Ini merupakan balasan kepada salah satu confession di IIUM Confession bertajuk “Wujudkah Allah?” (https://iiumc.com/wujudkah-allah/).
Saya kira penulis confession tersebut masih mencari erti hidup, jadi izinkan saya memberi sedikit sebanyak sudut pandang saya, sekaligus harapnya mampu membalas sedikit sebanyak lontaran soalan yang dinyatakan dalam confession tersebut.
Terlebih dahulu, ingin saya tekankan bahawa saya tidaklah alim, dan masih lagi bertatih dalam soal agama. Namun begitu, disebabkan soalan yang diutarakan lebih kepada sudut falsafah, jadi saya merasa terpanggil untuk membalasnya.
Dalam confession tersebut, perkara pertama yang diminta penjelasan oleh confessor adalah kenapa Allah tidak mendengar doa hambanya. Confessor berdoa agar ayahnya sembuh dan diberi kesihatan yang baik, namun seperti tidak didengari.
Di sini izinkan saya menceritakan satu kisah, sebelum saya menerangkan lebih lanjut berkenaan pertanyaan tersebut.
Pada zaman dahulukala, ada seorang petani muda yang baik sangkanya terhadap Tuhan dalam sebuah kerajaan lama. Petani tersebut ada memiliki seekor kuda, dan kuda itulah juga yang dia gunakan dalam membantu kehidupan bertaninya sehari-hari.
Satu hari, sedang dia bergerak ke pasar membawa sayur-sayuran, dia dirompak oleh sekumpulan penjahat. Berusaha menyelamatkan barang dagangan nya, dia kalah, dan kudanya tercedera manakala tangannya kudung akibat perbuatan penjahat tersebut.
Namun begitu, petani tersebut tidak menyalahkan Tuhan. Dia anggap apa yang telah berlaku sebagai satu ujian untuk dirinya, dan dia meneruskan kehidupan seperti biasa, dengan kuda yang agak tempang (cacat) dan tangannya sebelah sahaja yang mampu berfungsi.
Setelah beberapa purnama kejadian itu berlaku, tiba-tiba raja negeri itu menitahkan mana-mana lelaki sihat yang mampu untuk pergi berperang agar menyertai pasukan tentera di raja, kerana raja ingin meluaskan tanah jajahan.
Nasib ternyata menyebelahi petani itu kerana dia cacat, maka dia tidak dipilih menyertai tentera. Ramai askar dan tentera raja akhirnya m4ti akibat perang, namun petani itu bukanlah salah seorang orangnya.
Confessor, itulah yang dipanggil hikmah.
Hikmah tak datang secara sekaligus. Ia akan datang pada waktunya yang tersendiri. Mungkin ada sebab kenapa Allah tidak memakbulkan doa kesihatan ayah confessor, namun hakikatnya semua manusia akan m4ti dalam dunia ini.
Barangkali kem4tian ayah confessor dalam keadaan tersebut adalah salah satu kem4tian yang paling baik antara semua kebarangkalia kem4tian yang ada, siapa tahu?
Soal kenapa hidayah tidak diberi kepada orang bukan Islam, mungkin lebih elok kiranya kita semak semula apa ertinya Islam. Menjadi Islam itu ertinya meletakkan diri (berserah) kepada Allah.
Maka salah satu rukun untuk menjadi Islam adalah untuk mengucap dua kalimah syahadah, disamping solat, puasa, menunaikan zakat dan haji jika mampu.
Nah confessor saya ada satu soalan, adakah orang Islam pada zaman ini benar-benar Islam? Berapa ramai umat Islam sendiri yang tidak menepati piawaian untuk menjadi orang Islam, namun di kad pengenalan mereka tertulis bahawa agama mereka Islam?
Bukankah lebih elok sekiranya, disamping mendoakan orang kafir yang baik seperti Bill Gates masuk Islam, kita doakan kesemua umat manusia masuk Islam, dan menjadi umat Islam yang mutlak?
Jawapannya (pada pandangan saya), kerana menjadi orang Islam itu adalah satu perjalanan. Ia bukan satu label yang kita letak kepada orang, sebagaimana label kaum Melayu, Cina dan India, sebaliknya untuk “menjadi Islam”, kita perlu bergerak mencari Islam itu sendiri terlebih dahulu.
Percayalah, apabila kita telahpun mencari Islam dengan hati yang tulus ikhlas (dan bukan dengan keegoan), maka Islam itu sendiri akan hadir kepada kita. It’s a journey, and the end is Allah.
Soal pertanyaan atheist berkenaan Tuhan dan otak, ya, saya sedia maklum akan perkara tersebut.
Andai ada atheist yang bertanya “adakah kita mampu melihat Tuhan, tidak bukan? Maka Tuhan tidak wujud.” Jawapan kepada soalan ini adalah “adakah kita mampu melihat otak? Tidak bukan, maka otak tidak wujud.”
Pertama sekali, benar, teknik pengimejan MRI mampu menghasilkan imej otak untuk doctor gunakan dalam diagnosis, namun perlu confessor ingat, itu adalah “Imej Otak”, bukan otak itu sendiri.
Maka menggunakan analogi MRI dalam keadaan ini agak janggal, kerana dengan teknologi secanggih MRI sekalipun, ia hanya mampu memetakan dalam 80% ke 90% otak dengan tepat.
Ya confessor. CT Scan dan MRI pun ada kebarangkalian untuk salah.
Jadi jawapan bahawa untuk melihat otak kita, kita perlu keluarkan otak kita dari dalam diri kita. Cuma masalahnya, apabila otak kita dah dikeluarkan, kita tak mampu nak tengok otak kita secara real-time.
Ironinya, ini juga hampir sama keadaannya dengan Tuhan. Nak tahu Tuhan itu wujud atau tak secara total? Silakan m4ti.
Tak, bukan bvnvh diri maksud saya, namun hakikatnya hanya dengan kem4tian sahajalah kita mampu membuktikan bahawa Tuhan itu wujud atau tidak, namun, sama seperti kes otak itu tadi, sekiranya kita telah m4ti, tiada option untuk kita hidup semula.
There is no “Reset” button.
Kenapa Allah yang dipilih, kenapa bukan Tuhan lain?
Saya percaya disinilah kita bertemu dengan apa yang dipanggil sebagai YAKIN. Iman itu adalah keyakinan. Kenapa kita memilih untuk menjadi Islam? Kerana kita yakin bahawa Allah itu Tuhan.
Ada banyak sahaja kisah bagaimana orang bukan Islam memeluk Islam, saya sarankan dengarlah dan buat perbandingan dengan minda yang tidak bias. Mungkin boleh luaskan juga kepada pengajian perbandingan agama, mana yang dilihat sesuai menurut confessor.
Soalan mengenai mengapa umat Islam menderita dan yang lainnya saya kira termaktub juga dalam kisah pertama yang saya ceritakan tadi. Hakikatnya adalah kita tidak mampu mmahami masa hadapan sehinggalah ia terjadi, maka sukar untuk kita digest kenapa perkara itu berlaku sekarang.
Kita ini seumpama Nabi Musa yang melihat Khidir membvnvh budak. Kita persoalkan kenapa dan mengapa, sedangkan Khidir diberi kelebihan untuk faham apa yang kita tidak faham.
Ada satu ayat dalam confession tersebut yang membuatkan saya trigger sikit.
“Jikalau kita lihat hujah berkaitan al quran daripada atheist tanpa bias, banyak yang masuk akal. Antaranya begitu banyak kontradiksi faktual di dalamnya berkaitan ilmu sains.”
Maafkan saya, kerana saya sendiri berada dalam lapangan sains, dan saya tidak pernah perhatikan mana-mana pertentangan antara ayat al Quran dengan sains. Sukalah kiranya confessor nyatakan apa pertentangan yang ada, atau sekadar memetik pertuduhan tanpa kenyataan?
Aduh, saya rasa di saat confessor mula membuka bicara mengenai al Quran, confessor sebenarnya sedang menyanggah dirinya sendiri.
Di awal confession tersebut confessor sendiri mengaku bahawa confessor tidak mampu membaca al Quran, jadi bagaimana confessor boleh menuduh bahawa al Quran memberikan layanan tidak sama rata antara lelaki dan wanita?
Tidakkah confessor tahu ada surah khusus yang diberi nama wanita (seperti surah Maryam), bahkan Nabi Muhammad sendiri terkenal sebagai orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya?
Hakikatnya, Islam telah menaikkan martabat wanita dari kejahilan masyarakat Arab yang mengambil wanita sebagai satu kehinaan.
Berkenaan soal buraq dan permasalahan mukjizat melawan sains, perlu saya tekankan bahawa mukjizat merujuk kepada perkara luar biasa yang hanya berlaku kepada Nabi dan Rasul.
Kalau andaikata confessor tidak yakin akan mukjizat, saya rasa itu tidaklah ganjil, kerana para sahabat sendiri pun tidak mampu mempercayainya sewaktu mereka mendengar peristiwa Israk Mikraj dahulu.
Sains mampu menjelaskan banyak perkara, namun mukjizat (dari maksud yang dah diberikan tadi), kelihatannya tidak termasuk dalam apa yang mampu sains cerap.
Mungkin kerana itulah juga, salah satu rukun Iman adalah percaya kepada Nabi dan Rasul, kerana ada sesetengah perkara yang terjadi kepada nabi dan rasul yang tidak mampu minda kita cerna.
Bayangkan, macam mana seorang yang tidak mampu membaca dan menulis, mampu menghasilkan al Quran dan segala isi kandungannya? Tidakkah itu ganjil?
Satu hujahan saya terhadap “minda saintifik atheist” ini adalah, menurut Hukum Keabadian Tenaga, tenaga tidak boleh dicipta atau dimusnahkan, namun ia hanya mampu berubah keadaan.
Sekarang soalan saya, bagaimana sesuatu mampu wujud tanpa diciptakan? Tidakkah dalam kerangka “pemikiran saintifik” ini sendiri, tenaga itu dianggap sebagai satu bentuk “Tuhan”?
Maka mohon jawab persoalan saya. Sekiranya atheist yang saintifik mampu, bagaimana sesuatu mampu wujud tanpa pencipta?
Oh dan jangan suruh saya baca Quantum Field Theory, hatta dalam keadaan vacuum sekalipun keperluan tenaga untuk wujud tanpa pencipta itu seharusnya dipersoalkan oleh sesiapa yang menganggap akalnya “rasional”.
“Dan jikalau Allah maha penyayang terhadap hambanya, mengapa sanggup dilempar ke neraka? Mengapa tidak diberi hidayah kepada mereka semasa mereka hidup?”
Confessor, saya adalah seorang watga pendidik. Sebagai warga pendidik, saya amat sayangkan pelajar saya. Apabila adanya peperiksaan, saya akan bagi tips, supaya mereka boleh fokus terhadap peperiksaan mereka. Cuma soalan saya, adakah kesemua pelajar saya akan lulus dengan cemerlang dan mendapat A?
Tidak confessor. Hakikatnya, mereka akan mendapat keputusan yang sesuai dengan apa yang mereka usahakan.
Boleh sahaja saya tidak adakan ujian dan bagi kesemua mereka lulus dan A, namun kalua begitu, apa matlamatnya mereka masuk ke kelas saya? Bagaimana saya nak menilai mereka, dan menjadi adil?
Mengapa anjing diharamkan sedangkan ia amat berguna? Kalau ia berguna dalam kehidupan confessor, silakan bela, dengan kesepakatan peliharaan anjing sepertimana yang dijelaskan oleh ulama. Dan soal makan b**i. Sejujurnya saya tidak tahu kenapa diharamkan b**i kepada orang Islam.
Namun begitu, aduh confessor. Dengan sebesar-besar rahmat yang diberi, yang terdiri dari makanan di laut dan di darat, kenapa hanya b**i yang menjadi persoalan? Adakah salah kalau kita tidak boleh memakan b**i? Kenapa perlu diperbesarkan satu yang haram, dan mengecilkan beratus yang halal?
Dan soal saksi perempuan kurang nilainya dari saksi lelaki? Confessor, ramai alim ulamak yang menjelaskan bahawa saksi wanita sebenarnya mampu menjadi setaraf dengan saksi lelaki. Nah saya selitkan link untuk pembacaan lanjut.
Confessor, ini adalah harapan saya terhadap anda.
Sebelum anda ingin menjadi seorang “atheist” dengan anggapan bahawa hujah atheist adalah benar dan logik dan hujah al Quran “mudah disangkal”, khatamkan al Quran dan terjemahannya sekali dalam seumur hidup.
Belajarlah al Quran dengan seorang guru yang mursyid. Tidak ke ganjil kalau anda nak menentang sesuatu yang anda sendiri tidak faham?
Oh dan jawapan “Mengapa tidak sahaja Allah tunjukkan bukti yang undeniable dan irrefutable tentang kewujudannya” ada dalam al Quran.
Insyaallah saya doakan.
– eL (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit