Ini hanyalah sekadar coretan kisah cintaku yang tidak kesampaian. Tidak bermaksud untuk menyinggung atau mendendami mana-mana pihak. Fikiran perlu terbuka dan positive thinking.
Coretan ini juga mungkin dapat membetulkan salah faham atau persoalan yang mungkin akan timbul nanti.
Coretan ini juga untuk menceritakan segala yang terbuku di hati selama ini supaya minda dan fikiran menjadi lebih tenang dalam menerima apa yang berlaku.
Bismillahirrahminirrahim.
Sebenarnya diri ini sudah lama suka pada N sejak sebelum kami mula kenal masa pkp lagi. Setiap hari aku menunggu masa yang sesuai untuk aku beranikan diri mesej dia kerana waktu tu aku amat risau andai dia tidak berminat dengan lelaki fizikal badan besar sepertiku.
Jadi aku terus usaha dan berfikir bagaimanakah caranya untuk aku mendekati N. Kebetulan N minat menyanyi dan aku gunakan peluang itu utk mesej dia. Alhamdullilah, N respon padaku dengan baik dan aku amat gembira yg tidak terkata pada waktu itu.
Aku merasakan yang aku ada peluang untuk mengenali dia. Saat daripada itu juga, aku mula semangat untuk improvasi diriku dan mempersiapkan segala perkara,
Dengan harapan agar apabila aku dan dia sudah selesa dan lama berkenalan, aku akan meluahkan padanya niatku untuk menjalin ikatan kehidupan berumahtangga bersama. Aku terus tanam azam dalam diri untuk berubah demi N.
Setiap hari ku menanti setiap notifikasi reply mesej dari N. Dan setiap kali ku membaca mesej N membuatku bibirku sentiasa tersenyum lebar menandakan hati ini begitu girang mendapat reply darinya.
Aku amat terharu kerana dia sudi mesej denganku walaupun fizikal ku tidak setara dengan N. Dari itu, aku percaya yang N seorang yang melihat kepada kebaikan dan kejujuran hati dan tidak melihat pada paras rupa.
Aku amat bersyukur dan terharu sangat kepada Allah kerana ditemukan dengan seorang seperti ini.
Dalam pada itu, aku berazam untuk usaha bersungguh-sungguh untuk improvasi paras rupa dan fizikalku agar dapat setara dengan N walaupun aku percaya yang dia tidak memandang pada paras rupa.
Bagiku ini adalah untuk membuatkan dia lebih gembira dan lebih tertarik kepada ku kerana kita tahu jauh di lubuk hati seorang perempuan inginkan lelaki yang sado, kacak dan bergaya.
Maka mulai saat itu, aku mula usaha untuk transform diri aku dengan mengamalkn diet dan workout setiap hari. Aku gagahkan diriku walaupun terpaksa bersusah payah dan berpenat lelah melakukan usaha ini.
Aku jadikan N sebagai pendorongku untuk aku push diriku habis-habisan ketika melakukan rutin diet dan workout ku itu. Aku mencari dan mencuba pelbagai cara untuk aku mendapatkan fizikal idaman itu agar aku dapat menawan hati dia.
Dalam pada itu, aku juga tidak lupa pada Dia yang Maha menyatukan segala ikatan kasih. Aku memperbanyakkan doa dan amalanku kerana aku yakin yang Allah Maha mendengar setiap doa dan rintihan hamba-hambaNya.
Setiap solatku, aku sentiasa berdoa agar Allah mengkabulkan doaku agar N dapat menjadi jodohku dan hidup bersama bahagia hingga ke akhir hayat.
Aku memang dah kunci hatiku hanya untuk N dan aku tidak lagi memandang atau mencari perempuan lain kerana aku percaya yang N ialah cinta yang ditakdirkan bagiku. Dialah tulang rusuk kiri yang aku cari selama ini.
Aku sentiasa titipkan doa agar N sentiasa dalam perlindungan Allah dan dipermudahkan segala urusan.
Setiap kali mesej, aku akan sentiasa usaha mencari idea untuk menghiburkan N supaya dia seronok dan gembira mesej denganku. Walaupun mungkin ada lawak yang mungkin hambar tapi aku tetap usaha juga agar aku terus dapat menghiburkan hati dia.
Dan dia respon setiap mesejku dengan baik hingga membuatkan bertambah terharu dan gembira. Walaupun aku yang selalu memulakan perbualan (mesej) itu, namun aku tidak kisah, aku sudah kira bersyukur dapat mesej dengan N.
Semua post, gambar dan mesej N aku like. Bukan bermaksud terlalu obses atau nampak seperti stalker, tetapi aku buat begitu kerana ingin menzahirkan pada N yang aku amat suka pada dia.
N pernah kata yang dia akan kahwin orang yang boleh tunaikan craving dia. Aku terus usaha fikirkan benda-benda yang orang perempuan selalu craving. Bila aku dapat tahu dia craving crepe durian, aku terus usaha dapatkan untuk dia.
Setiap kali ada benda yang aku rasakan itu akan menjadikan perempuan craving, aku akan beli dan beri pada N. Aku buat ini supaya dapat menggembirakan hati dia dan dalam masa yang sama ingin dia melihat usahaku ini.
Pertemuan kali pertamaku dengan N secara bersemuka adalah perkara yang terindah bagiku.
Sebelum aku pergi berjumpa dengan dia, aku bersiap seperti aku hendak pergi berjumpa dengan orang paling teristimewa. Banyak kali aku betulkan gaya penampilan aku agar nampak menawan di mata N.
Dalam perjalanan, aku memikirkan bagaimana cara percakapan aku, adakah aku perlu bercakap cool atau serius/ macho, kerisauan kalau tersalah cakap, gugup dan lain-lain perkara yang aku fikirkan.
Bila sudah bersemuka, aku rasa selesa sangat dan langsung tidak berasa gugup kerana kami menjadi begitu rancak berbual. Aku rasa sangat gembira dan seronok dengan perbualan itu dan kalau boleh nak terus kekalkan perbualan itu.
Namun, langit tidak selalunya cerah.
Aku mulai perasan yang A sebenarnya sudah lama memulakan langkah mengambil hati N. Aku mula sedar yang aku sudah terlambat kerana hati N telah terpaut pada A.
Semua ini disahkan oleh N sendiri yang dia sudah berpunya dan sudah berkenan pada seseorang. N tidak memberitahu siapakah gerangan yang telah menambat hati N, namun aku tahu itu ialah A.
Aku tahu yang N dan A sudah lama menjalinkan hubungan berdasarkan gerak-geri mereka yang aku perhatikan.
Yang lebih memilukan hati aku ialah A merupakan antara kawan baik dalam circle kenalan rapat aku. Aku tidak tahu bagaimana aku akan dapat act seperti biasa tetapi dalam hati aku remuk mengetahui dia bersama N.
Punah segala harapanku dan hasratku hancur berkecai. Segala usaha aku selama ini menjadi sia-sia. Namun, aku redha dan pasrah menerima perkara yang berlaku.
Aku tahu yang aku tidak akan dapat seseorang seperti N yang menjadi idaman setiap lelaki. Umpamanya aku hanyalah lelaki marhaen di ceruk sebuah desa yang tidak akan pernah dapat N yang bagaikan puteri di istana.
Walaupun begitu, aku tetap berterima kasih pada N kerana secara tidak langsung membuatkan aku berusaha untuk improvasi diri menjadi lelaki yang lebih baik dalam pelbagai aspek daripada sebelum ini.
N telah membuatkan aku mempersiapkan diri aku ke arah fasa berumahtangga dengan memperbaiki amalanku, mind set, tingkah laku serta penampilan ku.
Aku kini sudah bersedia dan akan sabar menunggu kehadiran seseorang untuk mengisi kembali ruangan hati ini.
Terima kasih N atas segalanya. Semoga kekal bahagia selamanya dan berjaya di dunia dan akhirat. Insha Allah.
Sampai di sini sahaja coretanku. Izinkan ku mengakhiri coretan ini dengan serangkap pantun,
‘Mengasah parang si tukang kayu
Mengangkat batu si tukang besi
Karam di orang di laut biru
Karam diriku di dalam hati.’
Wassalam.
– S (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit