Kerjaya Politik: Kisah Benar

Assalamualaikum Semua, Pakcik merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri. Di mana? Biarlah rahsia.

Pakcik tergerak hati nak tulis ni sebab nak tergelak melihat beberapa anak muda yang terlalu ghairah untuk mengangkat agenda “perubahan” (kononnyalah).

Pakcik nak petik satu quote daripada drama bersiri Netflix Dark:

“What we know is a drop, what we don’t know is an ocean”

Niat tu dah betul dan cantik. Hakikatnya, tidak semudah kamu fikir. Tidak semudah; menang, jadi kerajaan, dan laksana. Kalau semudah itu, pakcik dah jadi Perdana Menteri sekarang. Mari pakcik cerita pengalaman pakcik.

Masa pakcik muda-muda macam kamu pun, pakcik memang bercita-cita nak membawa gelombang perubahan dan mengangkat agenda rakyat.

Masa itu pembangkang mana ada duit, pakcik gadai semua harta pakcik ada termasuklah cincin perkahwinan yang pakcik hadiahkan kepada isteri.

Bukan setakat sembang di Facebook, Twitter. Perjuangan tanpa pelaburan bukan pengorbanan.

Ditakdirkan pakcik menang Pilihan Raya setelah kalah beberapa kali. Alhamdulillah.

Demi rakyat, pakcik pun gulung lengan baju untuk bekerja mengangkat agenda rakyat. Tapi banyak halangan.

Apabila menjadi pembangkang, dana dan peruntukan memang kurang. Nak bantu rakyat pun memang susah dik. Hari-hari rakyat pergi pejabat minta bantuan.

Ada yang nak minta duit belanja anak sekolah, bil air kena potong, bil elektrik kena potong, beras habis, anak tiada kerja dan sebagainya.

Pakcik pembangkang masa itu, memang susah dik. Gaji YB tu pun pakcik tak merasa sebab bagi kepada rakyat.

Rakyat ni bukan boleh, diungkitnya semua keburukan kita walau 1001 kebaikan kita buat. Jadi kalau setakat kau nak buat #YouthPower tak perlu pergi parlimen dik. Mental kena kuat.

Masa zaman pembangkang ni tak best ceritanya. Sebab takde banyak drama.

Adalah satu pilihanraya, parti kami jadi kerajaan negeri akhirnya. Pakcik pun gembiralah. Sebabnya agenda rakyat dapat diangkat setinggi-tingginya.

Akan tetapi sangkaan pakcik meleset, ku sangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Susah nak angkat agenda rakyat ni sebab banyak hati perlu dijaga.

Malaysia dan ahli politiknya dikawal oleh tangan-tangan ghaib. Bila kamu cuba memerdekakan diri dari tangan ghaib itu, hukuman paling ringan ialah kamu hilang jawatan. Itulah hukaman yang pakcik sanggup terima.

Semasa dalam kerajaan pakcik cuba untuk mengusulkan beberapa benda (apa usulnya biarlah rahsia kalau tak korang google nanti). Tapi usul itu ditolak oleh Menteri Besar. Tiada alasan diberi.

Pada hemat pakcik, usul itu amat baik untuk rakyat dan kalau dilaksanakan akan mengukuhkan lagi pengaruh parti. Di sebabkan pakcik ini begitu curious, pakcik pun mengkaji dan mengkaji.

Rupa-rupanya, ia ditolak sebab kepentingan “tangan ghaib” terhakis. Pakcik tak puas hati. Pakcik jumpa semula MB dan “confront” dia habis-habisan. Dia tak balas dan celah pun apa yang pakcik cakap. Bila pakcik habis, dia mula bercakap:

“Aku cabar kau buat bantahan dan lawan DIA (tangan ghaib)”

Apa lagi, pakcik pun sahut cabarannya. Pakcik mulakan dengan memberi taklimat kepada orang-orang terlibat. Mula lancarkan bilik gerakan dan sebagainya.

Tidak sampai seminggu, pegawai khas pakcik maklumkan yang MB nak jumpa pakcik di sebuah tempat. Mungkin MB dah sedar kot kesilapannya.

Rupa-rupanya pakcik yang silap, bukan MB yang nak jumpa tapi “tangan ghaib”. Dia minta pakcik menghentikan niat pakcik. Pakcik kata tidak mahu sebab pakcik nak mengangkat agenda rakyat.

Kemudian, dia offer pakcik benda-benda yang pakcik tak boleh tolak. Susah sangat nak tolak. Entah dan bagaimana mereka tahu “my deepest desires”.

Pakcik mengaku yang pakcik terima dan ambil offer diberi. Pakcik pun membuat perjanjian dengannya.

Bilik gerakan ditutup, perjuangan koma.

Selepas setahun, pakcik sedar dan bangkit untuk melawan “tangan ghaib”. Pakcik jumpa di tempat yang sama seperti setahun lepas.

Pakcik katakan bahawa pakcik enggan lagi patuh kepada perjanjian itu. Mereka pun kata “ok” dan pertemuan kami berakhir seperti itu sahaja. Nampak mudah.

Keesokannya, pakcik menerima sepucuk surat yang mengandungi “my worst fear”. Pakcik menangis seperti kanak-kanak di hadapan pegawai khas pakcik. Pakcik buntuh dan tidak tahu nak buat apa. Pakcik menyesal membuat perjanjian dengan “syaitan”.

Pegawai khas pakcik menasihati agar pakcik pergi berjumpa dengan mereka sekali lagi. Pakcik bersetuju dan kali ini ditemani oleh pegawai pakcik.

Pakcik tak boleh berhenti menangis. Teresak-esak seperti kanak-kanak selepas dimarahi. Menggigil ketakutam. Hanya pegawai pakcik yang berbicara dengan mereka.

Mereka setuju untuk membiarkan pakcik menjadi YB sehingga habis penggal dengan syarat tidak menyentuh apa-apa yang berkaitan mereka.

Apabila dewan undangan negeri bubar. Pakcik amat lega dan gembira sekali. Akhirnya bebas “sedikit”.

Apa yang pakcik nak sampaikan ialah pemain politik ini hanyalah buah catur yang digerakkan oleh “tangan ghaib”. Siapa mereka? Biarlah rahsia. Itu sahaja yang pakcik mampu beritahu.

YB anda bukannya tidak mampu nak buat itu dan ini. Akan tetapi tangan mereka diikat oleh perjanjian syaitan. Mereka hanyalah buah catur yang dimainkan oleh “The Invisible Hand”.

Kepada anak muda, terimalah hakikat yang kamu tidak boleh bawa agenda perubahan walaupun anda menjadi kerajaan. Janganlah sombong dan angkuh ketika berbicara kerana kamu tak tahu apa yang berlaku dalam kerajaan.

Kalau kamu mahu belajarlah setinggi yang boleh, kerja dalam bidang korporat, buka perniagaan, dan jadilah ‘tangan ghaib’.

Assalamualaikum.

– Ex-YB (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *