Ujian Besar, Saham Besar

Assalamualaikum untuk pembaca sekalian. Terima kasih admin sekiranya menyiarkan cerita aku yang tak seberapa.

Sedikit perkenalan, nama aku Miz. Berumur awal 30-an. Dulu aku selalu tak bersyukur. Kufur nikmat yang Allah bagi.. Masih rasa tak cukup walaupun Allah bagi aku keluarga yang hormat sesama sendiri walaupun adakalanya tak begitu memahami,

Seorang suami yang sama-sama bantu menjaga dan membesarkan anak, 4 orang anak-anak yang cukup sifat fizikalnya, dan pekerjaan dalam bidang profesional kesihatan.

Tapi, dah namanya manusia.. Masih lagi rasa tak bersyukur. Ada saja kemahuan dan keinginan baru terutamanya bila kita lihat kekayaan dan kesenangan orang lain.

Alhamdulillah, semuanya berubah sedikit demi sedikit selepas Allah beri beberapa ujian yang aku tak pernah duga. Allah uji dengan seorang anak yang cukup comel dan cukup sifatnya.

Tatkala aku sedang sibuk berhempas pulas bekerja di hospital dengan oncall hampir setiap/ selang hari berturut-turut, anak ke 2 aku (Abang A) mula menampakkan ciri-ciri penyakit atau keadaan yang paling aku takut zaman aku sebagai pelajar perubatan satu ketika dulu iaitu AUTISM.

Autism bukanlah penyakit berjangkit, apa ntah lagi penyakit gila. Bukan. Autism spectrum disorder adalah keadaan dimana anak tersebut mempunyai pelbagai sindrom yang disebabkan oleh masalah perkembangan otak dan saraf.

Dalam bahasa pasarnya anak2 autism mempunyai banyak isu perkembangan dari pelbagai aspek disebabkan saraf dan otaknya berbeza dari kanak-kanak normal biasa.

Or the simplest explaination is Their brain are ‘wired’ differently. Bukan macam kita. Mereka adalah golongan-golongan special.

Puncanya? Wallahualam. Ada banyak teori berkenaan punca autism tapi tak semua pakar kanak-kanak bersependapat. Aku mula sedar bila anak aku tidak boleh duduk sendiri tanpa bantuan pada umur 10 bulan..

Dudukkan je jatuh terlungkup ke depan.. dudukkan lagi, jatuh terlentang ke belakang. Tapi dah nama pun mak kan..aku masih denial sebab orang sekeliling aku selalu kata ‘tak apa.. anak lelaki memang selalu lambat..’ Tapi disudut hati kecil aku, aku tau anak aku bermasalah.

Masuk umur setahun, anak aku masih tak boleh berdiri tanpa bantuan.. mesti akan jatuh.. aku ketap bibir.. tu belum lagi cerita bab makan.. kemam je dalam mulut.. langsung tak kunyah.. tak telan..

Aku terpaksa blend makanan dia sampai umur 4 tahun lebih.. semata-mata nak kan anak aku dapat cukup protein, serat, mineral dan lain-lain.

Berbalik pada keadaan semasa anak aku berumur setahun 2 bulan.. Hati aku makin remuk bila dia tiba2 tidak mahu bertentang mata lebih 3 saat (no eye contact), tidak suka dibelai, dipeluk, dicium seakan-akan ada sesuatu yang betul-betul mengganggu dan buat dia tak selesa bila disentuh.

Hati aku lagi berkecamuk bila tiada lagi berbalas senyuman dari abang A (no social smiling), tiada lagi suara abg A sebut dadada mamama (speech regression).

Abang A hanya diam, ketawa dan menangis sahaja. Bila excited, Abang A akan mengibas-ngibas tangan seperti anak burung yang baru belajar terbang, atau mengetuk-ngetuk tapak tangan di depan kedua-dua mata.

Aahhh sudah… abang A ada hampir kesemua ciri-ciri yang pernah aku baca dalam buku teks suatu ketika dulu..

Perasaan bercampur aduk antara sedih sayu sayang kesian dan kecewa bila tengok orang sekeliling ketawakan abang A bila dia cuba berjalan sambil memegang sebiji bola pada umurnya setahun 6 bulan.

Malangnya Abang A jatuh dengan muka terhentak ke lantai dengan tangan masih kemas memegang bola tanpa sebarang tindak balas spontan untuk melepaskan bola dan menahan badan menggunakan tangan.

Pada mata kasar keadaan tersebut mungkin kelakar walaupun Abang A menjerit menangis sekuat hati disebabkan sakit.

Tapi pada pandangan seorang ibu yang melahirkan Abang A, keadaan tersebut sangat menyayat hati melihat anak yang kesakitan dek kerana masih tidak boleh berjalan dan tiada tindak balas badan yang normal pada umur setahun 6 bulan..

Dek kerana tekanan dan ingin tumpukan perhatian lebih untuk anak-anak, aku nekad untuk kuburkan azam aku untuk sambung belajar dalam bidang kecemasan dan trauma. Cita-cita untuk menjadi seorang ED physician aku campak jauh2 semata-mata untuk anak tersayang.

Walaupun aku bukanlah ibu yang sempurna, selalu juga tewas dengan tekanan hidup sehingga bergaduh dengan orang tersayang, aku masih cuba untuk ubah haluan hidup yang aku impi-impikan demi anak-anak aku yang tersayang.

Banyak sangat dugaan membesarkan ahli syurga kecil ni. Contohnya, masih perlu didukung bila berada di luar semata-mata dia terlalu sensitif pada permukaan sekeliling dan orang ramai. Tidak boleh berjalan dikawasan rumput kerana mungkin ‘sakit’nya bagai berjalan di atas paku.

Menangis, menangis dan menangis kerana tidak boleh menyuarakan apa yang terbuku dihati. Tidak boleh gosok gigi kerana berus gigi ibarat berus jarum padanya.

Tidak boleh kunyah ayam/ nasi/ roti kerana ketidakupayaan dia mengunyah dan mungkin sebab tekstur makanan yang tidak serasi dimulutnya. Tidak boleh itu tidak boleh ini. Macam-macam lagi dugaan. Itu belum masuk lagi bab komunikasi.

Bab di-reject sekolah/ nursery gara-gara keadaannya yang masih berpampers. Dugaan-dugaan itulah yang membuatkan aku sering hilang sabar dan melepaskan kemarahan kepada Abang A dan juga kakaknya (Kakak Z)

Kakak Z juga kurang mendapat perhatian dari aku kerana terpaksa beri lebih perhatian kepada adiknya. Kerap juga kakak Z meluahkan isi hati bila tidak dapat tidur ditepuk ibu dan sebagainya.

Alhamdulillah, berkat aku dan suami gigih bawa anak pergi terapi di hospital kerajaan dan pusat2 terapi di swasta, bergilir-gilir cuti, tebalkan muka minta cuti dengan boss banyak kali, abang A dah mula tunjukkan perkembangan positif.

Boleh bercakap walaupun sangat limited komunikasi 2 halanya, suka mengulang-ulang perkataan (echolalia), dah boleh makan nasi walaupun ayamnya aku dan suami gunting-gunting sehalus yang boleh dan mengambil masa hampir 1 jam untuk 1 kali makan,

Dah boleh main lari-lari dengan adik-adiknya, masih lagi kadang-kadang berada dialamnya sendiri walau tak sekerap dulu, itu pun dah cukup bersyukur sangat.

Dan yang paling membuatkan aku rasa berbaloi dengan semua pengorbanan aku adalah Abang A dah boleh panggil aku ‘ibu’… satu perkataan yang ringkas tapi cukup bermakna.

Aku harap pembaca akan lebih cakna tentang isu orang yang bekeperluan khas. Tak kiralah kanak-kanak, dewasa, autism, hyperactive (ADHD), dan sebagainya.

Kanak-kanak autism juga tidak semuanya sama. Ada yang Allah bagi kelebihan bijak akalnya tetapi tidak boleh berkomunikasi melalui lisan..

Luaran nampak seperti bisu, tetapi bila disuruh tulis/ menaip, masyaAllah hebat susun atur ayatnya malah lebih bermakna dan berfakta dari percakapan kita.

Ada yang nampak seperti tidak faham apa-apa tapi mampu meluahkan segala-galanya melalui lukisan dan pelbagai hasil seni lain.

Tetapi ada juga yang allah beri ujian kepada ibu bapanya lebih kuat dimana anak-anak autism mereka juga mengalami hyperactive yang dasyat, kemurungan yang teruk bila masuk alam persekolahan, atau autis tahap teruk dan mempunyai IQ yang rendah.

Itu belum cerita bab anak-anak autism ber IQ rendah yang mengalami masalah s3ksual bila meningkat remaja. Sangat besar dugaan-dugaan itu semua.

Akhir kata, untuk ibubapa yang sekasut dengan saya, kuatkanlah semangat. Percayalah Allah beri ujian setimpal dengan kekuatan kita. Itu semua saham besar yang allah bagi pada kita. Sama ada kita nak sia-siakan atau kita terus labur saham syurga tersebut dengan jayanya.

Bagi yang tidak tahu mengenai autism atau mungkin masalah seseorang, jangan lah cepat menunding jari dengan mengatakan anak ini dilahirkan sebegini kerana kesilapan lampau ibubapanya.

Anak-anak nabi kita dahulu ada juga yang berperangai teruk, adakah disebabkan kesalahan nabi juga?

Tak.. tapi sebenarnya Allah juga tengah menduga kamu sama ada kamu bercakap menggunakan akal atau hanya bercakap/ menegur anak seseorang hanya mengunakan lutut tanpa fikir perasaan anak-anak syurga/ perasaan keluarganya.

Allah juga sedang menduga sama ada kita boleh bersabar atau tidak dengan adanya anak-anak kenalan kita yang begini.

Lebih baik diam dari berkata sesuatu tanpa berfikir panjang.

Terima kasih kerana sudi baca penulisan yang tak seberapa. Semoga Allah limpahkan rezeki halal, kesabaran yang tinggi dan kesenangan didunia dan akhirat untuk pembaca semua. Aamiin.

– Miz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *