Teknologi Menjauhkan Yang Dekat

Teknologi. Mendekatkan yang jauh. Menjauhkan yang dekat.

Aku merenung kehidupan lalu dan kini. Jauh berbeza. Ternyata aku rindu masa yang berlalu. Saat aku, umi, abi dan adik-adikku mempunyai banyak masa terluang untuk dikongsi bersama. Aku rindu akan saat itu.

Saat kami makan bersama di setiap waktu makan, baik sarapan, makan tengah hari, minum petang mahu pun makan malam.

Saat kami menonton filem/drama di televisyen, selalunya cerita seram dan aksi.

Saat kami menghabiskan masa hujung minggu dengan aktiviti perkelahan dan bersiar-siar sekitar kota raya.

Saat umi dan abi melayan kami adik beradik untuk bermain catur, monopoli, kad dll.

Saat umi dan abi sering bertanya akan pelajaran kami adik beradik dan tak henti memberi dorongan untuk kami terus berusaha dan berjaya dalam pelajaran.

Saat kami saling bergurau senda. Ada sahaja topik lucu yang menjadi bahan gurauan bersama.

Aku bersyukur kerana mempunyai keluarga bahagia yang saling memerlukan dan saling mengambil berat serta saling memberi perhatian antara satu sama lain.

Aku rindu akan segalanya yang dulu. Namun, zaman berubah hari demi hari. Kerana teknologi, kami makin menjauh.

Tidak dinafikan, dengan adanya teknologi, segalanya mudah. Ya, mudah. Mudah dan ambil mudah. Hingga kami tidak seakrab dulu.

Ya, nama saja duduk serumah. Tiada masalah katanya. Tiada pertengkaran. Tiada pergaduhan. Segalanya baik-baik sahaja. Kerana masing-masing leka diulit teknologi. Masing-masing sibuk berhubung dengan yang jauh.

Masing-masing sibuk dengan facebook, whatsapp, twitter, instagram, bigo, telegram, skype, line, wechat dan sebagainya.

Maklumlah, segalanya di hujung jari. Masing-masing sibuk dengan dunia tanpa sempadan sehingga membina benteng sempadan dalam rumah sendiri.

Aku melihat umi lambat masak dan kadang hanya masak lauk simple kerana tak sempat dek keasyikan melayari teknologi. Aku melihat abi kadang kala lambat makan & kami tidak makan bersama lagi.

Aku melihat adik-adikku juga sanggup tak makan demi teknologi. Dan aku sendiri kadang tak makan kerana bosan tiada yang menemani. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri dan masa makan pun tidak teratur.

Aku melihat televisyen di rumahku tidak lagi kami kerumuni. Jika ada pun, adikku yang bongsu yang selalu menonton kartun. Masing-masing asyik dengan teknologi baru dan tiada lagi yang menarik untuk menonton televisyen bersama.

Hujung minggu kami suram. Jarang lagi kami melakukan aktiviti luar. Masing-masing sibuk berhubung dengan dunia tanpa sempadan. Sejak pagi hingga ke malam, teknologi nan satu itu yang dibelek tanpa henti. Masing-masing selesa begitu.

Umi dan abi juga tidak lagi melayan karenah adik-adik untuk bermain permainan seperti dulu.

Kadang kala, aku melihat adik bongsuku merajuk kerana tiada sesiapa yang hendak melayan karenahnya dan menemaninya main. Masing-masing sibuk meneroka teknologi. Kasihan, adikku.

Jarang sekali umi dan abi bertanya soal pelajaran. Mungkin sibuk dengan teknologi. Adik-adikku seolah berpesta kerana umi dan abi tidak setegas dulu.

Aku perasan yang adik-adikku begitu selesa kerana jarang ada yang menitik beratkan pelajaran mereka. Keputusan peperiksaan mereka kian merosot. Namun, umi dan abi masih boleh menerima seadanya.

Katanya, tak semua anak akan pandai macam aku. Masalahnya, bukan terletak pada pandai atau tidak. Bagaimana hendak pandai sedangkan malas belajar? Tiada yang menyedari isu ini.

Rumah menjadi sepi. Jarang sekali kedengaran gurau senda antara kami. Masing-masing asyik bermimpi bersama teknologi. Masing-masing sibuk bergurau di group whatsapp. Masing-masing sibuk ketawa di comment facebook dan sebagainya. Sibuk sangat.

Aku merasakan rumahku kini hambar. Ya, kami tiada perselisihan. Namun, masing-masing tak sedar dengan masalah yang kian menular.

Kadang kala, aku melihat umi dan abi berang saat adik-adikku bermain dengan teknologi milik mereka.

Kadang kala, aku melihat umi dan abi tidak cukup tidur kerana sibuk dengan teknologi hingga emosi mereka terganggu lalu aku dan adik-adikku akan terkena tempiasnya. Pantang berbuat salah, tiada lagi teguran, tetapi nada marah dan kata-kata kesat yang dihamburkan.

Kadang kala, aku melihat umi dan abi marah-marah berleterkan hal yang kecil hingga terkeluar kata-kata kesat. Namun, jari mereka masih asyik menekan teknologi itu.

Masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Umi dan abi akrab dan sopan sekali dengan saudara-saudara dan sahabat-sahabat di alam maya walhal makin menjauh dan kasar sekali dengan anak sendiri.

Ada juga adik-adikku merungut.

“Umi ni asyik dengan handphone je.”

“Abi ni asyik dengan handphone je.”

Namun, segalanya tampak biasa. Umi dan abi masing-masing selesa dan bahagia begitu. Perhatian dan kasih sayang untuk kami adik-beradik kian berkurang tanpa mereka sedar. Segalanya dianggap baik-baik sahaja.

Saat itulah aku merasa kebahagiaanku diragut. Aku bencikan teknologi itu.

Aku benci saat umi dan abi mempunyai handphone dan begitu asyik melayari internet. Aku benci saat kami adik beradik berbual dengan umi dan abah, namun tiada respons daripada mereka disebabkan begitu asyik membalas comment dan chat.

Ya Allah. Apa dah jadi dengan keluargaku??

Ya, mungkin segalanya baik-baik sahaja. Mungkin umi dan abi bahagia begini. Namun, bagaimana dengan adik-adikku yang dahagakan kasih sayang dan perhatian umi dan abi?

Soal aku? Tak mengapa. Aku masih cuba mencari kebahagiaan sendiri. Biarkan aku sendirian menahan rasa. Yang aku khuatirkan adalah masa hadapan adik-adikku.

Wajarkah aku membenci telefon pintar? Sedangkan ia adalah kemudahan. Wajarkah aku membenci umi dan abi? Sedangkan mereka hanya pengguna.

Aku sekadar membenci situasi ini. Tak salah menggunakan telefon pintar asalkan bijak memanfaatkan sebaiknya dan tidak begitu leka dengan segala yang lagho. Bukan aku marahkan umi dan abi, jauh sekali menghina mereka.

Coretanku sekadar ingin membuka minda para pembaca.

Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

P/s: Terkesan sekali dengan perkongsian cerita sebegini. Fakta dunia kini. Moga dijauhkan dari situasi sedemikian. Aamiin.

Apa pengajarannya? Fikirlah sendiri.

Jom, muhasabah diri. Jom sebar andai ia berguna untuk renungan bersama.

– Qis (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *