Sabarku Ada Batasnya

Nama aku M. Berumur 35 tahun. Dah berkahwin selama 7 tahun dan punya seorang anak berusia 5 tahun. Suami aku berusia 34 tahun. Kami sama-sama penjawat awam. Aku di bidang kesihatan dan suamiku dalam badan beruniform.

Di awal perkahwinan hingga punyai anak semuanya agak indah dan bahagia walaupun kadangkala ada dugaan. Hidup kami serba sederhana. Aku jarang malahan tidak pernah meminta-minta barang kemas atau bercuti kemana-mana kerana aku tahu kemampuan dan kesederhanaan hidup kami.

Bagi aku pulang ke kampung sebelah keluargaku atau mertua itu pun sudahku anggap sebagai percutian. Anak yang semakin membesar sudah cukup sebagai penghibur hati aku.

Dari awal perkahwinan hingga punyai anak aku kerap ditinggalkan suami atas alasan tugas, kursus dan kadangkala operasi hingga memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Aku sudah terbiasa berdikari. Ada atau tidak si suami aku seperti biasa perlu teruskan hidup, pergi bekerja dan melakukan aktiviti rutin harian.

Lebih kurang dua tahun yang lalu suamiku telah diarahkan bertugas di negeri Sarawak atas keperluan perkhidmatan beliau yang dikehendaki disana. Kemahirannya amat diperlukan.

Aku terpaksa redha dan bermula saat itu aku ibarat ibu tunggal menguruskan anak sendirian dalam masa yang sama perlu bekerja.

Proses permohonan pertukaran juga memakan masa amat panjang. Oleh itu, aku juga terpaksa akur dengan keperluan perkhidmatan aku di semenanjung. Talian telefon dan Whatssapp menjadi penghubung kami bertiga beranak.

Aku agak berat untuk membuat keputusan mengikut beliau berhijrah ke Sarawak memandangkan kesihatan ibuku yang tidak menentu.

Walaupun berlainan negeri, sekurang-kurangnya aku masih mampu memandu balik ke kampung jika sesuatu terjadi pada ibuku. Hanya pada adik beradik lain yang belum berkahwin aku galaskan amanah untuk menemani ibu.

Aku kini bertukar tugas di ibu negara. Aku yang memohon disini kerana suami pernah berjanji dia akan berpindah kembali kesini bersama aku dan anak.

Namun janji itu tinggal sekadar janji. Aku sudah semakin hambar dan aku percayakan lagi apa saja yang dikatakan beliau tentang pekerjaannya.

Walaupun selang beberapa bulan suami akan pulang ke semenanjung menjenguk kami namun aku sudah semakin bosan dan hambar.

Aku terlalu letih saban hari menghadap tekanan pekerjaan, letih berulang alik pergi balik bekerja setiap hari, pulang ke rumah terpaksa melayan karenah anak seorang diri. Tiada tempat atau bahu untuk aku tumpang menangis atau meluahkan perasaan.

Suami pula sesekali pulang hanya sibuk dengan game online. Ibarat putus nyawa jika berhenti seketika. Namun hubungan dengan Tuhan masih dia jaga.

Aku sudah terbiasa hidup sendiri. Suami hanya bersikap tidak peka, acuh tak acuh. Kerap berjanji tapi jarang sekali menunaikannya.

Dia lebih rela tidur di bilik ibu mertuaku dari tidur di bilik aku. Hingga kadang-kadang aku rasa sudah tiada privasi dalam perkahwinan ini. Kebetulan aku tinggal menumpang bersama mertuaku kerana anak aku dijaga oleh mertua sewaktu aku keluar bekerja.

Aku masih cuba menghorm4ti keluarga mertua atas kebaikan merka selama ini. Namun aku sudah hilang rasa hormat dan percaya pada suamiku. Dia sangat cuai dalam banyak perkara. Tak pernah cuba mengambil hati aku.

Aku rasa sangat letih dan bosan dengan hubungan perkahwinan ini. Aku hanya rasa ingin teruskan hidup berdua bersama anakku. Tiada apa yang aku ingin cari lagi dalam hidup. Aku rasa benar-benar putus asa dengan perkahwinan ini.

Sekarang aku semakin membuak-buak rasa hendak bercerai. Aku tiada suami pun tak mengapa. Walaupun sekarang aku sedang mengandung anak kedua kami. Aku rasa lebih tenang melalui hidup ini sendiri tanpa seorang suami yang tiada fungsi.

Namun proses permohonan cerai yang agak remeh membuatkan aku semakin putus asa lagi. Aku betul-betul penat hendak meneruskan hidup ini. Aku harap biarlah aku m4ti menutup mata saja kerana sabar aku sudah semakin tak terbendung.

– M (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *