Ketagih Makan

Assalamualaikum. Hai aku Hani bukan nama sebenar berumur 26 tahun bekerja di sektor awam dan masih tidak berkahwin.

Sebagai seorang wanita yang selalu kena jumpa orang ramai aku ada satu kelemahan iaitu aku terlampau insecure dengan penampilan aku. Semua ni baru je jadi kat aku dalam tahun lepas sebab suasana kerja aku yang dikelilingi dengan orang2 yang pandai jaga penampilan diri.

Kisahnya bermula masa aku di zaman universiti aku tak kisah sangat penampilan aku sebab masa tu berat badan aku pernah cecah 90kg dengan ketinggian 165cm. Dah boleh bayang mcm gergasi kan.

Baju boleh katakan hampir tak da size pakai baju yang sama ja ulang alik gi kelas kebanyakan memang pakai baju kurung je. Duit tak habis pada baju, make up, accessories melainkan dihabiskan untuk makan shj.

Aku dari kecil memang dah start makan banyak sebab family aku semua jenis makan banyak, mak ayah aku selalu bawa makan luar sebab diorang kerja dan mostly makan makanan fast food. Masa sekolah menengah pun dah kategori obes. Adik beradik aku pun sama je.

Abang sulung aku umur 35 dah ada diabetes sejak umur 20-an lagi, kakak kedua aku 32 dah ada diabetes kena time dia pregnant 3 tahun lepas sampai sekarang pun makan tak pantang sangat, bedal je time nak gi check darah baru kawal makan lepas check dah tak kawal dah.

Berat badan tak yah cakaplah memang range 70kg ke atas lah. Mak aku dah 60 ada diabetes, dengan darah tinggi dan ayah pun 60 takda diabetes tapi dia ada darah tinggi. Alhamdulillah dua2 mak ayah aku masih sihat.

Aku yang ketiga ni Alhamdulillah tak ada sebarang penyakit lagi. Adik lelaki aku pula kurus keding entah tak tahu dia ikut keturunan mana mungkin sebab dia main sukan kut tapi keturunan mak ayah aku kebanyakan semua ada sejarah diabetes.

Balik kepada cerita aku bila dah habis study dan praktikal kat sektor awam dapatlah diserap untuk jadi pekerja terus. Masa ni masih gemuk lagi tapi tak hairan sangat sebab masuk ofis keluar ofis jumpa orang yang sama je. Lagipun dalam ofis tu ada yang lagi besar dari aku berat dia 100kg.

Seingat aku time ni bmi aku obes tahap 1. Nak dijadikan cerita lepas 3 bulan terus kena tukar dari bahagian yang sepanjang masa kat ofis ke bahagian yang kena handle semua event govt dan kat sini lah bermulanya terdetik di hati nak ubah penampilan sebab aku rasa insecure.

Budak2 dalam ofis tu semua cantik2 slim2 pandai make up bagai kiranya macam berpesonaliti menariklah.

Yang biasa2 pun ada tapi dah ada suami tak kisahlah. Ini yang tak kahwin lagi memang tip top. Aku pun tahu kalau bahagian aku sekarang ni memang kena jaga penampilan sebab banyak jumpa orang2 atasan.

Kenapa nak ubah penampilan padahal orang tak da mengata pun. Banyak sangat masalah terutamanya bab baju. Baju-baju untuk event semua diberi tapi selalu je kena ambil size paling besar.

Buat event sukan pun rasa malu nak bersukan dengan badan macam ni. Duduk dalam event dengan orang-orang atasan lagilah tak selesa asyik berpeluh je.

Pasal pasangan, aku tak kisah sangat sebab aku dah ada boyfriend zaman sekolah lagi dah lebih 10 tahun dah in relationship, Inshaallah tahun depan semoga dipermudahkan untuk kami berkahwin.

Boyfriend aku ni dulu sama gemuk je dengan aku tapi lepas sekolah dia start merokok terus jadi kurus tapi tak da la kurus kering. Cumanya tak kanlah aku nak merokok juga untuk kurus memang tak la kan.

Dengan kekuatan dan ilmu yang dapat dari google, fb, insta dan sewaktu dengannya aku pun mulalah menjaga pemakanan dan buat exercise.

3 bulan pertama dapat turun 15kg dan ambil masa 6 bulan lagi untuk turunkan 10kg. Total lost 25kg dapatlah berat badan 65kg. Masa ni baju semua dah bertukar size dan orang pun ramai yang tegur cakap aku kurus. Tapi aku tak puas hati lagi sebab aku je yang tahu badan aku macam mana.

Bila berat dah 65kg tibalah masa untuk dia statik. Bagi aku 65kg tu masih tak okay sebab target aku nak turunkan sampai 55kg tapi masalahnya macam mana aku buat pun berat aku tak nak juga turun. Degil nak mamp0s. Kalau turun pun 1 2kg je lepas tu naik balik.

Okay sepanjang aku berdiet aku dah start ada ketagihan iaitu ketagihan untuk tahan lapar dan tak makan banyak.

Kadang2 sehari makan sekali sahaja dengan kuantiti sedikit lebih kurang 500-700 kalori sahaja sehari. Yang paling teruk aku pernah buat adalah aku ikat perut dengan tali pinggang semata-mata nak tahan lapar.

Masa aku exercise aku pernah pengsan dan kena tahan kat wad disebabkan badan kurang nutrisi dan gula dalam darah terlampau rendah. Masa ni kena nasihat kaw2 dengan doktor siap bagi panduan untuk makan secara sihat.

Bila makan secara sihat aku tak dapat kawal pemakanan aku end up aku makan lagi banyak dari biasa dan berat aku naik sampai cecah 68kg dalam masa sebulan je. Nak turun 3kg sebulan punya susah sekarang tapi nak naik kejap je.

Aku jadi bertambah stress dan kembali ke tabiat menahan lapar. Tapi sampai bila aku nak tahan lapar kan sebab kalau lapar sahaja tak apa tapi ini lapar tambah dengan craving terketar-ketar nak makan tau.

Maka terjadilah satu lagi ketagihan aku iaitu makan je apa yang aku suka tapi lepas tu aku muntah. Aku rasa dah 3 4 bulan aku buat benda tu sampai berat aku dah cecah 60kg tapi itulah lepas makan je aku muntah.

Tapi tak la selalu, ada hari kalau aku boleh kawal nafsu makan aku, aku okay je tapi kadang-kadang datang nafsu makan yang membuak-buak aku dah jadi ketagih lepas makan muntah.

Masa bulan puasa aku makan sehari sekali je time berbuka tapi aku tak kawal jumlah makanan yang masuk menyebabkan aku naik 4kg dalam masa sebulan.

Aku ada muntah juga masa bulan puasa tapi tak kerap sebab badan aku weak sangat. Nak muntah pun tak larat. Lagipun bulan puasa memang aku tak aktif sangat tambah2 musim pkp ni memang tak ada event langsung, kerja pun kena ikut giliran dan banyak menghabiskan masa tido kat rumah je.

So bila dah lepas raya ni aku ketagih balik lepas makan muntah. Benda tu macam dah terbiasa dalam diri aku sampaikan kadang-kadang aku tak paksa muntah pun tapi lepas makan autom4tik terasa mual.

Lepas aku buat macamtu berat turun 2kg dalam masa seminggu. Dan aku masih ketagih sampai sekarang. Berat badan aku dengan ketinggian aku sebenarnya dah normal tapi sipi2 ja lebih elok kalau turunkan lagi kalau nak selesa.

Aku ada target nak turun sampai 55kg tapi nak dapat berat 59kg pun susah. Masalah aku sekarang aku kerap lapar, selalu lapar, selalu teringin nak makan. Sakit pun aku punya nafsu makan tak pernah berkurang.

Aku buntu la dengan masalah aku ni, walaupun dah setahun berdiet tapi tak pernah rasa puas hati dengan berat sekarang.

Aku cuma luahkan kat sini sebab tak da orang pun tahu yang aku buat benda tu yang bagi aku sebenarnya tak elok untuk badan aku. Tapi aku dah terbiasa bila makan tak ingat lepas makan menyesal dan lepas muntah baru aku rasa lega sebab makanan dah tak ada dalam badan aku.

Ini aku tulis pun sebab baru muntah je tadi sebab Abang aku beli makanan banyak malam ni. Nak tak nak aku kena makan juga sebab lapar, kalau tak da makanan memang aku tak makan.

Btw family aku semua jenis makan banyak dan murah hati dengan makanan. Bab2 makanan semua jenis nak belanja. Aku stress la, tolong bagi kata-kata yang menginsafkan aku please.

– Hani (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *