Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca IIUM Confession…
Selaku peminat Korean Tv Show, saya sangat mengagumi salah satu rancangan mereka iaitu “Delicious Rendezvous” . Apa yang membuatkan saya sangat meminati rancangan ini?
Sedikit pengenalan rancangan ini, host utama rancangan ni ialah Baek Jong Won yang merupakan seorang chef dan penyelidik makanan yang terkenal di Korean Selatan.
Selain itu, host yang lain terlibat ialah Yang Se Hyun, Kim Hee Chul dan Kim Dong Jun (ketiga-tiga ini merupakan selebriti terkenal di sana).
Rancangan “Delicious Rendezvous ” merupakan satu program di mana Baek Jong Won dan host yang lain akan pergi ke daerah-daerah tertentu untuk mempromosikan produk-produk tempatan terutamanya bidang pertanian, perikanan dan penternakan.
Produk-produk yang terpilih selalunya mempunyai masalah produk tak laku, lambakan hasil, harga produk jatuh merudum dan mengalami kerugian besar.
Contohnya ubi kentang, petani ubi kentang Korea menyatakan mereka mempunyai lambakan hasil ubi kentang kerana hanya ubi kentang yang mempunyai rupa cantik, bulat dan tidak menggerutu sahaja dipilih dalam pasaran
(Kebiasaannya produk mesti memenuhi kriteria pasaran seperti gred, saiz dan rupa).
Jadinya ubi kentang yang rupa tak cantik ini tidak terjual dan lama kelamaan stok ubi kentang ini dibuang begitu sahaja. Bayangkanlah petani yang ditemuramah tersebut mempunyai stok bertan-tan yang tidak terjual. Alangkah kesian petani yang kerugian tersebut.
Jadi untuk membantu petani-petani Korea, apa yang mereka lakukan selepas mendengar keluhan-keluhan petani, Baek Jong Won dan yang lain akan mencipta resepi serta mengajar penonton cara memasak yang mudah produk yang dipilih.
Pada mulanya mereka akan menjual makanan/ minuman berdasarkan produk pertanian yang dipilih akan dijual di kawasan perhentian jalanan.
Misalannya topik mingguan ialah lobak merah, maka mereka mencipta resepi jus lobak merah, bubur lobak merah, kimbap, bomboloni inti lobak merah berkeju dan lain-lain menu menarik untuk dijual.
Kemudian pelanggan yang singgah di perhentian tersebut akan membeli menu yang dijual dan memberi komen mengenai rasa masakan tersebut.
Tambahan pula, mereka akan menggalakkan pengguna untuk membeli produk dengan memberitahu kelebihan produk pertanian dan mengajar pengguna bahawa terdapat pelbagai cara memasak produk tersebut.
Mereka juga memuatnaik resepi di laman web supaya pengguna dapat memasak sendiri di rumah.
Disebabkan penularan wabak Covid-19, rancangan ini diubahsuai sedikit dengan menjemput keluarga para petani atau kumpulan kecil tertentu untuk merasa dan memberi komen hasil masakan Baek Jong Won dan host yang lain.
Sebenarnya, rancangan ini sangat membantu meningkatkan penggunaan produk pertanian mereka sekaligus membantu penjanaan ekonomi negara.
Jadi apa salahnya kita mengambil ilham melalui rancangan ini untuk membantu industri pertanian negara kita disamping membantu memulihkan ekonomi kita yang terjejas dek wabak Covid-19 ini.
Saya menyeru pihak produksi, chef-chef, selebriti, instafamous, youtuber dan netizen Malaysia yang kreatif lagi berdaya saing ini supaya membuat rancangan atau ‘content’ video yang mampu mempromosikan hasil pertanian negara kita.
Semoga video yang dihasilkan akan tular supaya orang lain berminat untuk mencuba dan membeli hasil tempatan kita.
Antara yang saya boleh bagi contoh sekarang ialah buah durian. Umum mengetahui sekarang merupakan musim durian.
Walaupun harga durian tidak murah, apa salahnya kita mempromosikan hasil pertanian tempatan negara kita. Durian tidak semestinya hanya makan begitu sahaja.
Saya cadangkan kepada anda yang kreatif boleh membuat video tutorial membuat kerepek biji durian, cekodok durian (resepi ini seakan-akan cekodok pisang), ais krim durian ‘homemade’, sekaya perisa durian dan sebagainya.
Terpulang juga jika anda sekalian mempunya idea menarik yang lain supaya dapat dikongsikan.
Semua maklum bahawa negara kita kaya dengan hasil pertanian tempatan. Tidak ketinggalan juga hasil perikanan dan penternakan.
Jadi apa salahnya kita menggalakkan orang ramai membeli hasil tempatan kita di samping menjana ekonomi negara.
Saya tahu bahawa rakyat Malaysia sangat kreatif dalam mencipta pelbagai jenis makanan yang menarik. Jadi gunalah kelebihan yang ada untuk memberi manfaat kepada yang lain.
Marilah kita bersama-sama membantu memulihkan ekonomi negara kita demi kemaslahatan bersama.
P/s: maafkan saya jika terdapat kesalahan tatabahasa atau ejaan kerana sudah lama tidak mengarang.
– Ani si peminat k-pop, k-drama, k-show (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit