Assalamualaikum, terima kasih admin sekiranya confession aku ini disiarkan, ini kali pertama aku menulis di sini dan maaf sekiranya ayat aku ada yang tunggang-langgang. Hari ini aku mahu berkongsi kisah gagal dalam hidup aku.
Nama aku Intan, umur 27 tahun, masih bujang, seorang executive biasa di salah sebuah syarikat swasta di Shah Alam. Aku adalah anak sulung dari 6 beradik, ayah aku nelayan dan ibu hanyalah tukang sapu di salah sebuah sekolah di kampong.
Memang hidup kami sederhana sahaja, ibu hanya harapkan gaji yang tak seberapa dan ayah, biasalah kadang kerja kadang tak kerja.
Ayah aku ada satu tabiat “malas”. Memang kalau bil-bil dan kos tanggungan aku dan adik-adik 70 peratus datang dari ibu. Kalau ikutkan ayah aku memang aku dan adik-adik tak akan dapat jejak kaki ke menara gading.
Ayah aku memang seorang bermasalah, selain kerja pun jarang-jarang, solat pun jarang, dan mudah terpengaruh dengan banyak perkara negative. Aku banyak kali melihat ibu menangis, sedih dengan perangai ayah.
Sampaikan aku kadang-kadang menangis terkenangkan nasib diri dan keluarga. Aku bukannya tak pernah nasihat ayah, aku pernah tegur dia untuk solat dan belajar mengaji, dan dia pernah meminta aku belikan Al-Quran digital untuk memudahkannya.
Ya, masa itu aku masih lagi di tahun pertama degree, aku ikat perut untuk belikannya dengan harapan ayah akan berubah. Dan hasilnya, aku memang dapat hadiahkannya Al-Quran tersebut, perasaan gembira bercampur terharu akhirnya dapat belikan ayah hadiah itu. Tapi, usaha aku sia-sia.
Ayah masih sama, boleh kira berapa kali je dia sentuh hadiah aku. Perasaan sedih Allah je tahu pada ketika itu. Ayah aku baik, tak pernah baran, tak pernah naik tangan kepada ibu dan anak-anak.
Tapi aku kesal dengan sikap dia, aku perempuan, aku mula berfikir tentang penerimaan lelaki terhadap aku dan keluarga aku. Aku tak salahkan ayah aku juga, mungkin kurang didikan dari dulu buatkan dia seperti ini.
Hidup kami serba kekurangan, aku anak sulung dan sikap ayah dan kedaifan kami membuatkan aku takut untuk berhubungan dengan orang lain. Tapi atas desakan kawan-kawan aku, aku masih ingin mencuba.Aku pernah bercinta dua kali dan kedua-dua gagal.
Aku pernah bercinta dengan A semasa tahun akhir pembelajaran aku, si A memang tua 5 tahun dari aku, aku memang tak pernah bercinta sebelum itu.
Sikap si A yang matang dan soft-spoken memang buatkan aku jatuh hati, dan memang si A ni dah berjanji untuk datang berjumpa dengan family kerana dia betul-betul serius untuk jadikan aku isteri.
Pernah juga dia drive dari Kelantan ke KL dan ambil cuti kerja semata-mata mahu sambut birthday aku. Memang masa itu aku betul-betul yakin dengan dia. Kami bercinta hanya setahun sahaja.
Disebabkan kerja dan keadaan kami sememangnya jauh, kami banyak habiskan masa dengan call dan berbalas whatsapp sahaja. Aku percayakan dia kerana dia kelihatan seperti serius.
Aku masih takut untuk berterus terang dengan dia tentang keluarga aku, aku hanya beritahu tentang kedaifan kami sahaja, bukan mengenai ayah aku. Dia masih boleh menerima semua itu dan ada ingatkan aku bahawa rezeki ada dimana-mana, dan jangan pernah putus asa.
Sehingga aku ceritakan kepada ibu mengenai si A, dan ibu sanggup mengeluarkan duit KWSP untuk menambahbaik keadaan rumah. Memang aku betul-betul bersedia mahukan si A jadi suami aku. Tapi lama-kelamaan, si A berubah.
Dia semakin dingin, whatsapp pun kadang-kadang 1 kali dalam 2 minggu, siapa tak sedih. Aku ada tanya dan dia mengaku yang dia sudah tiada perasaan dengan aku kerana keadaan kami yang berjauhan dan dia sudah bosan bila menunggu aku.
Ya, dia kerja di Kelantan, dan pada masa itu aku sudah menjalani praktikal di KL. Dan dia memang busy dengan kerja di sana, dan alasan tersebut digunakan untuk berpisah. Allah je tahu macam mana sakitnya hati aku pada ketika itu, sakitnya perasaan dikecewakan. Aku gagal.
4 bulan kemudian, aku cuba bangkit lagi, memang sukar untuk lupakan si A, dan pada ketika ini aku ada kenal dengan si B. Dia sebaya aku, aku kenal dia di university yang sama dulu.
Aku sudah lama kenal dia, kawan-kawan aku pernah cerita mengenai dia yang sudah lama meminati aku. Tapi biasalah aku masih malas mahu kenal sesiapa buat masa itu. Dan kebetulan pada masa ini, aku sedang try hard mahu move on dari si A. Jadi aku beri sahaja peluang untuk dia mengenali aku.
Dia baik juga, pandai ambil hati aku, sehinggalah suatu hari dia menyatakan isi hatinya kepada aku, ya, aku mengaku juga lama-kelamaan sudah jatuh hati kepada si B , dan aku menerimanya.
Dengan si B, aku lebih rapat dengan dia dan tak malu untuk berkongsi cerita, kerana kami memang kerap berjumpa kerana dia tidaklah jauh dari aku. Disebabkan hubungan kami makin rapat, aku ada cerita mengenai keluarga aku kepadanya.
Pada mulanya, aku nampak dia boleh menerima, ya, kerana keluarganya juga dalam kalangan broken parents, dia ada juga bercerita mengenai masalah keluarganya. Bermula di situ, aku memang yakin si B dapat menerima keadaan aku sepenuhnya.
Sehinggalah sehingga hampir setahun kemudian, kami semakin rapat dan aku memang sudah sayangkannya, keadaan dia yang semakin dingin buat aku semakin curiga dengan si B.
Tapi aku diamkan sahaja dan anggap mungkin dia stress kerja. Tapi suatu hari dia memberitahu yang dia tak boleh menerima keadaan keluarga aku, kerana dia juga datang dari broken family dan dia tak mahu hadapi situasi yang sama sekiranya bersama aku.
Sekali lagi hati aku seolah-olah dihiris, sakitnya Allah sahaja yang tahu, aku sangat sayangkan dia, melebihi cinta aku kepada si A kerana kami kerap berjumpa dan aku memang nampak juga effort dia. Sekali lagi aku gagal.
Sekarang aku seolah-olah paranoid, aku merasakan memang tiada orang pun dapat menerima aku, mereka hanya pandai menabur janji dan memang manis pada mula sahaja. Aku tak tahu apa salah aku, aku tiadapun melayan sesiapa selama aku berkawan dengan si A dan si B.
Aku memang setia kepada mereka, bahkan aku memang banyak membantu dan support diorang. Sekarang aku sudah tak percayakan sesiapa pun. Tiada siapa yang mahu berkongsi hidup dengan orang yang bermasalah seperti aku.
Aku merasakan seperti aku gagal menjadi anak, kakak dan kekasih yang baik untuk semua orang yang aku sayang.
Aku sememangnya gadis malang yang sedang berusaha membantu family aku, dan apa yang aku dapat buat sekarang, aku hanyalah mahu tolong ibu dan adik-adik sahaja.
Perasaan aku terhadap lelaki seolah-olah kosong, mindset aku sememangnya manusia tak dapat menerima kita sekiranya kita miskin dan ada masalah. Aku tak bencikan semua lelaki dan aku harap masa boleh menyembuhkan luka aku.
Aku berharap gagal aku hari ini bukan selama-lamanya.
– Intan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit