Assalamualaikum semua. Aku baru lepas terbaca confession yang bertajuk “Isteri Yang Menderita” (https://iiumc.com/isteri-yang-menderita/) dekat sini tadi. Aku tergerak hati nak ceritakan kisah aku juga.
Namaku Mawar. Aku berusia lewat 20-an. Seorang wanita bekerjaya, mempunyai seorang cahaya mata dan sudah lebih 5 tahun bergelar seorang isteri.
Aku dan suamiku kenal sejak dari bangku sekolah. Kami cinta monyet yang menjadi nyata kerana akhirnya membawa ke alam perkahwinan. Tapi 15 tahun usia perkenalan kami sebenarnya tidak menjaminkan apa-apa.
Kami diijabkabulkan atas rasa suka sama suka dan tanpa paksaan. Tapi silapnya aku masa tu, aku tidak mengutamakan Tuhan. Tak pernah sekali pun aku berdoa pada Tuhan dulu agar Tuhan tunjukkan pada aku adakah dia baik untuk diriku dan hidupku.
Kehidupan aku sejak dulu lagi agak sos**l. Aku berkawan tanpa batas dengan lelaki dan perempuan tapi aku tak pernah sekalipun menyerahkan mahkota hidupku pada sesiapa kecuali suamiku.
Walaupun kami tidak pernah melakukan hubungan terlarang sebelum berkahwin, tapi kami sering ringan-ringan. Bila berkahwin, aku berharapkan bahawa suami mampu membimbing aku ke arah kebaikkan.
Jujur aku katakan, suami aku seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab. Segala kerja rumah dia lakukan kecuali memasak. Dan aku terlalu bersyukur atas sebab itu.
Tapi sayangnya perkahwinan kami hambar. Perkahwinan kami hanya bahagia pada setahun yang awal dulu. Selepas aku melahirkan anak kami, hidup kami semakin hambar
Kami juga tidak lagi ‘bersama’ sehingga kini. Jangan ditanya kenapa sebab sejujurnya yang hanya aku mampu katakan hanyalah aku sudah tawar hati dan hilang rasa cinta pada dia. Mungkin ini balasan atas dosa-dosa kami yang dulu.
Yang makin menghilangkan rasa sayang dan hormat aku pada dia adalah kerana dia pernah memukul aku dulu. Walaupun hanya sekali, aku tetap tak akan lupa. Report polis yang aku buat masih aku simpan rapi buat rujukan bila perlu nanti.
Dan suami aku kini juga tidak lagi bekerja tetap. Sejak 2 tahun lalu suami aku tidak ada pendapatan yang tetap. Hanya terlalu bergantung pada keluarganya.
Ya, dia anak orang berada tapi aku tak suka bila dia terlalu bergantung pada mereka. Di mana harus aku letakkan air muka aku sebagai seorang isteri bila dia meminta-minta pada keluarganya?
Aku tidak didera dari segi fizikal (mungkin hanya sekali dulu) tapi aku sangat didera dari segi mental dan emosi. Segala keperluan rumah dan anak, aku yang harus sediakan kerana dia tak punya wang.
Bila aku cuba ajak berbincang mencari penyelesaian, pasti akan berakhir dengan pergaduhan yang mana suami aku akan mendiamkan diri dan memakan masa berhari-hari untuk okay balik.
Suami aku juga sering provok dan manipulate setiap kali kami bertengkar dengan hanya menyalahkan aku seorang dan tak akan mengaku salah. Aku dah penat cuba untuk membuatkan dia faham yang aku sedang terlalu tertekan. Tapi kata dia, “Benda takda apa pun, saja mengada lebih”
Suami aku juga tak pernah mendidik aku ke arah kebaikan. Sedangkan bacaan solat aku pun tak pernah ditegur apatah lagi yang sunat. Padahal dia selalu bercerita pada aku yang dia arif hal-hal agama.
Memang tak dinafikan keluarganya baik-baik belaka, datuknya juga seorang ustaz. Aku tau aku terlalu berdosa kerana tak lagi ‘melayan’ suami seperti yang seharusnya dilakukan seorang isteri tapi setelah berbincang dengan suami berkali-kali, suami katakan dia redha.
Aku tahu walaupun dia redha, deep down inside dia tetap mahukan layanan seorang isteri. Dan aku tak putus-putus menangis dalam setiap doa aku memohon tuhan kembalikan rasa sayang dan hormat aku pada dia tapi rasa aku masih sama, pudar.
Aku menangis sambil mengadu pada Tuhan kerana aku tau dosa aku besar mengabaikan suami tapi aku tak mampu memaksa diri dan menipu diri. Aku dah tak punya apa-apa rasa lagi, bagaimana cara untuk aku melayannya lagi?
Sebelum puasa hari tu aku adukan ke pejabat agama dengan harapan pejabat agama dapat membantu kami dari segi kaunseling.
Walaupun aku tahu hati aku dah bersedia untuk dilepaskan, tapi aku akur pada permintaan suami agar kami ke sesi kaunseling dulu sebelum dia membuat apa jua keputusan. Dan kami masih menunggu tarikh dipanggil pejabat agama.
Setelah berkali-kali merayu, suami aku tetap tak menceraikan aku atas alasan kasihankan anak yang masih kecil. Aku betul-betul dah penat dan tak mahu untuk teruskan perkahwinan ini lagi.
Aku banyak google dan membaca cara-cara untuk memfailkan cerai dimahkamah tapi aku tak punya duit yang banyak untuk melantik peguam.
Aku juga takut kes aku tak dilayan sekiranya aku failkan fasakh kerana tiada bukti yang kukuh. Bagaimana cara untuk aku buktikan penderaan emosi dan mental yang aku hadapi ini benar-benar menyeksakan? Adakah mahkamah dan hakim akan faham?
Sebab ini juga aku rasa kenapa perlunya aku ke kaunseling dulu agar ada record jika diperlukan di mahkamah nanti.
Aku mohon kalian tidak mengecam aku kerana aku benar-benar perlukan sokongan terutamanya dari segi emosi. Aku hanya mahukan nasihat terutamanya daripada pakar-pakar kaunseling rumahtangga serta peguam syariah di sini tentang apa yang harus aku lakukan?
Bantu aku. Please.
– Mawar (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit