Ibu, Bergenang Air Mataku

Hari ini aku bekerja di zon merah. Pagi2 tenang sahaja, sehingga lebih kurang pukul 11 pagi, kami didatangi pasukan ambulans st john.

2 orang abang ambulans menolak seorang wanita mengandung, kandungannya nampak agak besar, nampak seperti bayi sudah matang.

Di sisi wanita itu pula, seorang lelaki berbaju t-shirt kelabu, ku kira suaminya.

“Kenapa ni?” Aku bertanya.

“Doktor, kami dari hospital G (private hospital), pesakit datang mengadu PV bleeding.” Kata abang ambulans kepadaku.

Dia menyerahkan surat rujukan dari hospital tersebut.

“Dear colleague, this is 30 years old lady, primigravida, unbooked and unscreened at 34 week POG, complained of PV bleeding since 3am today and reduced fetal movement for one day.

USG scan was done, fetal heart rate not detected. Referring to you for further management. Thank you”

Bila baca surat ni, semua rasa nak marah. Kakak2 misi dan doktor2 mulut puaka semua nak marah.

“Kenapa tak bukak buku merah?”

“Kenapa semalam dah rasa baby tak gerak tapi baru harini nak datang hospital?”

“Tak sayang baby ke?”

“Awak tahu tak awak mengandung?”

“Kenapa tak check awal2? Kenapa tak pernah check pun?”

……..

Si ibu hanya diam tanpa bersuara. Sedikit perkataan pun tidak terkeluar dari mulutnya.

Tetapi, si ayah pula yang banyak bunyi..

“Tu laa.. saya dah cakap dulu pergi jumpa doktor, dia degil..”

“Kami sibuk berniaga, sebab tu tak jumpa doktor..”

“Dengan PKP lagi, mana boleh keluar pegi mana2..”

“Isteri saya ni memang tak dengar kata..”

Maka kami team di zon merah pun memulakan resuscitation terhadap pesakit. Alhamdulillah, vital signs stabil. Pendarahan masih berlaku tetapi dalam amount yang minimal dan si ibu mengadu sakit perut.

Kami mengambil darah untuk melakukan ujian makmal dan sekali lagi kami membuat scan baby.

Finding yang kami dapat ternyata sama seperti yang telah dilakukan di hospital G. Dan kami segera menghubungi pakar O&G untuk segera dtg ke zon merah.

Si ayah kami minta tunggu di luar dahulu sementara kami melakukan pemeriksaan.

Sementara kami merawat si ibu di zon merah. Kedengaran suara si ayah di luar, memaki dan menengking security guard di depan pintu zon merah.

“Encik, di sini tak boleh parking.”

“Saya tengah tunggu isteri saya kat dalam ni, parking pulak susah nak cari. Takkan nak tunggu sekejap pun tak boleh.”

“Memang tak boleh encik, sebab ini bukan tempat parking. Nanti ambulans nak lalu hantar pesakit tak boleh nak lalu pulak”

“Eh, kau ni memang tak faham bahasa ke? Aku tunggu isteri aku sakit kat dalam tu tak boleh ke? Kau ni tak ada budi bicara ke?”

“Encik, tolong parking tempat lain..”

Lalu si suami pun memaki hamun si security guard..

Kami staf2 di zon merah hanya mendengar dari dalam.

Kesiann…

Kami hanya diam. Melihat si ibu yang memang dari awal hanya diam. Kami tidak lagi bertanya soalan kepadanya.

……

“Encik, masuk dulu. Pakar sakit puan mahu jumpa.”

Lalu si suami masuk..

“Saya Dr Lee, pakar sakit puan. Saya nak tanya. Kenapa tak pernah bawa jumpa doktor bila dah tahu mengandung?”

“Kami sibuk berniaga doktor, PKP lagi.. bla2..

Alasan yang sama diberikan..

“Kami buat scan lagi sekali, denyutan baby sudah tidak ada. Baby tak dapat diselamatkan.”

“Takpe doktor, anak boleh buat lagi. Isteri saya macam mana doktor?”

“Isteri encik buat masa sekarang stabil, tapi keadaan dia boleh menjadi kritikal bila2 masa, kerana pendarahan masih berlaku”

“Isteri encik perlu masuk wad, untuk kita monitor dan rawatan lanjut.”

“Baik doktor.”

…..

Si ayah menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan kurang ajar pula kepada staf hospital. Bukan sahaja dia tidak membawa isterinya yang mengandung anak pertama ke hospital untuk check up.

Malah apabila diberitahu baby sudah tidak ada, jawapannya pula tidak memberansangkan. “Takpe, anak boleh buat lagi”. Mudahnya manusia ini bercakap. Yang menanggung bukan diri dia, tetapi isterinya.

Isterinya pula, hanyalah seorang suri rumah, tiada pendidikan tinggi, tiada lesen kenderaan, tinggal pula dengan suami yang panas baran, hanya akur dengan suaminya…

Kami doktor dan misi dan staf lain yang melihat, hanya mampu bersimpati terhadap si ibu.

…..

Duhai ibu, janganlah dikau bersedih. Ajal maut di tangan Tuhan.

Aku tahu,

Tiada ibu di dunia ini yang tidak gembira apabila mengetahui terdapat satu jiwa yang sedang membesar di rahimnya, yang menunggu cukup bulan untuk hadir sebagai penyeri di bumi ini.

Tiada ibu di dunia ini yang akan membiarkan anaknya cedera. Tiada ibu yang akan membiarkan anaknya terjadi apa2.

Tiada ibu di dunia ini yang tidak akan bersedih apabila mengetahui anak yang dikandungnya sudah tidak ada lagi.

Aku tahu.. Kerana jika ada ibu seperti ini, dia bukan seorang ibu.

– Dr Aqila (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *