Tidak tahu bagaimana untuk memulakan cerita. Aku telah berkahwin selama 13 tahun. Mempunyai 3 orang anak yang berumur 12, 9 dan 6 tahun.
Suamiku seorang yang baik, tetapi perkara yang ingin aku sampaikan ini adalah berkenaan tanggungjawab dia sebagai seorang suami. Dia mempunyai pekerjaan yang bagus dan gaji yang tinggi berbanding diriku.
Namun begitu, segala perbelanjaan keperluan rumah dan anak-anak semua dia serahkan bulat-bulat kepadaku.
Setiap bulan dia hanya membayar hutang rumah, kereta sendiri dan juga membeli barang dapur sebulan sekali. Setakat itu sajalah. Jika ada perbelanjaan tambahan yang lain semua aku yang keluarkan duit termasuk perbelanjaan emergency.
Nak bercuti, aku juga lah yang tanggung. Kalau nak tunggu dia, dari mula kahwin sampai sekaranglah memang takkan bercuti kemana- mana. Dia memang tak ambil tahu. Suamiku juga tidak pernah memberikan nafkah kepada ku. Barang keperluanku semua beli sendiri.
Suamiku mempunyai sikap yang tidak berubah iaitu suka tangguh hutang. Die pernah hampir diisytiharkan muflis kerana tidak membayar pelbagai jenis hutang. Bukan dia tidak boleh bayar setiap bulan, tapi sebab sikap tangguh dia tu memakan diri.
Setiap bulan, aku mesti mendapat panggilan daripada beberapa bank menuntut hutang suami ku yang tertangguh. Aku sangat tertekan. Aku turut juga terpalit dengan masalah dia. Nama dia telah diblackklist oleh semua bank.
Untuk beli aset seperti rumah dan kereta semua menggunakan namaku. Untuk buat pinjaman ansuran pembelian barangan elektrik, perlu menggunakan namaku juga. Rumah kami dulu pernah beberapa kali elektrik dipotong sebab dia culas membayar bil.
Macam-macam cara telah aku buat untuk jadikan dia bertanggungjawab membayar hutang, tapi sampai sekarang dia tetap tidak berubah.
Untuk mengelakkan hutang tertangguh, semua jenis bil yang ada seperti elektrik, air, penyelenggaraan rumah, tuition anak-anak, yuran sekolah anak-anak, semua aku yang tanggung termasuk semua keperluan untuk diriku sendiri.
Dia anggap macam tiada apa yang berlaku sebab semuanya aku dah selesaikan. Aku umpamakan sepanjang berkahwin, setiap hari bergaduh. Anak-anak memang dah biasa melihat kami bergaduh. Aku risau ianya memberi kesan kepada hidup anak-anak.
Aku bukan mengungkit. Selama ni aku ikhlas bayar semua perkara tu. Alhamdulillah mungkin disebabkan keikhlasan itu, rezeki aku sentiasa murah.
Selain itu suamiku juga tidak mementingkan hal hal berkaitan agama. Sepanjang berkahwin, aku tidak pernah melihat dia membaca Al-Quran.
Solat 5 waktu juga dibuat setakat bersolat umpama tiada kesungguhan dan tidak pernah berdoa selepas solat. Apatah lagi nak solat sunat qiyammulllai, lagilah tak pernah.
Sepanjang PKP aku meminta dia mengimamkan solat, tapi sangat susah. Dia lalukan pun dengan hati yang tidak ikhlas. Aku dan anak-anak tidak pernah diajak ke masjid. Aku dan anak-anak terkontang kanting tanpa didikan agama daripada seorang suami.
Aku sangat sedih. Nasib baik juga aku pernah bersekolah agama dahulu, dan sekurang-kurangnya ade ilmu agama yang aku praktikkan sendiri.
Aku pernah tidur sendirian dibilik anak selama 3 bulan, tetapi tiada sebarang usaha dia nak berubah. Setiap malam dia akan masuk bilik dalam 2-3 pagi kerana menonton bola di tv. Fikiranku bercampur-campur dengan pelbagai masalah.
Aku tak dapat nak ceritakan semua di sini, kerana terlalu banyak yang kuhadapi dan simpan selama 13 tahun. Aku tidak pernah menceritakan masalah kepada sesiapa. Luaran memang nampak bahagia, tapi dalam hati Tuhan je yang tahu.
Aku sorang perempuan yang sangat independent. Masalah yang aku hadapi selama ni semua aku selesaikan sendiri.
Lagipun suami memang tak berminat nak dengar masalah lain yang aku hadapi. Jika di rumah pun, kami jarang berkomunikasi. Jika nak beritahu apa-apa, kami berwhatsapp sahaja.
Kami memang hampir-hampir nak bercerai. Tetapi disebabkan anak-anak, terpaksa aku tahankan juga. Lagipun suami tak nak lepaskan aku.
Kami pernah merujuk ke Jabatan Agama Islam untuk sesi kaunseling, tapi aku tak nampak sebarang kesan selepas sesi kaunseling tersebut.
Sekarang ni aku merasa sangat tawar hati dan tak boleh melihat mukanya, aku akan sakit hati dan terbit rasa benci. Dah lama bagi peluang pada suami, tapi dia masih tak berubah. Sampai bila aku boleh bertahan lagi.
Aku terpikir jika semua perkara aku boleh lakukan sendiri, apa fungsi dia sebagai suami. Lebih baik aku hidup sendiri daripada sakit hati memikirkan hal suami. Aku tertekan.
– Bunga Dahlia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit