Al-Quran: Penenang Jiwa, Penajam Fikiran

Assalamualaikum. Sudah lama saya ingin berkongsi tentang kelebihan membaca Al-Quran kepada semua.

Walaupun saya bukanlah pandai sangat membaca Al-Quran, masih belajar lagi, namun perkara baik apalah salahnya dikongsikan.

Mana tahu ada antara pembaca terbuka hati untuk membuka kembali Al-Quran yang sudah lama berhabuk di atas almari tu kan, dapatlah kita berkongsi pahala.

Sebenarnya berpuluh tahun juga saya meninggalkan Al-Quran.Masa zaman kecil dahulu saya pernah khatam Al-Quran 2 kali, Alhamdulillah, berkat ajaran ayah saya.

Selepas dari itu, bukan tak pernah langsung membaca Al-Quran, tapi cuma surah-surah yang terpilih seperti Yasin, Al-Waqiah, Ar-Rahman dan Al-Mulk. Juga bila hati rasa tak tenang, barulah terasa nak membuka Al-Quran, teruknya saya kan.

Secara tiba-tiba, dengan umur yang semakin meningkat menghampiri usia 40an ini, Allah jentik hati saya supaya kembali membaca Al-Quran.

Terus saya mulakan semula bacaan Al-Quran, pada mulanya memang agak susah, maklumlah dah lama tak membaca Al-Quran. Saya merangkak-rangkak membaca Al-Quran, rasa nak menangis, rasa nak fed up semua ada. Tapi saya teruskan juga bacaan, struggle gila masa tuh.

Saya rujuk youtube jika tak faham sebutan sesuatu ayat itu. Alhamdulillah, sekarang saya sudah semakin mahir dan berkali-kali khatam Al-Quran.

Saya ingin bercerita tentang kelebihan membaca Al-Quran sebagai penajam fikiran. Perkara pertama, kita haruslah mengetahui asas-asas tajwid.

Semasa kita membaca Al-Quran, kita akan alert dengan sebutan huruf atau makhraj yang tepat, tebal atau nipis sesuatu bacaan itu. Contohnya ada beza sim atau sod, taa atau tho, haa atau kho, alif dan ain dll.

Kemudiannya, baris, atas, bawah, depan. Bila perlu memanjang atau memendekkan sesuatu bacaan, bila perlu mendengungkan, bila perlu berhenti. Ini semua perkara yang wajib diambil tahu sebelum kita memulakan pembacaan Al-Quran.

Kesannya jika kita membaca Al-Quran secara betul mengikut hukum tajwid dan juga dibaca secara tartil (At-Tartil ertinya membaca Al-Qur’an dengan perlahan dan tenang.

Setiap huruf dilafazkan satu persatu dengan jelas dan tepat menurut makhraj dan sifatnya, serta terpelihara ukuran panjang pendeknya, dan berusaha untuk memahami maknanya. Membaca dengan tartil lebih baik dan diutamakan)

Kita akan dapati minda kita bergerak cergas kerana otak akan bergerak memproses setiap bacaan bagi memastikan bacaan kita mengikut hukum tajwid dan lisan kita akan mengikut tartil bagi memastikan makhraj atau sebutan kita betul.

Otak atau minda dan lidah atau lisan akan digerakkan serentak dan ini akan menajamkan akal dan fikiran manusia. Betapa ajaibnya Al-Quran yang Allah ciptakan.

Kerana itu, kita dapati sesiapa yang yang membaca Al-Quran sebagai rutin harian, mereka akan lebih cemerlang dalam pembelajarannya.

Ini kerana apabila membaca Al-Quran, kita telah melakukan dua perkara dalam satu masa, pertama menggerakkan penglihatan untuk menjaga tajwid dan kedua menjaga lisan untuk menjaga makhraj.

Amalan membaca Al-Quran ini juga akan mengurangkan penyakit nyanyuk yang selalu berlaku di kalangan orang tua.

Kalau kita lihat, selalunya orang-orang tua sebegini, cergas lagi fikirannya dan mata yang masih lagi terang untuk membaca Al-Quran. Allah, ruginya jika tak tahu betapa nikmatnya kurniaan yang Allah berikan kepada kita umat manusia ini.

Keduanya, sebagai penenang jiwa, fungsi Al-Quran yang satu ini tidak dapat dinafikan oleh kita semua. Sedangkan mendengar bacaan Al-Quran pun menenangkan, inikan pula jika kita sendiri membacanya. Sudahlah begitu, dapat pahala pula.

Seperti di dalam Hadith riwayat At-Tirmizi,

“Siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan dengan bacaan tersebut, satu kebaikan dilipatkan menjadi 10 kebaikan semisalnya dan aku tidak mengatakan alif laam miim satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.”

Kelebihan lain yang saya temukan, dengan membaca Al-Quran, kita akan lebih yakin dengan sebutan Bahasa lain, contohnya apabila berbahasa Inggeris, kita juga akan alert dengan memastikan sebutan yang dituturkan adalah betul, semua ini berkat disiplin ilmu membaca Al-Quran.

Akhir kata, saya menyeru sesiapa yang ingin kembali kepada Al-Quran, baca tafsirannya sekali.

Al-Quran ini sebagai panduan hidup dan pengajaran untuk kita umat manusia yang sentiasa lalai dan lupa dengan urusan duniawi. Ambillah walau sedikit masa membaca Al-Quran, satu muka, dua muka sehari pun tak mengapa, asalkan ada kemajuan.

Daripada Aisyah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” Hadith riwayat Bukhari.

Sedangkan social media boleh kita hadap berjam-jam lamanya, takkan tak boleh luangkan masa 5,10 minit untuk Al-Quran kan. Saya yang menulis ini pun terasa juga dengan kenyataan ini.

Insya Allah, saya akan menulis konten yang lain pula di lain waktu, jika ada kelapangan masa.

Semoga kita semua istiqamah dalam melaksanakan kebaikan dan meninggalkan kemaksiatan. Semoga rahmat dan kebaikan dilimpahkan kepada kita semua, Aamiin.

– Bunga Melati (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *