Diam tak diam hampir dua bulan kita mengharungi kehidupan dalam norma baharu. Kesan terhadap ekonomi negara semakin jelas kelihatan. Rakyat semakin tersepit antara kesihatan diri dan kelangsungan hidup.
Media massa saban hari melaporkan satu persatu perniagaan tersungkur yang menyebabkan semakin ramai orang hilang pekerjaan. Keadaan begini pastinya menyebabkan ramai orang semakin tertekan.
Apa yang ingin aku kongsikan ini ialah pengalaman aku sebagai seorang majikan yang juga bergelut dengan cabaran ekonomi ini. Sebelum itu sedikit pengenalan, aku ini seorang majikan perempuan yang sudah menjalankan perniagaan hampir sepuluh tahun.
Sebelum menjadi usahawan, aku pernah bekerja di beberapa tempat. Menimba pengalaman di sana sini. Bermula dengan gaji yang hanya beberapa ratus walaupun pada masa itu aku seorang lulusan universiti.
Pengalaman aku untuk bangunkan bisnes memang perit. Aku masih bekerja makan gaji dan buat part time untuk kumpul modal. Aku bekerja hampir 16 jam sehari sambil menguruskan anak-anak yang masih kecil.
Masa itu aku bertekad untuk buat bisnes supaya ada kebebasan masa untuk mendidik anak-anak. Aku pasang target sebelum anak aku masuk sekolah, aku akan ada bisnes sendiri.
Lepas dapat kumpul modal, aku mulakan bisnes kecil-kecilan. Bisnes aku ni lebih kepada servis. Aku buat secara home based sambil homeschool anak. Aku juga masih buat beberapa kerja part time.
Walaupun secara kecil-kecilan di rumah, aku daftarkan SSM dan buka akaun semasa. Aku disiplinkan diri untuk ambil gaji sekadar yang cukup sahaja. Selebihnya aku simpan dalam akaun untuk besarkan perniagaan.
Pada masa itu aku rasa lebih kepada ‘self-employed’ sebab kalau aku ada job, ada income. Kalau aku tak sihat, takdelah income. Jadi aku mula ambil takaful untuk lindungi pendapatan aku.
Aku juga mula menabung dalam unit trust untuk tambah simpanan. Aku dan suami juga ambil takaful hibah untuk dihadiahkan kepada kami.
Anak-anak juga kami ambil takaful. Sebab utamanya ialah aku bekerja sendiri jadi aku rasa sangat penting untuk aku buat pelan kecemasan untuk anak-anak sekiranya apa-apa berlaku pada aku dan suami.
Dalam pandangan mata kasar ahli keluarga khususnya mertua yang majoritinya makan gaji (pejawat awam), aku ni seolah-olah tidak bekerja dan menyumbang pada ekonomi keluarga.
Oh ya, suami aku juga penjawat awam. Dia langsung tak masuk campur urusan bisnes aku. Malahan pada peringkat awal dia sendiri tak menyokong pun tindakan aku nak kerja sendiri.
Dia lebih suka aku kerja makan gaji. Salah satunya sebab arwah ibu mertua bising-bising aku berhenti kerja. Seolah-olah menyusahkan anak dia seorang nak tanggung keluarga.
Walhal dia tak tahu income bisnes aku lebih banyak dari suami dan aku menanggung lebih banyak perbelanjaan kerana suami aku ada macam-macam hutang personal loan atas kesilapan dia buat pelaburan.
Aku tak mahu ulas perkara ini. Bagi aku suami aku dah beri aku kebebasan untuk menentukan apa yang aku nak buat pun aku dah cukup bersyukur.
Suami aku juga banyak bantu uruskan anak-anak sehingga aku dapat capai apa yang ada hari ini. Jadi secara tak langsung aku menghargai juga sumbangan suami aku ini.
Akhirnya pada tahun 2015 aku dapat kembangkan bisnes dan mula ada premis perniagaan dan pekerja. Aku kembangkan bisnes pada waktu GST mula diperkenalkan. Sikit sebanyak aku rasa macam cari pasal pun ada sebab aku mula menanggung kos overhead yang tinggi.
Pada masa inilah bermulanya ‘real bisnes’ aku. Duit simpanan aku habis kering untuk set up bisnes dan aku sangat struggle untuk hidupkan bisnes.
Aku terpaksa buat beberapa part time lagi untuk pump duit dalam bisnes. Belum cabaran nak uruskan pekerja sebab aku kali pertama jadi bos. Aku rasa seolah-olah aku duduk dalam ‘lowest point’ hidup aku. Emosi aku sangat tak stabil.
Berat aku turun mendadak. Dari segi luaran orang nampak aku dah mula berjaya. Family mertua pun mula buka mata.
Sebelum itu masa masih kerja secara home-based aku memang selalu sponsor untuk perbelanjaan keluarga. Belanja makan, bagi hadiah, family day. Untuk family aku juga. Adik-adik kawin aku bagi sponsor. Adik-adik dekat U aku bgi duit belanja. Tolong bayar duit road tax kereta.
Tak ada siapa tahu yang aku betul-betul sesak dan nak balik beraya pun duit cukup-cukup. Aku balik beraya dua hari je. Aku bagi alasan sibuk sedangkan aku tak ada duit nak stay lama-lama di kampung untuk sponsor makan minum ahli keluarga seperti kebiasaan apabila balik bercuti.
Tapi apa yang berlaku pada saat aku mula kembangkan bisnes itu betul-betul mengajar aku supaya kuat menghadapi cabaran. Aku betul-betul bergantung pada Allah Taala. Aku lebih banyak menangis di tikar sejadah supaya aku diberi kekuatan untuk meneruskan jalan yang aku dah pilih.
Satu cabaran yang paling besar untuk aku ialah uruskan pekerja. Aku ni masih hati lembut dan cepat kesian pada orang. Kelemahan aku ini dimanipulasi oleh staff aku sendiri. Mereka datang kerja ikut suka. Claim macam-macam. Sampai aku rasa model bisnes aku ni dah terbalik.
Aku kerja macam nak mati untuk bayar lima orang staff aku yang datang kerja goyang kaki. Tapi aku ambil semua tu sebagai pengajaran. Perlahan-lahan aku belajar menyusun bisnes aku. Aku mula ada SOP dan akaun yang teratur. Hati pun jadi semakin sado.
Fast forward, bisnes aku berkembang dengan baik. Aku juga dah dapat pekerja yang baik. Satu perkara yang aku perlu nyatakan bisnes aku berkembang dengan baik apabila aku hire pekerja yang tepat. Mereka sangat amanah dan komited dengan tugas.
Alhamdulillah lepas bermacam-macam kesusahan, aku dianugerahkan pekerja yang sangat baik. Aku pernah minta nasihat dari sorang usahawan yang berjaya yang aku anggap sebagai mentor aku. Masa tu aku selalu stress bila time nak bayar gaji. Aku takut tak cukup duit nak bayar gaji staff.
Boleh kata bila nak hari gaji, aku memang tak boleh tidur malam. Aku selalu fikir kesiannya staff aku kalau tak dapat gaji. Dorang kerja sangat bagus. Tapi kadang-kadang sebab payment lambat dapat. Itulah yang buat cashflow sangkut.
Ini nasihat yang aku nak sangat kongsi dengan semua pekerja dan majikan di luar sana, kata mentor aku; kita ni majikan sebagai perantara rezeki daripada Allah Taala.
Bukan kita yang beri rezeki pada pekerja. Selagi mana pekerja kita tu amanah dengan tugas dia, Allah Taala akan jamin rezeki untuk dia. Kalau dia memang layak dapat gaji banyak tu dengan usaha dia, memang itu jaminan rezeki dia.
Nasihat ini sangatlah betul untuk aku. Aku tengok mana-mana staff aku yang rajin dan amanah, memang murah rezeki dia. Ajaibnya aku tak pernah tak dapat bayar gaji pekerja-pekerja aku ni.
Ada masa dapat job lebih dengan asbab mereka yang amanah ini. Jadi mereka dapat bonus dan kenaikan gaji. Begitu juga dengan staff yang jenis main-main. Jenis asal isnin je motor pancitlah, tiba-tiba EL la. Jenis MC tak ada surat MC. Biasanya staff yang muda-muda la.
Bukan aku tak tahu malam-malam dia main game. Ada masa kat office pun main game jugak. Datang kerja mengantuk. Kerja tak perform. Tiba-tiba hilang mengulor kat surau.
Biasanya memang tak lama yang jenis macam ni. Tak payah aku buang pun nanti dia berhenti sendiri. Ada je cara Allah nak tarik rezeki dia.
Berbalik kepada cabaran ekonomi sekarang ni, aku menung jugaklah bila PM umumkan PKP. Terus terbayang nasib staff-staff aku. Aku ni memang kenal rapat dengan staff dan family mereka. Kami ni ada je buat familyday tahunan. Jadi boleh kata latar belakang staff aku ni memang semua aku tahu.
Jadi memang aku tahu staff aku ni kerja untuk sara keluarga. Yang bujang kirim duit belanja pada family. Tak ada pun yang datang kerja saja-saja nak isi masa. Menitik jugaklah air mata aku kat tikar sejadah supaya Allah Taala mudahkan urusan staff –staff aku ini.
Aku masih pegang nasihat mentor aku. Yakin rezeki dari Allah Taala. Company aku masih run bisnes walaupun masing-masing terpaksa berkerja dari rumah. Sales memang drop teruk. Namun alhamdulillah rezeki staff aku masih dapat gaji penuh.
Company pun dah terima subsidi upah PERKESO. Landlord dah mula bagi diskaun sewa walaupun pada awalnya tak nak bagi. Semua staff jugak lulus BSH. Aku bersyukur sebab staff-staff masih sangat bermotivasi untuk kerja. Masing-masing dah rindu nak masuk office.
Jadi aku nak ambil peluang ini untuk nasihatkan siapa-siapa yang masih ada rezeki untuk berkerja tu supaya betulkan niat dalam berkerja. Kita kerja kerana Allah bukan untuk bos semata-mata. Pastikan kita amanah dengan setiap sen gaji yang kita dapat.
Untuk orang muda, banyakkan bersabar dalam bekerja. Jangan suka lompat-lompat kerja. Pekerja yang terputus servis atau bayaran PERKESO memang tak layak nak mohon bantuan subsidi upah ni.
Dalam keadaan macam ni majikan memang tersepit dan kalau tak ada pilihan memang kena buang pekerja. Jadi biasanya yang dikekalkan ialah pekerja yang komited dan ada sama-sama dengan syarikat masa susah senang.
Aku sendiri pun bertahan dalam bisnes ini sebab pekerja aku je. Takkan aku nak mengalah sedangkan ada orang lain sanggup berjuang sama-sama dengan aku.
Aku doakan dengan keberkatan Ramadhan ini, ekonomi akan kembali pulih. Aku doakan juga sahabat-sahabat usahawan di luar sana diberi ketabahan dan kecekalan menghadapi cabaran ini.
Sebenarnya aku rasa lebih baik berbanding masa aku mula-mula struggle hidupkan bisnes. Aku tak rasa keseorangan dan aku tahu kat luar sana lebih ramai yang susah.
Jadi daripada aku mengeluh dan meratap nasib, lebih baik aku banyakkan bersyukur dan cari jalan untuk pastikan bisnes aku dapat bertahan. Doakan aku ya.
– Puan Boss (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit