Dilema Seorang Mualaf

Assalammualaikum. Sudah lama aku nak post artikel tentang perjalanan hidup aku sebagai seorang mualaf, tapi tak ada masa sebab sibuk dengan tugasan universiti.

Sebelum tu aku nak perkenalkan diri. Aku, Nurul seorang mualaf dari Malaysia Timur. Aku dah memeluk agama Islam dalam setahun lebih.

Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan aku untuk mengucapkan kalimah syahadah pada umur aku hampir menginjak 21 tahun.

Aku dah lama berminat dan belajar tentang Islam. Kalau nak tahu, aku ni dari keluarga Kristian Katolik dan boleh dikatakan keluarga aku berpegang teguh dengan agama Kristian Katolik.

Kisah aku mengenal agama Islam bermula sejak aku bergiat aktif dengan aktiviti agama sewaktu aku masih bergelar Kristian Katolik.

Aku tak nak cerita lebih tentang bagaimana aku berminat dengan agama Islam dengan lebih lanjut sebab itu bukan ‘point’ aku untuk post artikel ini.

Selama setahun lebih aku memeluk Islam, hanya rakan-rakan rapat sahaja yang tahu tentang aku. Aku rahsiakan perkara ini dari pengetahuan ibu bapa dan keluargaku.

Tapi, suatu hari aku bertemu dengan sepupu aku yang merupakan orang Islam sebab ayahnya (which is my mom’s brother) berkahwin dengan ibunya yang beragama Islam.

Dari situ aku rasa macam aku perlu mulakan langkah untuk beritahu status agama aku yang sebenar, at least, dengan salah seorang keluarga aku yang percaya.

Jadi, aku ambil keputusan untuk beritahu sepupu aku dan alhamdulillah disambut baik dengan kata-kata semangat walaupun aku dah jemu dengan ayat, “lambat laun kau kena beritahu juga parent kau”.

Senang untuk bercakap dan memberi nasihat, tetapi susah untuk aku terima kata-kata itu. Siapa-siapa yang berada di tempat aku akan faham perasaan ini.

Niat untuk memberitahu ibu bapa aku tentang perkara sebenar memang ada, cuma tak tahu bila dan bagaimana. Aku buntu. Sangat buntu.

By the way, rakan sekelas dan rakan universiti aku juga tidak tahu status agamaku. Jadi, aku hidup secara ‘dua alam’. Sekejap jadi ini, sekejap jadi itu.

Aku kadang-kadang rasa serba salah bilamana mereka sedang solat dan sebagainya. Penat. Penat berpura-pura. Kadang-kadang rasa nak putus asa. Tapi, alhamdulillah aku ada kawan-kawan yang selalu support aku.

Aku tak menetap di dalam kolej kediaman. Aku sewa rumah di luar kampus. Jadi, lebih mudah untuk aku pakai tudung bila keluar atau pergi kursus agama. Jadi, solat semua buat bila dekat rumah sewa sahaja.

Kalau dekat rumah, solat apabila family tak ada dekat rumah. Aku kongsi bilik dengan adik dan bilik aku sangat dekat dengan dapur. Sangat susah untuk aku solat. Tahun ni tahun kedua aku berpuasa.

Tahun lepas aku skip banyak hari sebab aku balik kampung dan mak paksa aku makan setiap kali dia tak nampak aku ke dapur. Tapi, alhamdulillah tahun ni aku tak banyak skip sebab aku bagi banyak alasan untuk tak makan.

Cuma aku tak dapat nak beraya macam kawan-kawan yang lain. Raya tahun ni aku sangat-sangat sedih sebab aku kecewa dengan keadaan diri aku.

Apabila dah semua benda ini aku hadap sendiri, semua benda aku kena settle sendiri walaupun ada yang membantu. Dari buat kad Islam ke pergi kursus agama ke cari ustazah untuk belajar agama. Semuanya sendiri.

Kalau aku tak gerak, selamanya tak akan bergerak. Itu yang membuatkan aku buntu. Aku buntu cari cara nak berterus terang dengan parent aku, sebab aku rasa dah lama sangat simpan perkara ini.

Mesti semua tertanya apa yang aku jangkakan apabila aku beritahu parent aku hal sebenar?

Secara jujur aku tak dapat jangka. Keluarga aku ada yang Islam macam adik mak aku tadi. Jadi aku tak pasti macam mana penerimaan mereka terhadap Islam.

Aku pernah mimpi 3 kali, aku mimpi aku berterus terang dengan parent aku berkenaan hal ini. Reaksi mereka dalam mimpi tu? Gembira.

Ya, dalam mimpi tu mereka gembira dan terima dengan hati yang terbuka. Aku pelik kenapa aku mimpi, 3 kali pula tu.

Walaupun aku dapat mimpi macam itu, tapi aku masih tak yakin, masih takut. Aku masih belajar bukan bekerja. Aku takut perkara akan berlaku bukan seperti yang dijangka kalau aku berterus terang.

Apa yang aku perlu buat? Aku buntu.

Aku lagi buntu dan rasa tak best apabila kawan (mualaf juga) sudah berterus terang dengan parent. Cumanya, mak dia tak terima. But at least dia sudah mulakan langkah seterusnya.

Aku? Ya Allah aku buntu sangat.

Aku tak minta banyak, kepada yang membaca tolong doakan aku dipermudahkan urusan, diberikan ketenangan dan doakan supaya hati kedua ibu bapaku lembut dan dapat menerima aku jika segalanya terbongkar.

Tolong juga doakan sahabat mualaf saya, supaya hati ibunya lembut dan dapat menerima anaknya.

– Nurul (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *