Moga perkongsian ini dapat menjentik semangat para isteri yang ditakdirkan hidup dengan suami yang mempunyai naluri yang melawan fitrah dan diberi hati yang ingin mempertahankan rumahtangga dari terlerai.
Saya tidak berhajat untuk menceritakan kisah hidup saya bersuamikan suami songsang. Sebab perkongsian mengenainya telah banyak diceritakan oleh isteri seperti saya yang mana plot cerita lebih kurang sama.
Cuma saya ingin berkongsi bagaimana Allah memandu saya mendepaninya. Because I strongly believe, behind every strong person there is God (Allah)
Islam adalah agama harapan. Berdasarkan prinsip ini lah membuatkan saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya sendiri bagaimana ajaibnya doa seorang isteri yang teraniaya dan dizalimi emosi dan batinnya.
Memang benar, tidak ada isteri yang menginginkan perkahwinan seperti ini. Tapi siapakah kita untuk menolak bila Allah sendiri yang mentakdirkannya pada kita. Laluilah perjalanan ini dengan persangkaan baik terhadap Allah bahawa tidak ada yang sia-sia dalam aturanNya.
Best way to remind ourselves is to believe. Percaya… Yakin… Itu sahaja ubatnya untuk redha. Untuk terima setiap ketentuan. Untuk kuat melafaz setiap sesuatu itu punya hikmah. Kerana ia adalah sebahagian dari rukun iman, kan…
Surely, suami kita yang tersasar itu tetap akan ditimbang tara. Memang adil sifat Allah. Wajib kita percaya. Segala hal terburuk yang terjadi. Dan apa yang dilakukan terhadap kita. Terimalah sebagai hadiah Allah untuk kita kutip pahala
Fitrah pada permulaannya, mana mungkin hati kita dapat menerima perlakuan songsang yang dilaknati ini. Jujurnya iman kita bukanlah iman para nabi.
Pada peringkat permulaan ujian ini, saya juga bermonolog dengan Allah bilamana saya mempersoalkan ayat Surah An-Nur ayat 26 :
“(Lazimnya) perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat. Dan sebaliknya, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik…”
Jujurnya, terlalu banyak persoalan yang sentiasa berlegar-legar dalam benak fikiran saya. Persoalan mengapa Allah temukan saya dengan suami yang songsang sebegini walhal saya sudah berusaha menjadi hambaNya yang taat.
Kenapa saya tidak dapat suami yang menjaga agamanya? Kenapa saya dijadikan mangsa to cover up his life and sexual orientation? Kenapa Allah saya tidak diberi peluang untuk tahu sebelum berkahwin? Terlalu banyak persoalan yang ketika itu tiada jawapan.
Ya, kita tetap sedih dan lemah berhadapan dengan ujian segetir ini yang diturunkan kepada kita. Sehingga kita buntu dalam membuat tindakan yang sewajarnya.
Dan perkara ini adalah satu-satu hal yang serba salah untuk kita ceritakan dengan sesiapa kerana ia melibatkan keaiban suami yang cukup besar.
Saya sekadar memaklumkan hal ini kepada ibu dan bapa mertua dan meluahkan perasaan kepada rakan yang baik dalam memberikan nasihatnya. Dan pernah saya adukan hal ini kepada pejabat agama.
Maha manisnya Allah pada saya, Allah memberikan jawapan melalui perkongsian ilmu oleh Prof Dr MAZA di YouTube mengenai bicara Saidatina Maryam kepada malaikat :
“Maryam bertanya dengan cemas, bagaimana aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun dan aku pula bukan perempuan jahat”
Surah Maryam ayat 20
Malaikat itu pun menjawab :
“Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan. Tuhanmu berfirman : Hal itu mudah bagi Ku. Dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda yang membuktikan kekuasaan Kami untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami. Dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya”
Surah Maryam ayat 21
Walau ujian yang dihadapi berbeza dengan kisah Saidatina Maryam, tapi soal rasa itu tetap sama. Pedih untuk hadam perkara yang kita tak nampak apa hikmahnya.
Maha Suci Allah, untuk menawan syurga, pastinya ia tidak direntas dengan jalan yang mudah. Itulah manifestasi cinta Allah kepada hamba-hamba yang ingin ditinggikan darjat di sisiNya.
Dan mengapa Allah lakarkan dialog perbicaraan Maryam itu dalam kitabNya?
Kerana Allah nak menunjukkan bahawa itulah fitrah manusia saat diuji. Akan ada satu ketika kita akan hanyut dengan gelombang kesedihan yang melanda diri. Kita bukan patung sehingga tak menangis langsung saat kecewa.
Manakala pembacaan ayat dari Surah An-Nur ayat 26 tersebut, maksud baik itu luas di sisi Allah. Baik tidak semestinya bersuamikan lelaki soleh. Tetapi melalui suami yang songsang sepertinya, Allah nak beri rahmah pada kita..Apakah rahmat di sebalik semua ini?
Kesabaran, keikhlasan dan kemaafan yang akan diberikan pada kita. Percayalah, 3 sifat inilah yang akan menjadi asbab hidayah Allah sampai pada suami kita.
Bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu.. Surah Al-Imran ayat 200.
Ikhlaslah menghadapinya, maafkan kesalahannya kerana setiap manusia itu ada ujian dan dosanya yang tersendiri. Dan anggaplah nafsu songsang itu adalah ujian buatnya.
Pasakkan bicara Tuhan ini dalam hati kita…
“Segala perbuatan baik pasti akan Ku balas dengan hal yang baik. Lakukanlah kebaikan hanya keranaKu wahai hambaKu. Berharaplah AKU menerima atas apa yang kau perbuat dan yakini AKU akan membalas sekecil apapun kebaikan yang dilakukan kerana AKU.
Ketika kau berbuat baik namun dilupakan oleh suamimu, maka AKU tak akan pernah melupakannya. Fahamilah sekalipun kebaikan kau tidak ditulis di catatan suamimu, namun kebaikan kau akan tertulis dan abadi di sisi AKU.
Maka ikhlaskanlah hidup kau keranaKu. Binalah perkahwinan ini keranaKu. Dan bimbinglah dia mengenalKu melalui sifat sabar dan maafmu.”
Erm…pernah juga suatu ketika saya mencuba perubatan Islam di Darus Syifa’. Kerana sangkaan saya pada permulaan perkahwinan, kami terkena sihir. Sebab suami memang tak menyentuh saya.
3 tempat saya pergi berubat tapi jawapannya tetap sama. Tidak disihir oleh mana-mana individu. Cuma Ustaz berkenaan meminta saya melakukan solat Tahajud dan solat Hajat setiap hari.
Ustaz meminta saya mengamalkan bacaan Al-Fatihah sebanyak 40 kali di air mineral dan diniatkan ke atas suami mengikut hajat kita.
Ustaz berpesan pada saya, doa isteri teraniaya paling makbul dan didengar terus oleh Allah. Tahajudlah. Perbaiki niat katanya. Doakan kebaikan buat suami di dalam sujud kita. Adukanlah padaNya. DIA je yang ada kuasa beri hidayah, kita tak ada kuasa apa pun.
Dalam lingkungan 3 tahun, doa-doa saya ke atasnya diperkenankan sedikit demi sedikit. Percayalah pada RabbMu. Sekalipun doa-doa itu mengambil masa diperkenankan, memang pandai Allah nak jentik hati suami menurut caraNya.
Peganglah kalam Allah ini untuk menguatkan hati kita tatkala rapuh dan inginkan penceraian.
“…dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seseorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya…”
Surah Al-Maidah ayat 32
Tanamlah iktikad untuk membantunya keluar dari kegelapan. Terima hakikat ini adalah ujian umat di akhir zaman. Walau dielak, ia tetap akan datang dari segenap penjuru kehidupan.
Open discussion dalam hal ini perlu diadakan bersama suami. Tadabburkanlah ayat Allah ini bersamanya. Pegang tangannya, lihatlah matanya, gunakan bahasa sebaiknya. Kalau boleh nangis sama-sama bila bicarakan ayat ini…
“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di hadapan Tuhannya, serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya”
Surah An-Nazi’at ayat 40-41
Khabarkan padanya bahawa kasih sayang Allah melebihi kemurkaanNya. Dan Allah akan ganjarinya dengan syurga sekiranya suami berusaha sehabis daya melawan nafsunya.
Apa sahaja pintu-pintu yang boleh meransang nafsu songsangnya, minta suami jauhi. Minta dia menundukkan pandangannya dari menonton video p0rno, elak dari scroll lelaki2 yang menayang tubuh badan 6 pax di media social.
uninstall apps gay, menolak ajakan pasangan gaynya, elak pergi ke tempat-tempat tumpuan gay seperti gym dan apa-apa sahajalah yang boleh buat suami teransang dengan dunia dia tu.
Jentik sikit suami dengan kisah super epik Nabi Yusuf menolak pelawaan isteri Al-Aziz. Itulah yang sepatutnya suami kena bersungguh-sungguh dalam jihad menolak ajakan dari pasangan gaynya.
Khabarkan lagi bahawa selagimana dia dalam dunia itu, Allah akan menutup pintu kenikmatan ketika menjalani hubungan kelamin dengan isteri. Allah tidak akan membenarkan yang halal dan haram bersatu dalam satu rasa. Sebab itulah punca suami tiada nafsu seksual terhadap isteri.
Seandainya puan-puan memahami ayat tersebut dengan baik, mempertahankan perkahwinan bersamanya dapat menyelamatkan lebih ramai lagi mangsa di luar sana. Bayangkanlah kalau kita tidak mendoakannya, sudah-sudah tentu akan merancakkan lagi kegiatan songsangnya.
Mana tidaknya, hidayah sukar ditembus oleh orang yang bergelumang dengan maksiat dan dosa. Siapa nak mendoakannya kalau bukan kita, isteri yang sedang dipandang Tuhan.
Ambillah kesempatan Ramadhan kali ini, kita sungguh-sungguh mintak petunjuk jalan dari Tuhan. Dipinjamkan kekuatan yang berpanjangan. Moga doa yang tersimpan, bisa dimakbulkan tanpa ada sekatan.
Andai gelut-gelut itu tidak kita temukan, kita akan pernah rasa apa itu PERGANTUNGAN KEPADA TUHAN.
Sehebat mana pun ujian, biarlah penceraian itu jalan paling akhir kita pilih seandainya tidak ada jalan keluar yang paling baik untuk kedua-dua pihak.
Islam bukan agama yang zalim untuk kita terus duduk dalam kerangka kesedihan dan seksaan batin yang berterusan. Nafkah batin juga satu keperluan yang tidak boleh dinafikan dalam perkahwinan.
Saya mendoakan diri saya dan semua isteri di luar sana agar di akhirat nanti Allah pulangkan semula hak-hak yang kita korbankan di dunia.
– Suhana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit