Putera Trauma

Assalamualaikum WBT. Nama Aku Hamzah. Sejujurnya aku ingin menceritakan kisah yang demi Allah terjadi didalam hidup aku. Sebagai ped0man dan ingin aku ketengahkan mengenai masalah depresi dan trauma kepada masyarakat kita.

Aku lahir didalam keluarga yang amat sederhana. Semuanya aku lalui dengan kebahagiaan, mempunyai ayah dan ibu.

Sewaktu aku berumur 15 tahun, ibu aku mengandungkan adik bongsu dan kandungannya bermasalah. Sejak dari itu hidup aku hanyalah di hospital dan dirumah. Aku selalu melihat ibu berdarah dan secepatnya ayah menghantar ibu ke hospital.

Penat jerih ibu mengandung membuatkan aku belajar menghargai pengorbanan wanita. Aku belajar memasak dan mengemas rumah supaya dapat menolong ibu sepanjang beliau mengandung.

Sehinggalah kandungan berusia 8 bulan, ibu jatuh darah sekali lagi. Waktu itu ayah tidak dapat balik serta merta kerana motosikalnya rosak ditengah jalan. Aku berlari meminta tolong kepada jiran, aku dukung ibu dengan penuh darah dibaju.

Kami sampai ke hospital agak lambat, ibu sudah pucat dan pitam. Aku dukung ibuku sendiri ke ruang kecemasan sehinggalah doktor tidak dapat menyelamatkan ibu dan adik bongsu ku. A

ku meraung dengan penuh darah ibu ditangan aku, ayah juga pengsan kerana tidak dapat melihat ibu buat kali terakhir.

Sejak itulah aku benci melihat hospital. Apa-apa filem berkaitan dengan penderaan, penyeksaan dan darah yang melibatkan kaum wanita aku tidak boleh tengok. Pasti aku akan meracau dan sumpah seranah.

Melihat keadaan aku yang tidak normal, ayah menghantar aku ke pusat rawatan psikologi dan trauma.

Dipendekkan cerita hampir 10 tahun aku masih tidak dapat hilangkan trauma aku. Sehinggalah aku bertemu dengan isteri, aku tatang, manjakan dia sehingga basuh pinggan pun aku belikan mesin.

Aku terlalu menjaga dia, tidak mahu melihat tangannya menjadi kasar, aku takut dengan pisau, sehingga dia susah untuk memasak sekiranya aku berada dirumah. Sifat aku yang pelik ini menyebabkan isteri bosan dengan kerenah aku.

Dia selalu berkata, dia bosan makan diluar, dia ingin menjadi seperti isteri orang lain memasak untuk suami. Aku cuba untuk faham, tetapi setiap kali dia mengeluarkan pisau aku akan menjerit sasau seperti orang gila.

Lucukan? Mesti pembaca ketawa dan anggap ini dongeng. Tetapi inilah yang berlaku kepada diri aku dan pesakit trauma yang lain. Masalah terbesar didalam rumahtangga aku adalah isteri inginkan anak dari rahimnya.

Aku teringat bertapa teruknya ibu aku mengandung dan meninggal kerana ingin melahirkan anak, aku tidak dapat lalui sekali lagi pengalaman perit itu. Jadi aku usulkan untuk mengambil anak angkat. Malangnya isteri meberontak dan memohon perceraian.

Aku terlalu sayangkan dia, hakta nyamuk pun aku tak bagi hinggap di tubuhnya. Cuma yang salah adalah penyakit trauma aku yang melampau.

Kerana dia hari-hari dia meminta cerai, dan nasihat dari ayah, aku menceraikannya dengan talak satu. Hanya Allah sahaja yang tahu bertapa teruknya keadaan aku sewaktu itu sehingga diberhentikan kerja, rumah dilelong gara-gara rindukan isteri.

Isteri berkahwin lain dan mempunyai anak. Aku melihatnya dari laman sos**l sehingga ayah campak tablet aku hingga pecah. Ayah banyak membantu aku untuk kembali “hidup”.

Tahun lepas ayah usulkan aku mengambil anak angkat. Aku namakan cahaya mataku ini Hamka Hamzah.

Dialah penyeri hidup aku dan aku berupaya bernafas semula dan memulakan pekerjaan seperti biasa. Ayahlah menjadi tulang belakang aku selama ini dan aku berterima kasih kepadanya.

Bekas isteri tiba-tiba menelefon aku kembali, dia berkata dia seperti didera dirumahnya. Memiliki anak kembar dan perlu membuat kerja rumah membuatkan dia mengalami depresi yang teruk tidak seperti disaat menjadi isteri aku, dilayan seperti permaisuri.

Aku tidak dapat melayannya kerana dia masih isteri orang. Dia ingin kembali kepada aku. Aku menjadi serba salah kerana hati ini masih untuk dirinya.

Kepada semua sahabat sekalian, aku ini introvert. Hidup hanya ada ayah dan Hamka. Ingin sekali mendengar nasihat dan buah fikiran dari sahabat-sahabat sekalian, apa perlu aku lakukan?

Segala nasihat aku ucapkan terima kasih dan aku mendoakan agar kalian memperoleh kebahagiaan didunia dan diakhirat.

Sekiranya ada kenalan-kenalan kalian yang mempunyai masalah jiwa dan mental, bantulah mereka kerana kami tidak ramai kawan dan kenalan rapat. Aku bernasib baik kerana masih ada seorang AYAH..

Sekian,

Putera Trauma,

Ayahanda Hamka

– Al Hamzah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *