa saya suka ke rumah adik perempuan saya, tapi, kalau suaminya ada, ibubapa saya tak boleh ke rumahnya. Suami tak suka.
Adik lelaki saya, sudah tinggal berasingan dengan isteri dan anaknya. Dan adik bongsu saya belum berkahwin.
Jadi, bila saya dan suami hidup aman damai, saya pula diejek dan dijadikan bahan kutukan oleh adik beradik.
Adoooiii. Anda semua fikir saya ada masa untuk pening kepala?
Untuk yang komen kata keluarga kecil sahaja tak cukup dan satu hari mungkin anak anak atau suami akan tinggalkan saya.
Saya kenal suami masa kami berumur 18. Sama sama masih belajar di matrikulasi. Kami support each other walaupun belajar di universiti berbeza.
Kami dah lalui macam macam bersama selama ni dari zaman belajar, bekerja, berkahwin dan tahun ni, kalau ada umur yang panjang, kami akan menyambut lace anniversary.
Kereta yang saya gunakan, suami yang bayar. Rumah yang suami beli, walaupun saya cuma bayar deposit, suami letakkan nama saya sebagai empunya bersama.
Apa sahaja yang saya nak, saya akan dapat. Walaupun lambat, tetap akan dapat. Takde la saya nak minta benda benda yang diluar kemampuan.
Bergaduh sekali sekala tu biasalah. Takkan lah graf tu mendatar je kan. Kena lah ada naik turun dan kadang kadang graf bergegar macam gempa bumi.
Mungkin tuhan berikan saya suami yang baik atas doa ibubapa saya juga. Saya selalu harap akan bersama suami saya, grow old together, come hell or high water. Semoga ada rezeki untuk kami bersama sehingga menutup mata.
Ada juga yang komen dan kata saya kena kenang jasa ibubapa kerana banyak yang telah mereka korbankan untuk membesarkan saya.
Ya. Saya kenang jasa ibubapa. Sebab itulah selama harini saya cuba untuk jadi anak yang baik dan menjaga mereka. Sejak sekolah rendah saya cuba berbakti. Saya cuba untuk tak banyak karenah.
Saya cuba membantu dalam kerja rumah, saya berikan keputusan periksa yang cemerlang untuk mereka, Tapi akhirnya, saya juga yang dicop anak derhaka.
Tau apa saya rasa masa tu? Mestilah rasa marah, sedih, annoyed pada adik beradik saya yang batu api, yang suka porak perandakan orang lain dan macam macam rasa. Ini message terakhir saya kepada abah saya
Despite everything that has happened, and what ever u have said towards me n my kids, u are still my father. Thank you for everything. Goodbye abah.
Saya masih simpan message ni.
Saya tak lupa momen momen manis (dan pahit) yang pernah saya lalui sepanjang saya membesar. Saya tak lupa kesusahan ibubapa besarkan saya.
Zaman dah berubah. Sekarang adalah masa untuk saya mencorak kehidupan anak anak saya pula. Saya cuma nak membesarkan anak anak dengan aman damai. Saya nak mencari bahagia. Saya dah tak larat hidup dalam keadaan toksik yang memakan diri.
Dulu saya senang stress. Kadang kadang anak anak jadi mangsa untuk saya lepaskan kemarahan saya lepas saya dibuli oleh adik beradik dan ibubapa.
Sekarang saya happy walaupun ada masa saya akan terkenangkan ibubapa saya. Tapi nak menjejakkan kaki semula ke rumah ibubapa, mungkin tak.
Saya dah cukup dimalukan sewaktu dikata anak derhaka. Mungkin ada jiran yang terdengar dan nampak. Dan rasanya waktu itu hati saya nekad dan bulat untuk tinggalkan mereka.
Sayu hati bila anak perempuan saya menangis teresak esak di seat belakang sewaktu balik ke rumah selepas kejadian dihalau tu. Anak saya terkejut sangat dengan tindakan atoknya.
Untuk anak anak saya, saya harap saya tak bersikap pilih kasih. Lagipun anak saya dua je. (Mak pernah kata saya selfish sebab tanak beranak ramai. Tapi, saya rasa kualiti tu lebih penting dari kuantiti)
Kalau ada yang rasa kisah saya tergantung, saya tidaklah cerita secara detail apa yang berlaku dan ya, ini kisah dari pihak saya. Kalau dengar dari pihak ibubapa atau adik beradik saya, mungkin versinya berbeza.
Ada yang bersedih dengan kisah saya. Tolong jangan rasa sedih. Saya ada 3 orang penguat semangat yang sentiasa jadi cheer leader untuk apa sahaja yang saya lakukan.
Tapi point saya tetap, kita berhak mencari bahagia sendiri. Tidaklah kita ni ditakdirkan hidup malang dan sedih sepanjang masa. Kalau rasa hidup sekarang ni toksik, keluar. Kuatkan semangat. Kalau takut bersendirian, cari support.
Ini kehidupan kita dan kita bertanggungjawab untuk membahagiakan diri sendiri dan bukan sayangkan orang sehingga memakan diri.
Kalau ada komen komen yang perlukan saya jawab, mungkin saya akan buat posting lagi.
Selamat berpuasa semua.
– Lulu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit