Aku Isteri Yang Nusyuz

Assalamualaikum. Nama aku Hanan (bukan nama sebenar). Aku berumur awal 30an dan bekerja di salah satu syarikat swasta di KL.

Aku tau ramai akan terkejut bila baca tajuk confession aku tapi aku harap semua membaca dengan hati yang terbuka tanpa judgement.

Aku nampak lately ramai orang kongsikan confession tentang rumahtangga mereka jadi aku tertarik untuk sama kongsi cerita aku.

Aku dan suami dah berkahwin sejak kami berusia 25 tahun lagi. Perkenalan sejak dibangku sekolah membawa kami ke jinjang pelamin.

Awal perkahwinan dulu kami bahagia, susah senang semuanya bersama. Bila aku ada duit lebih, aku akan kongsikan dengan suami. Dan suami pun tak pernah berkira soal kewangan.

Sejak dari sekolah aku memang nak sangat berkahwin dengan suami aku jadi bila dapat peluang menunaikan umrah dulu, aku berdoa bersungguh-sungguh mohon Allah jodohkan aku dengan dia.

Tapi mungkin doa aku silap, aku tak memohon Allah tunjukkan sama ada dia baik untuk ku atau pun tidak, sebaliknya aku terus saja mohon Allah jodohkan aku dengannya.

Aku akui kami suami isteri bukanlah pasangan yang terlalu menitikberatkan soal agama sebelum ni. Kami sering tinggal solat, baca Al-Quran pun tak pernah. Al-Quran yang ada dalam rumah ni sekadar hiasan.

Jadi mungkin sebab itu, lama-kelamaan suasana rumahtangga kami menjadi hambar. Dan mungkin sebab ni malaikat rahmat tak masuk rumah kami.

Ada beberapa kejadian dan pergaduhan antara aku dan suami aku sepanjang perkahwinan kami yang tak perlulah aku ceritakan,

kerana aku masih mahu menjaga aib kami tapi cukup untuk kalian tau yang kejadian-kejadian itu menjadikan aku hilang rasa hormat dan cinta pada suami.

Sebab kenapa aku katakan aku isteri yang nusyuz adalah kerana sejak dari situ, aku mula tidak menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang isteri iaitu;

menjauhkan diri dari suami dan tidak lagi melayan kehendak suami untuk bersama tanpa apa-apa alasan yang munasabah.

Ya, aku sedar besar dosanya nusyuz dan tak bau syurga bagi mereka yang nusyuz. Tapi aku tak mampu untuk menipu dan memaksa diri aku untuk kembali rasa sayang dan hormat pada suami.

Pernah beberapa kali aku cuba untuk menunaikan hajat suami setelah bertahun-tahun aku tak melayan tapi masih juga tiada rasa yang aku rasa jadi aku putuskan untuk tidak memaksa diri.

Mungkin ada di antara kalian akan mempersoalkan usaha aku dalam bertaubat. Jujur aku katakan, sejak 2 tahun yang lalu, aku sudah mula mendekati agama.

Walaupun tanpa bimbingan suami, aku belajar sikit-sikit tentang agama dan tanggungjawab aku sebagai hamba Allah.

Aku mula untuk memperbaiki solat aku, aku sering bangun malam untuk mendirikan solat sunat tahajjud, solat istikharah, solat taubat dan sebagainya.

Aku mula menjadikan Al-Quran buku penenangku setiap kali aku berasa serabut. Aku memperbaiki bacaanku, aku mendalami kisah-kisah di dalam Al-Quran, semuanya demi memperbaiki diriku.

Dan aku tak putus memohon doa pada Allah setiap kali solat wajib dan solat sunat agar Allah kembalikan rasa sayang dan hormat aku pada suami sekiranya masih ada jodoh di antara kami.

Tapi tetap saja aku tak mampu untuk perolehi rasa itu. Aku masih tetap tidak mampu menjalankan tanggungjawab aku yang satu itu.

Bulan Ramadan yang lepas, sepanjang bulan aku tak berhenti pertingkatkan solat-solat sunat aku termasuk solat istikharah memohon petunjuk Allah tapi apa yang aku rasa masih hambar.

Mungkin ada bertanya pernah tak aku mengajak suami untuk turut sama beribadah dan memperbaiki diri bersama-sama. Ya, aku ada lakukan itu.

Aku ajak suami untuk solat berjemaah, membaca Al-Quran bersama dan berdoa bersama-sama tapi perkara tu hanya bertahan dalam seminggu dua. Lepas tu suami aku akan kembali menjadi diri dia sendiri.

Aku nampak usaha suami aku yang cuba untuk tidak lagi meninggalkan solat wajib sekarang ni tapi hanya setakat itulah usaha darinya.

Kalau aku tak mengajak untuk berjemaah dan membaca Al-Quran bersama, dia takkan mulakan. Pernah dulu dia juga katakan yang dia lebih suka solat sendirian. Jadi aku tiada pilihan.

Mungkin kalian juga tertanya jika aku ada berbincang soal ini dengan suami.

Ya, telah terlalu banyak perbincangan yang kami lakukan sampai aku dah tak ada lagi airmata untuk menangis setiap kali perbincangan ini berakhir dengan pertelingkahan.

Aku tak tau mana silapnya tapi kami tak pernah jumpa jalan penyelesaian ini semua.

Of course suami aku ada mempersoalkan haknya untuk dilayani dengan baik tapi aku terus-terang pada suami yang aku dah tak ada rasa apa-apa lagi jadi aku tak mungkin mampu memaksa dan menipu diri aku. Dan akhirnya suami redha.

Aku akui masalah antara kami ini berpunca dari salah kami berdua.

Aku tak menafikan yang aku juga ada salahnya tapi makin lama aku rasa makin penat sebab walau macam mana pun usaha aku memperbaiki diri, menambahkan pahala, aku tetap juga seorang isteri yang nusyuz yang tinggi dosanya.

Pernah aku suarakan pada suami mungkin penceraian jalan terbaik buat kami tapi suami tak setuju. Katanya dia redha walau apa pun yang terjadi, walau aku masih tak mampu melayani dia.

Tapi lupakah dia, dia seolah-olah mementingkan diri tanpa memikirkan dosa aku yang harus aku tanggung?

Ya, mungkin suami aku redha tapi aku tau Allah tetap akan soalkan semua ini padaku di akhirat nanti.

Aku benar-benar buntu.

Aku benar-benar penat menangis memikirkan apa lagi cara yang harus aku lakukan untuk tidak lagi berdosa. Adakah sia-sia segala amalan aku selama ini?

Jika ya, betapa sedihnya aku sebab aku ingatkan aku masih mampu menebus dosa-dosa aku yang jahil dulu dengan cara memperbaiki diriku dan mendekatkan diri pada Allah.

Aku masih tak henti berharap dan berdoa agar Allah tunjukkan apa yang terbaik untuk aku satu hari nanti. Doakan aku jumpa jawapannya dan jumpa kebahagiaan yang telah hilang lama.

– Hanan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *