Assalamualaikum semua. Sebenarnya aku tak tau nak tulis kat mana. Tapi alang-alang ada page ni.. aku tulis sini jelah. Berkenaan solat.
Aku nak cerita satu kisah pasal solat dan kesan ajaib dia pada aku. Aku pun bukanlah manusia yang baik sangat, cuma aku jenis takut untuk tinggal solat. Aku dah kawin lama, anak empat orang. Suami jenis tak pernah tinggal solat tapi taklah alim sampai boleh bagi kuliah kat masjid.
Aku tengok suami aku ni hidupnya agak lancar. Daripada kecik sampailah sekarang, hidup dia banyak dapat yang tak dijangka-jangka. Dia sendiri pun tak pernah impikan benda-benda yang dia kecapi sekarang, baik dari segi kerjaya, harta benda & rumahtangga.
Bab rumahtangga tu tak lah semua sempurna, cuma cukup untuk aku sebut masalah kami tak begitu kritikal. Setiap kali berbalah atau ada pertikaian suatu benda, suami aku jenis mengalah. Banyaknya aku lah yang menang. Ok, siap latar belakang untuk rumahtangga & keluarga aku.
Kisah solat dan diri aku. Iman kan selalu naik turun, tadi aku ada sebut aku tak berani tinggalkan solat terus sebab takut pada Allah. Cuma masa iman tengah tinggi, memang aku ambik wudhu siap-siap dan habis je azan terus solat. Masa iman rendah, Allahu memang agak lambat.
Apa yang aku cuba buat ialah, hadirkan dalam hati, masa wudhu’ tu – Ya Allah, sudikah Engkau mengampuni aku.. aku lewat, aku culas dalam menunaikan solat.
Sambil basuh tangan – Ya Allah, jangan lah Engkau bakar tanganku ini kerana kemurkaanMu. Bagi tangan kaki anggota aku ni banyak buat benda baik.
Yang aku perasan, bila aku sungguh-sungguh doa macam tadi dalam hati, masa solat nanti aku khusyuk walaupun agak lewat solat. Sampai menitis air mata sebab sedih lewat solat.
Masa sujud akhir pulak, aku akan sebut dalam hati – Ya Allah, muka, anggota hati diriku semua penuh dosa. Sudikah Engkau menerimaku mengampunkan aku membimbingku.. sudikah Engkau Ya Allah. Selalunya pun sampai menangis juga sebab sedih.
Kaitannya dengan rumahtangga.
Bila aku ada berbalah dengan suami, kerap kali dia yang mengalah. Masa dah habis semua, timbul rasa kesian pada dia. Timbul rasa sedih, aku buat dia macam tu sebab bukannya dia salah besar pun. Kadang-kadang sebab tersilap cakap aje.
Aku pegang satu benda, selagimana suami solat cukup waktu dan tak buat silap melibatkan tiga benda ni, selagi itulah dia suami yang baik – judi, dadah & perempuan.
Maka bila aku nak ambil wudhu’, aku akan kata dalam hati – Ya Allah, aku ni manusia yang penuh dosa dengan suami. Apakah Engkau akan terima solatku? Dan pelbagai lagi kesalan dalam hati.
Untuk makluman para isteri, tidak akan diterima satu amalan pun jika suami tak redho pada kita. Kalau ada rasa berat hati, kalau ada rasa tak tenteram, tak tenang, resah.. walaupun solat cukup, sedekah, baik hati, baca Quran.
Tapi kalau dengan suami acuh tak acuh je layan, akan ters**l lah hidup seorang isteri tu. Tiada amalan yang diterima. Yang ni aku cakap dari segi suami isteri yang stabil, suami normal jaga nafkah semua, tak pukul isteri anak ye.
Masa sujud pulak, aku modify sikit ayat dalam hati – Ya Allah, sudikah Engkau mengampunkan dosaku yang terlalu banyak ni? Sudikah Engkau memberikan keluarga kami rahmat dan kasih sayangMu? Ya Allah, sudikah Engkau membimbing keluarga kami…
Engkau pandanglah kami suami isteri, Engkau damaikanlah kami, Engkau berikanlah kami kasih sayangMu supaya kami juga berkasih sayang.. aamiin. Sampai nangis juga sebab sedih teringatkan berbalah dengan suami. Kesan dia, memang aku selalu rasa dan nampak.
Hati jadi tak berapa nak marah pada suami padahal sebelum tu macam singa betina walaupun benda tu kecik. Jiwa jadi macam sayang kat suami. Rasa nak suruh dia duduk aje, rasa rumah sejuk dan selesa.
Suami pulak jadi ringan tulang, jadi lemah lembut, padahal sebelum tu dia pun tak berapa nak rajin. Yelah kita kan ada masa-masa nak malas nak rajin, cuma lepas solat sesungguhnya tu kesan drastik tu dapat rasa.
Aku doakan supaya Allah berikan petunjuk dan bimbingan untuk semua yang membaca penulisan aku ni. Bukan senang nak cari petunjuk kalau Allah tak bagi.
Aku doakan juga yang ada rasa sayang pada solat, mudah-mudahan Allah kekalkan rasa sayang pada solat. Pada yang tak ada rasa sayang pada solat, mudah-mudahan ada benda yang trigger rasa sayang tu dan dikekalkan.
Ada sorang kawan aku pernah cerita, kita ni buat la apa pun, susah ke, nakal ke, sibuk ke, miskin ke, bergaduh dengan suami ke, anak sakit ke, asingkan solat daripada aspek-aspek lain tu. Mesti buat. Walaupun menangis-nangis geram pada suami, pada bos, atau pada sesiapa saja.
Jangan dek kerana bergaduh dengan suami atau ada kesukaran, kita tak solat dengan sebab “aku tengah marah ni, aku tak mau solat”. Kalau qadho pun tak sama dengan waktu yang dah ditinggalkan dengan sengaja tu.
Mudah-mudahan kita semua akan menjadikan solat sebagai penyelesaian semua masalah dalam hidup kita.
– Kakak (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit