Mangsa Penipuan Ejen Penapis Air Koko

Assalamualaikum wbt. Sesunggunya waktu aku menaip confession ini, aku dilanda kebuntuan dan keresahan yang amat sangat.

Sebagaimana yang kalian baca dan menduga dari tajuk, benar – aku adalah mangsa penipuan ejen penapis air yang agak popular Malaysia- Koko.

Aku perkenalkan diri aku dulu. Nama aku Uya, berumur 19 tahun dan merupakan salah seorang penuntut tahun pertama diploma di salah sebuah universiti terkemuka di Malaysia.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang susah, yang menjadi salah satu sebab kenapa aku boleh terjebak menjadi mangsa penipuan ini.

Segala-galanya bermula ketika cuti PKP yang lalu. Sekian lama terkurung di rumah menyebabkan aku berhasrat untuk mencari sumber pendapatan sampingan bagi membantu meringankan beban ayah aku yang tidak dapat berniaga ketika musim PKP.

Aku didekati oleh seorang teman sekuliahku. Namanya Anis. Anis rancak bercerita mengenai pendapatannya yang mencecah ribuan ringgit bahkan belas-belas ribu ringgit kerana menyertai satu peluang perniagaan yang agak berjaya.

Anis berulang-kali memujukku mengikuti jejak langkahnya. Katanya dia faham aku kerana dia juga orang susah. Katanya lagi, peluang cuma tinggal untuk dua orang sahaja lagi kemudian slot akan ditutup.

Hampir berhari-hari lamanya aku membuat pertimbangan sebelum akur dan bersetuju. Itupun, kredit kepada Anis kerana aku percaya pada Anis. Anis teman sekuliahku yang baik. Orang sebaik Anis mana mungkin menipuku. Sudah pasti dia berniat membantuku.

Ketika aku menyatakan persetujuanku untuk menjalankan perniagaan yang sama, Anis mengatakan setiap perniagaan sudah pasti ada MODAL.

Begitu juga perniagaan ini. Sebagai MODALnya, aku disayaratkan mengambil dua barang dalam kategori house appliances dengan komitmen bulanan RM150 selama 5 tahun sebelum disahkan menjadi ejen KOKO.

Kata Anis, jangan risau, gaji aku mencapai RM4000 sebulan dan setelah dua bulan, aku boleh melangsaikan hutangku sekelip mata dengan membuat Early Settlement.

Silap aku juga kerana tidak bertanya lanjut bagaimana caranya untuk mendapat gaji tersebut. Aku melulu bersetuju dan menyerahkan data peribadiku.

Selang 3 hari, aku didatangi technician Koko yang datang bagi memasang MODAL yang telah aku keluarkan (penapis udara dan periuk) yang bernilai RM 150 sebulan selama 5 tahun. Jumlah keseluruhan RM 9000.

Setelah menerima barang dan menandatangani kontrak perjanjian yang dibawa oleh technician tersebut, aku kini sah merupakan ejen KOKO.

Bermulalah pula detik bersemangat aku untuk mencari pendapatan RM4000 sebulan.

Kata Anis, kerja kami mudah. Kami tak perlu fokus menjual barang tetapi kami hanya perlu merekrut orang bari untuk masuk dan untuk itu, orang baru juga perlu membuat komitmen bulanan seperti kami.

Aku menuruti sahaja arahan Anis. Kata Anis, sembunyikan nama perniagaan kita, jangan beritahu kita rekrut mereka untuk menjadi ejen KOKO.

Nanti kalau dah yakin mereka betul-betul berminat baru beritahu. Aku juga tidak faham motif Anis tetapi aku menurut sahaja. Untuk mendapatkan gaji RM 4000 sebulan, aku perlu konsisten merekrut minima 10 orang baru sebulan.

Lupa untuk aku bercerita, Syarikat kami bernama D Legacy, anak syarikat kepada KOKO.

Aku tak pasti sejauh mana kebenarannya kerana CEO kami menggunakan nama samaran. Inipun aku ketahui setelah aku sedar aku ditipu. CEO menggunakan nama samaran ZH. TH dan HH (hasil penyiasatan aku).

Dalam usaha untuk merekrut 10 orang sebulan, aku diajar dengan pelbagai cara untuk menipu. Katanya tunjuk slip gaji, statement bank tipu dan iklan-iklan pendapatan menipu dalam usaha mencari prospek untuk direkrut.

Ketika itu jugalah aku sedar aku juga telah ditipu dengan cara yang sama. Aku nekad untuk tidak lagi merekrut siapa-siapa kerana aku tidak mahu ada orang yang tertipu seperti aku. Semua temujanji dengan prospek aku batalkan.

Oh ya, sebenarnya untuk menjadi ejen penapis air KOKO, tidak ada modal yang perlu dikeluarkan dan ejen tidak perlu merekrut orang baru tetapi cukup sekadar menjual barangan dan mendapat komisyen. Sungguh aku telah tertipu!

Aku nekad memaklumkan kepada Anis aku ingin berhenti. Anis menjawab dengan bersahaja,

“Boleh kalau Uya nak berhenti tapi Uya tetap kena bayar bulan-bulan ye barang tu. Anis dah cuba bantu Uya dapatkan RM4000 sebula, Uya yang taknak bantu diri Uya”

Bagaikan tamparan hinggap di pipiku. Aku mula tersedar yang aku kini mempunyai hutang berjumlah RM 9000 di usia 19 tahun. Hancur dan punah harapanku untuk membantu ibu bapaku. Aku rahsiakan hal ini dari mereka bimbang mereka kecewa.

Keesokannya, aku menghubungi HQ KOKO dan memaklumkan yang aku ingin terminate kontrak dan memulangkan barang memandangkan aku masih belum menggunakan barangan tersebut.

HQ KOKO memaklumkan bahawa barang yang aku ambil adalah dua barangn di bawah Good Plan, bermakna dengan cara apa sekalipun, kontrak tidak dapat dibatalkan sehingga 5 tahun. Sekiranya kontrak dibatalkan, aku tetap perlu membayar jumlah yang sama.

Aku menjadi dendam pada Anis. Aku tak sangka Anis sanggup mempergunakan aku sebegini rupa. Mujurlah aku tak sempat memaksa sesiapa menandatangani kontrak. Kalau tak sudah pasti mereka juga mendapat nasib yang sama seperti aku.

Dua hari aku menangis berendam air mata tanpa henti. Selepas dua hari, aku mula membuat pembacaan di internet.

Rupa-rupanya isu ini telah viral pada 20 Jun 2020 di laman Twitter. Aku yang b*d*h kerana tidak begitu mengikuti perkembangan semasa.

Aku terbaca komen netizen mengatakan supaya siapa yang terkena buatlah report kepada HQ KOKO kerana HQ KOKO dalam usaha untuk membanteras perkara ini.

Aku langsung menyiasat identiti sebenar Z. Aku kumpulkan segala bukti penipuan, rakaman suara, rakaman video dan semuanya aku kepilkan dalam fail Google Drive.

Kemudian, aku membuat laporan polis. Aku serahkan semuanya kepada HQ KOKO untuk siasatan dan tindakan lanjut. Setelah beberapa tempoh, aku buat semua panggilan ke HQ untuk follow up.

Jawapan yang diberikan HQ KOKO sangat mengecewakan. Kata mereka, “Oh, kami dah serahkan kes ini kepada Manager Z(orang yang sepatutnya dikenakan tindakan) untuk disiasat”

Aku menjadi berang. Lantas aku persoalkan mengapa tidak diadili oleh orang yang sewajarnya. Mereka hanya diam.

Sehingga kini, kes aku masih tiada penyelesaiannya. Manager Z (pangkat yang diberikan kepada ejen yang berjaya mencapai target sale) masih giat merekrut orang-orang baru. Lebih ramai pelajar yang menjadi mangsa seperti aku.

Laporan demi laporan, aduan demi aduan yang aku kemukakan kepada KOKO umpama menunggu surat cinta yang tak berbalas.

Sedarlah aku kini, mana mungkin KOKO akan mengambil tindakan kepada Z kerana Z banyak buat sale, biarpun dengan cara merekrut orang baru dan memaksa mereka mengambil barang namun, yang penting barang terjual.

Untuk aku pula, KOKO mencadangkan aku mencari orang yang sanggup mengambil barang aku dan menukar hak milik. Sungguh aku kecewa dengan tindakan KOKO.

Aku benar-benar buntu dan mengharapkan agar sesiapun dapat memberikanku jalan keluar dan penyelesaian kepada masalah aku. Sesiapapun, tolonglah aku! ARIGATO.

– Uya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *