Untuk part I, (https://iiumc.com/fyp-di-bulan-ramadhan/).
Menepati janjiku dulu, kali ini aku berkongsi cerita seram sepanjang aku menyiapkan FYP ku dua tahun lepas. Bersendirian di makmal penyelidikan di kulliyyah pada lewat malam.
Bagi yang belum sempat membaca siri pertama FYP di bulan Ramadhan 5/5/2020, silakan. Cerita sedih, amarah dan penuh dendam.
Aku bukanlah seorang yang penakut. Cuma cepat terkejut. Rakan-rakanku selalu mengusik aku. Mereka berasa puas dapat mendengar aku menjerit. Bergema satu Kuantan.
Tapi, lain pula halnya kalau terjumpa hantu. Suaraku tak keluar. Bisu. Kaki seakan terpaku. Kaku.
Untuk tujuan keselamatan, setiap analisa kajian FYP ku pada waktu malam wajib ditemani sekurang-kurangnya oleh seorang rakan. Itu apa yang telah dipersetujui sebelum aku menandatangani borang penggunaan makmal penyelidikan di luar waktu pejabat.
Tetapi, manusia mana yang boleh tahan untuk datang makmal setiap malam, semata-mata hendak temankan rakannya. Sudahlah kajianku berlarutan sehingga 2 bulan.
Maka bergilir-gilirlah rakanku menemaniku. Mujur ramai yang boleh diharap. Namun, ada beberapa malam yang aku terpaksa berseorangan. Malam-malam sebeginilah peluang untuk ‘mereka’ pula mengusik aku.
Dari mahallah ke kulliyyah pun sudah cukup seram untuk aku memandu sendirian. Jalan yang akan aku tempuhi nanti kirinya ada tasik, kanan pula loji kumbahan. Kalau berbasikal seorang diri melalui jalan ini, waktu sebegini, mesti berdiri bulu roma. Sunyi.
Makmalku terletak di tingkat 4. Tengah malam begini semua lift sudah standby di ground floor. Tekan butang naik, masuk lift, tekan level 4 dan sampai. Mudah. Tapi tidak pada malam itu.
Pintu lift seakan-akan terhalang untuk tutup. Telahanku ada yang menekan butang naik di luar lift. Tak mungkin rakanku datang semata-mata hendak mengusik aku lagi.
“Kalau nak naik, cepatlah masuk. Aku nak kejar incubation time ni!”, ujarku sedikit terganggu.
Pintu lift tertutup. Tiada siapa pun bersamaku. Tiada yang aku nampak. Aku pun bukan ada deria ke-6 nak nampak yang halus-halus. Mungkin lift tadi meragam, aku cuba buang fikiran yang bukan-bukan jauh-jauh.
Aku habiskan masa sekurang-kurangnya 2 jam untuk setiap incubation time. Prep, stain, analyse dan clean as you go. Bergegas aku ke lift, tekan butang turun. Ambil masa sedikit untuk lift sampai ke tingkat 4.
Pintu lift terbuka. Aku masuk, tekan level G. Benda sama berulang. Pintu lift tidak mahu tutup. Seakan-akan ada yang menghalang.
“Rosak ke? Tolonglah jangan rosak”, aku mengeluh, merayu entah kepada siapa.
Keesokan harinya, aku laporkan terus kepada Daya Bersih.
“Kami dah periksa lift tersebut pagi tadi. Semuanya ok”, pegawai bertugas di Daya Bersih memaklumkan kepadaku melalui telefon.
“Tapi malam semalam pintu lift tersebut buat hal. Susah nak tutup. Cuba periksa CCTV untuk kepastian”, aku cuba menegakkan kesku.
“Begini lah, lift itu ada sensor. Kalau overload atau ada sesuatu yang menghalang di pintu lift, otomatik terbuka”, terangnya lagi.
“Awak datang tengah malam ke?”
Belum sempat aku menjawab soalan tersebut, dia menambah, “Baca ayat qursy. Doa. Moga Allah lindungi kita”.
Aku faham.
Kes yang lain pula. Incubation timeku jatuh sekitar waktu berbuka. Langit senja, tanda dah nak dekat Maghrib. Aku dah sediakan Indomie mi goreng campur Samyang ayam pedas bersama sebiji telur rebus. Neslo suam pun dah siap. Aku sendirian di pantry kulliyyah.
Selesai berbuka, aku segera ke surau kulliyyah untuk menunaikan solat Maghrib. Malam-malam sebelum ini, hanya aku sahaja. Tetapi, malam ini sebaliknya. Lampu surau sudah menyala. Bunyi riuh daripada dalam surau sayup-sayup kedengaran. Macam ramai orang.
“Ramai pula harini. Ada majlis apa di kulliyyah malam-malam puasa sebegini”, aku bertanya sendiri sambil berjalan menuju ke surau.
Aku hairan. Tiada sepasang kasut pun di luar surau. Semuanya simpan kasut di dalam, khuatir hilang dicuri aku rasa.
Aku pulas tombol pintu surau seraya memberi salam, “Assalamualaikum”.
Lututku longlai saat melihat surau itu kosong. Sejuk. Sunyi. Aircond tertutup hanya lampu yang menyala. Mujur tiada siapa yang menjawab salamku tadi.
Yang seterusnya ini pula, ‘mereka’ sudah mula menunjukkan kehadirannya. Ya, mereka ramai dan berpakaian putih. Persis aku dengan lab coat putih di makmal.
Sering diusik apabila berseorangan, aku jadi berat hati nak ke makmal antara waktu Maghrib sehingga tengah malam. Aku cuba aturkan dapat sebelum subuh (5am, 11am, 5pm, 11pm…) tetapi memang tidak boleh nak elak pada tengah malamnya pula. Aku cuba lawan perasaan tersebut.
Setiap prosedur kajianku hanya akan dilakukan di dalam Laminar Air Flow, sebuah kabinet kaca bagi memastikan bakteria yang aku semai tidak akan tercemar dengan bendasing lain.
Sedang aku leka menjalankan kajianku di dalam kabinet kaca tersebut. Aku dapat rasakan ada benda melintas di belakangku. Tapi aku kekal fokus, risau tersalah pipette dalam 96-well round bottom microplate ini.
Mereka semakin dekat, semakin laju. Aku menjeling pantulan mereka di dinding kabinet kaca tempatku berkerja. Samar dan tidak jelas. Kalau bacaan analisis aku tak konsisten pada mana-mana incubation time, ‘mereka’lah dalangnya. Jin ke malaikat? Setan ke yang terlepas…
“Allahuakbar!!!”, malam itu aku menggigil. Menangis. Nak lari balik tak boleh. Aku kena dapatkan bacaan. Semua.
Aku baca ayat qursy dalam hati.
Aku sebenarnya tak pasti kalau semua ini hanyalah mainan emosi atau halusinasi aku sahaja. Memang penat sangat nak menyiapkan FYPku dulu. Aku dah ceritakan dalam coretanku yang mula dulu.
Tetapi yang terakhir ini, memang sah bukan lamunan aku sahaja. Aku berani bersumpah, demi Allah. Jelas, dia muncul depan mataku. Besar dengan mata bulat.
Malam itu bulan terang, 15 Ramadhan kalau tak silap. Aku hanya selesai mengambil bacaan pada jam 1 pagi. Baru sahaja aku hendak meninggalkan parking lot kulliyyah, memandu pulang ke mahallah.
Sesuatu melintas terbang di hadapan keretaku lalu mendarat di tepi padang lapang bersebelahan parking lot kulliyyah. Badan berbulu, besar setinggi budak 7 tahun.
Aku perlahankan kereta. Menjeling makhluk tadi di sebelah kiri. Hanya bebola mataku yang melirik ke arahnya, sedang badan dan kepala aku tegak ke hadapan. Persis burung daripada belakang makhluk itu. Mungkin burung hantu yang menerkam mangsanya.
Sehinggalah makhluk itu berpaling dan memandang tepat kepada ku. Terpancar pantulan cahaya bulan penuh malam itu daripada sepasang matanya yang besar lagi bulat.
Kereta autoku bergerak sendiri tanpa aku tekan minyak. Kalau tadi hanya burung hantu, mengapa aku kaku macam nampak hantu. Mungkin juga tadi adalah jelmaan yang menyerupainya.
Begitulah ceritanya aku yang menurut perintah, yang sering diganggu semasa menyiapkan FYP dulu-dulu. Moga terhibur. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Taqabbalallahu minna wa minkum. Maaf Zahir dan Batin.
TAMAT
Bagi yang berminat untuk mengetahui pengalaman intern di FRIM, boleh baca coretan pengalaman manisku dalam Intern di FRIM dari Aidilfitri sehingga Aidiladha, (https://iiumc.com/intern-di-frim-dari-aidilfitri-sampai-aidiladha/).
– Yang menurut perintah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit