Si Hitam Manis

Assamualaikum wrt dan Selamat Sejahtera. Hari ini aku hendak menulis mengenai stigma jelek sesetengah orang Melayu (bukan semua) terhadap warna kulit.

Kalau baca sejarah, orang Melayu sebenarnya asal berkulit gelap, tetapi hari ini ada orang Melayu yang berkulit cerah, ada yang berkulit sawo matang dan ada yang berkulit gelap.

Aku terdetik untuk menulis perkara ini apabila terbaca cemuhan-cemuhan di ruangan komen FB yang dilemparkan kepada seorang selebriti wanita Melayu yang berkulit gelap.

Dia dicemuh dengan pelbagai panggilan – kicap, kerak kuali, ketiak hitam dan macam-macam lagi yang aku tak sanggup nyatakan di sini, dan ini semua hanya disebabkan mereka tidak bersetuju dengan pendapat peribadi dia.

Pada pandangan aku, pendapat peribadi selebriti tersebut tiada nilai kontroversi pun, tapi entah kenapa ramai yang triggered.

Kemudian aku baca pula kisah seorang remaja lelaki di Twitter yang merupakan anak kacukan Melayu-Afrika. Sedih aku baca kisah dia yang sentiasa menjadi mangsa ejekan dan hinaan sejak dari kecil hanya disebabkan dia berkulit gelap.

Jadi di sini aku nak berkongsi pula kisah aku sebagai lelaki Melayu berkulit gelap yang dilahirkan dalam keluarga yang berkulit cerah. Sebelum pembaca meneruskan pembacaan, aku nak tegaskan di sini ini bukan kisah sedih ya.

Aku anak ketiga daripada 5 orang adik beradik yang semuanya lelaki. Emak dan abah berkulit cerah dan adik-beradik aku yang lain pun berkulit cerah.

Aku percaya ini disebabkan faktor genetik dari sebelah emak, sebab aku ada seorang pak cik saudara yang mengalami nasib yang sama sedangkan nenek dan atuk aku pun berkulit cerah.

Disebabkan aku ini lain daripada yang lain, semasa zaman budak-budak dulu aku sentiasa menjadi mangsa usikan/gurauan kasar saudara mara dan jiran-jiran terdekat.

Sering saja aku disuakan dengan cerita yang kononnya aku ini sebenarnya anak pungut yang dikutip dari tepi jalan atau aku sebenarnya anak satu pasangan orang India yang emak dan abah ambil sebagai anak angkat.

Syukurlah aku dikurniakan dengan ibubapa yang penyayang. Setiap kali aku diusik begitu, emak atau abah akan tersenyum dan datang memeluk aku, berikan aku ciuman di dahi dan berbisik dengan kata-kata ‘Alang anak emak dan abah… dorang bergurau je tu’

Tapi bila dah disuakan cerita yang sama berkali-kali, kadang-kadang aku sampai terpercaya juga.

Sehingga ke hari ini apabila kami sekeluarga dapat berkumpul bersama, abah mesti berseloroh dengan berkongsi cerita bagaimana aku pernah menangis dan merayu-rayu kepada abah supaya mengaku saja yang aku sebenarnya anak angkat.

Selain itu, ada juga cerita bagaimana aku pernah baling batu ke arah seorang budak lelaki dan menyebabkan dahinya berdarah kerana sering mengejek aku, dan bagaimana emak budak itu datang menyerang rumah kami, terjerit-jerit menuduh emak dan abah tak pandai didik anak.

Kerana sering dimomokkan dengan perspektif negatif kulit gelap, aku membesar sebagai budak dan remaja yang sensitif dan self-conscious. Semasa di sekolah rendah, ada saja budak-budak nakal yang mengejek aku dengan panggilan macam-macam hanya disebabkan aku berkulit gelap.

Pengalaman paling teruk ketika aku di Tingkatan 1 di sebuah SBP apabila dibuli oleh sekumpulan pelajar senior Tingkatan 5. Mereka tidak membuli secara fizikal tetapi lebih kepada emosi.

Pelajar senior akan memanggil aku masuk ke dalam dorm mereka. Beberapa orang pelajar senior kemudian akan berdiri mengelilingi aku dan mula mengejek aku dengan panggilan kicap, k@l#ng dan macam-macam lagi sambil membuat memek muka dan ketawa mengilai yang menyakitkan hati.

Kalau bukan kerana waktu itu fizikal aku yang kecil berbanding mereka, mahu saja aku bagi penumbuk dan penampar. Insiden ini bukan berlaku sekali saja, banyak kali juga sepanjang aku di Tingkatan 1.

OK, cukup dengan kisah aku yang lalu. Walaupun aku masih ingat peristiwa-peristiwa tersebut, sebagai orang dewasa hari ini aku dah tak terkesan pun, dah tak ada nak rasa sedih-sedih. Aku ambil itu semua sebagai perkara yang lepas dan sebagai resam hidup.

Bila masuk ke alam universiti dan pekerjaan, perasaan self-conscious aku hilang dengan sendiri. Kulit gelap ke, kulit cerah ke, itu semua bagi aku dah jadi non issue.

Aku sekarang sudah pun berumahtangga. Isteri aku berbangsa Cina dan kami dikurniakan 3 orang anak lelaki berumur 5 hingga 10 tahun. Anak-anak aku tiada seorang pun yang berupa paras Melayu, bagi yang tak kenal mesti ingat mereka anak orang Cina.

Kalau aku keluar shopping bawa anak-anak tanpa isteri, aku sudah hilang perkiraan berapa kali aku pernah ditanya oleh cashier ‘Eh anak-anak abang ke ni?’. Aku jawab ya dengan senyum-senyum saja, tak ada lah sampai aku nak berprasangka buruk.

Apabila aku, isteri dan anak-anak aku di tempat awam pula, pasti akan ada mata yang asyik memandang. Bukan aku saja yang perasan, sampai isteri dan anak-anak aku pun perasan, tapi aku dan isteri ajar anak-anak mengambil perkara itu secara jenaka dan tidak endah saja.

Berbalik kepada stigma jelek orang kita terhadap individu berkulit gelap, aku sedar stigma ini sukar dikikis, tapi aku sangat berharap masyarakat kita suatu hari nanti dapat berubah.

Cuma apa yang boleh aku katakan di sini sebagai orang Islam, dalam dunia media sos**l di mana kita boleh menghina, mengutuk dan mengecam apa saja tanpa identiti sebenar.

Sebelum kita berbuat begitu ingatlah Allah SWT itu Maha Melihat, serta ingatlah akan Malaikat Raqib dan ‘Atid yang sentiasa mencatit perbuatan kita.

Beringatlah juga akan dosa yang kita tanggung seumur hidup jika kecaman dan hinaan kita itu meninggalkan kesan psikologi yang mendalam terhadap individu terb**it.

Dan yang paling penting, sentiasa ingatlah yang kita ini orang Islam, tiada bezanya kita di sisi Allah SWT melainkan nilai ketakwaan kita. Didiklah diri kita dan anak-anak kita dengan akhlak Islam, kerana itu saja cara yang aku nampak untuk kita menjadi masyarakat yang berhemah.

– Riz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *