Aku Bunga, 30 tahun, seorang penjawat awam, to be exact, seorang jururawat. Sudah berkahwin selama 5 tahun, suami berumur 36 tahun, bekerja di sektor swasta.
Kami duduk berjauhan, walaupun masih satu negeri, tetapi berlainan daerah. Aku di daerah A, manakala suami di Daerah B. Jarak Daerah A dan B lebih kurang 500 KM, perjalanan pula mengambil masa 8 jam atau lebih.
Sepanjang 5 tahun perkahwinan dan hidup berjauhan ini, kami masih belum dikurniakan anak. Jadi, kalau balik ke kampung, confirm akan disoal, dibanding-bandingkan dengan pasangan-pasangan yang baru berkahwin. Takpelah, sis redha.
Balik kepada isu hidup suami isteri yang berjauhan, memang banyak dugaan dan ujian. Isu pertama, isu permohonan pindah.
Aku telah memohon pindah ke hospital di Daerah A, tapi satu permohonan pun belum diluluskan. Dulu, pihak atasan cakap, kalau alasan ikut suami, senang dapat pindah.
Nampaknya, sekarang alasan ikut suami sudah tidak dipandang, hinggakan jika berjumpa penyelia, penyelia akan mengatakan, kenapa suami tak pindah ke Daerah B?
Aku susah nak bagi jawapan, sebab rasanya, isteri inilah yang sepatutnya mengikut suami. Apatah lagi, keluargaku dan keluarga suami juga berada di daerah B, mengapa perlu suami yang berpindah ke daerah A?
Lagipun, suamiku bekerja di sektor swasta, umum pun tahu, bukan senang untuk mencari pekerjaan di sektor swasta dalam keadaan ekonomi begini.
Ditambah lagi, dengan pandemik Covid-19 ini, memang peluang untuk mendapat kerja lain itu, bertambah tipis. Jadi, adakah peluangku untuk dapat berpindah dekat dengan suamiku? Doakan aku.
Isu kedua, aku seorang jururawat, sepanjang 5 tahun aku di daerah A, memang setiap 2 minggu aku akan balik ke daerah B untuk berjumpa suami dan balik melawat keluarga.
Begitu juga suamiku, jika aku tidak balik, dia yang akan datang ke tempatku. Rutin begini, memang memenatkan, tapi kami tetap bersyukur sebab masih boleh berjumpa di hujung minggu.
Tetapi, semenjak pandemik Covid-19 melanda negara, aku bertugas sebagai barisan hadapan, dimana waktu kerjaku berubah, hujung minggu akan tetap turun bekerja, melakukan saringan di kaunter saringan 7 hari seminggu.
Semasa di awal pandemik, aku memang tidak dapat balik berjumpa suamiku selama 4 bulan, di sebabkan PKP dan tuntutan tugas.
Suamiku juga, tidak dapat datang ke tempatku, disebabkan company tempatnya bekerja kekurangan staff dan merupakan salah satu company yang masih beroperasi ketika PKP (essntial service).
Sekarang, suami lah yang rajin datang ke tempatku, sebab aku memang tak dapat bercuti ketika hujung minggu. Hendak bercuti, terpaksa cari pengganti. Tapi, siapalah nak mengganti jika bertugas di bahagian Covid-19?
Semua pun menolak, alasan sebab takut, alasan sebab ada anak di rumah, alasan bermacam-macam. Tak apa, memang beginilah nasib kita yang berada di rantau orang.
Isu ketiga, emosi kami duduk berjauhan. Aku mengaku, aku sangat hebat menutup masalahku, menutup segala perasaan sedihku di hadapan rakan kerja.
Aku mampu ketawa dan tersenyum jika di tempat kerja. Kawan sekerja akan mengatakan, aku seorang yang happy dan nampak tiada masalah. Tapi, apabila duduk di kereta, berseorangan, sampai ke rumah, berseorangan, aku akan mula merasa sedih.
Bermacam-macam perkara akan aku fikirkan. Aku akan mempersoalkan diriku, bilakah akan dapat berpindah dekat dengan suami.
Kadang-kadang, suami, ibu atau adik perempuanku yang akan mendengar semua luahan perasaanku. Menangis sendiri di dalam kereta, ketika di rumah, itu memang perkara biasa.
Suami jugalah yang rajin melayan emosi isterinya yang macam ‘roller-coaster’ ni. Doakan aku mampu kawal emosiku.
Isu keempat, anak. Isu ini paling sensitif buat aku dan suamiku. Kami sudah 5 tahun berkahwin, tapi aku masih belum mengandung. Mertuaku dan orang sekeliling memang sentiasa mempersoalkan tentang anak, tapi, apalah dayaku, kan?
Bukan kami tak berusaha pun nak dapat anak, ingat senang nak buat anak? Harini buat, esok dah jadi?
Doa baik-baik, sudahlah. Aku tak minta pun duit dan tenaga sesiapa dalam usaha nak dapat anak ni, tapi, tak perlu persoalkan kenapa kami masih belum ada anak. Soalan tu seperti mempersoalkan takdir Allah, tahu tak?
Membandingkan aku dengan pasangan yang baru berkahwin, terus dapat anak. Jadi kau nak aku terus buat anak depan kau dan dan tu juga, baru puas hati ke? Aku tak faham kenapa orang nak sibuk soal pasal anak, bandingkan pasal anak ni.
Kau tak berada di tempat kami, kau takkan faham keadaan kami. Rezeki anak ni, bukan kami yang tentukan. Semua tu Allah yang tentukan.
Kami PJJ, lagilah susah kami nak rancang untuk dapat anak. Kadang-kadang, masa suami datang, bendera merah pula. Kadang tu, waktu tak subur pula. Doakan jelah yang baik-baik, Allah akan bagi di masa yang terbaik, kami ni merancang je.
Aku selalu berdoa agar semua ni cepat berakhir, sering mengimpikan bangun pagi, nampak suami di sebelah, then bersiap untuk kerja.
Tapi, aku tetap percaya satu perkara, Allah tahu kemampuan hambaNya, merintih, meminta dan merayulah denganNya, pasti kita tenang, Allah itu Maha mendengar dan Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan penyayang.
Mungkin pasangan PJJ yang lain, lain pula dugaan mereka.
Mungkin para pembaca boleh bagi tips untuk cepat dapat pindah? (selain suka sama suka, sebab dah cari, memang tak jumpa) mungkin boleh bagi tips untuk kawal emosi saya, sebab saya bukan seorang yang suka luahkan masalah saya dengan kawan, trust issues maybe.
Panjang pula confession ni. Terima kasih admin, sebab approved confession panjang berjela ni, terima kasih juga yang membaca. Maaf jika ayat tunggang terbalik, aku bukan seorang yang puitis, seorang jururawat je.
Pesanan ikhlas dari seorang jururawat, musim pandemik Covid-19 ni, ikutlah SOP di mana sahaja anda berada. Sentiasa pakai penutup muka, jaga kebersihan, jangan sentuh muka, hidung, mulut dan mata dengan tangan yang tak bercuci, jaga jarak anda.
Semoga pandemik ini cepat berakhir, kita boleh hentikan rantaian Covid-19, asalkan kita patuh SOP, masa ni lah kita boleh nampak kerjasama dari rakyat Malaysia.
– Puan Misi, Bunga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit