Pulihlah Wahai Si Hati

Assalamualaikum semua. Hari ini aku rasa aku perlu kongsikan apa yang aku alami sejak beberapa tahun lepas. Mudah-mudahan boleh dijadikan panduan untuk orang lain dan mudah-mudahan juga ada yang boleh memberi pendapat.

Aku seorang isteri dan ibu yang mempunyai kehidupan yang agak mendukacitakan. Tetapi orang sekelilingku melihat kehidupanku sangat bahagia.

Ramai memuji dan mengimpikan kehidupan yang aku alami tetapi mereka tidak tahu hakikat yang aku hadapi setiap hari. Disebabkan ramai yang sering memuji, aku selalu berdoa agar aku tidak menjadi seorang hamba yang kufur atas nikmatnya.

Ada beberapa sebab mengapa aku katakan kehidupan aku agak mendukacitakan. Cukuplah aku katakan semua berpunca dari suami. Aku tidak ingin bercerita kelakuan suami di sini. Cuma aku ingin kongsikan apa yang aku lakukan untuk ubati hati yang selalu disakiti.

Pertama, berdoa. Aku selalu berdoa agar Allah jaga hatiku dari disakiti oleh sesiapa dan berilah kebahagiaan dan kegembiraan kepadaku.

Ya, Alhamdulillah, Allah berikan kebahagiaan aku melalui anak-anak. Memang aku mendapat suami yang tidak diidamkan, tetapi aku dikurniakan anak-anak sangat menyenangkan hati.

Kesakitan yang aku rasa akan hilang sakitnya bila aku peluk dan cium anak-anak aku. Akan aku cium anak-anak aku selama yang aku inginkan sehingga hilang sakit hatiku. Walaupun tidak hilang sepenuhnya, sekurang-kurangnya terdapat sedikit kelegaan.

Kedua, aku akan lakukan sesuatu yang betuk-betul buat aku gembira. Dulu semasa bujang kalau aku ada masalah aku suka bershopping.

Tetapi selepas berkahwin aku tidak lagi dapat meneruskan kegemaran tersebut kerana tugasku sebagai pekerja, ibu dan isteri terlalu padat. Jadi aku cuba cari cara lain yang boleh buat aku lupa masalah-masalah aku dengan suami.

Masa anak pertama, aku akan sentiasa pastikan rumah aku akan ada aiskrim, jadi bila hati aku terlalu sakit, aku akan makan aiskrim. Tetapi sekarang aku dah beralih kepada kopi kosong.

Alhamdulillah, sangat berkesan. Cuma biasa lah, bila nampak je suami, hati akan sakit semula cuma kesakitan itu tidaklah keterlaluan.

Ketiga, aku akan bersedekah sambil berdoa agar dikurniakan kejayaan, kebahagian dan kegembiraan.

Alhamdullillah amat berkesan. Cuma bersedekah ini akan aku lakukan ketika awal-awal bulan, tak mampu nak bersedekah setiap kali hati aku sakit, sebab hampir setiap hari hati aku disakiti suami.

Mesti ada yang tertanya, kenapa tidak bercerai? Jawapan aku senang, aku tak nak ibu bapaku menanggung malu. Kalau ikutkan hatiku, memang dah lama aku mohon fasakh.

Sejak akhir-akhir ini, aku selau berdoa sekiranya rumah tangga ini mendatangkan kebaikan dan kebahagian kepada aku dan anak-anak aku, peliharalah hubungan aku dan suami. Sekiranya sebaliknya, aku mohon agar Allah aturkanlah hidupku dan anak-anakku dengan baik.

Untuk ibu bapa yang mempunyai anak lelaki, aku mohon agar didiklah anak lelaki kalian sebagai lelaki yang berakhlak dan bertanggungjawab. Bagiku, berakhlak lagi penting dari segalanya kerana dengan baik akhlaknya, inshaAllah akan baik segalanya.

Jangan pula depan ibu bapa dan orang luar sahaja berakhlak tetapi dengan isteri tidak langsung berakhlak. Aku juga berharap agar kalian yang mempunyai anak agar tidak menunjukkan tauladan yang kurang baik.

Elakkan meninggi suara di depan anak, pasti anak kamu akan begitu kerana inilah yang aku alami di mana bapa mertuaku juga panas baran orangnya dengan isteri tetapi dengan orang luar nampak begitu sopan dan berkhemah.

Aku hingga kini memang tak mampu nak terima bapa mertuaku kerana kelakuannya sememangnya sama dengan suamiku.

Malah ibu mertuaku juga pernah cerita kelakuan-kelakuan suaminya ketika muda hingga la sudah berusia. Bukan ibu sahaja, kakak-kakak dan adik suamiku juga bercerita perkara yang sama.

Malah, bapa mertuaku pernah meninggi suara dan bergaduh dengan anak-anaknya di depan ku. Keluargaku pula alhamdullillah bukan dari kalangan yang suka meninggi suara, mencarut dan panas baran.

Ayah aku juga garang dulu dengan anak-anak, tapi tak pernah sekali meninggi suara dengan ibu. Itupun garang masa kami disekolah rendah.

Bila semua sudah bersekolah menengah memang tidak garang langsung. Aku memang terkejut bila berdepan situasi apabila si ayah dan anak bergaduh seperti budak-budak gengster. Sebab itu aku memang sukar nak terima kelakuan keluarga suami.

Tetapi tidak sesekali aku tunjukkan yang aku tidak suka akan kelakuan mereka, aku hanya berpura-pura biasa, tetapi di dalan hati hanya Tuhan yang tahu.

Aku sangat mengalu-alukan nasihat dan sokongan kalian. Mungkin ia boleh dijadikan sebagai kekuatan untuk aku pulihkan hati yang selalu dilukai ini. Terima kasih.

– Bulan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *