Pengalaman Menjadi Imam Jenazah Ayah II

Terima kasih admin sebab approve kisah Sebelum ini, kisah saya pernah ditulis dan dishare di dalam page ini yaitu “Pengalaman Hilang Ahli Keluarga Buat Kali Pertama”

Boleh baca di link ni–> https://iiumc.com/pengalaman-hilang-ahli-keluarga-buat-kali-pertama/

Sambung pula kisah tentang selepas sahaja kami sekeluarga mendengar berita pemergian ayah kami daripada Doktor.

Waktu itu pukul 4.30 pagi seluruh ahli keluarga saya menangis serentak kecuali saya dan adik saya sebabnya kami seakan akan sudah rasa ayah akan pergi dan sudah meredhai pemergian di dalam hati.

Saya menangis beberapa minit kemudian untuk menenangkan adik saya yang menangis dan kami adik beradik memohon maaf pada ibu.

Hari itu hari rabu merupakan hari paling gembira dan paling sedih sepanjang saya hidup di dunia ini.

Kenapa saya kata paling gembira walaupun ayah saya dah pergi meninggalkan dunia. Ada sebabnya dan saya akan cerita kan disini.

Pagi itu saya dengan tenang menelefon dan menghantar mesej kepada seluruh kawan kawan serta ustaz yang saya kenal memberitahu tentang pemergian ayah.

Kami adik beradik tetap membacakan yasin dan menemani jenazah ayah walaupun diiring ke bilik jenazah.

Usai mendapat surat kem4tian dan mendapat kebenaran untuk membawa jenazah ayah pulang kami tetap berada di samping jenazah ayah tidak berhenti bacakan yasin untuknya. Tidak dilepaskan jenazah ayah berada sendirian walaupun sesaat.

Jenazah sampai dirumah tepat pada waktu azan subuh, jiran kami terkejut melihat van jenazah yang datang ke rumah menghantar jenazah ayah.

Di samping kesibukan pagi kami telah membahagikan tugas setiap orang.

Adik saya disuruh pergi ke surau untuk solat berjemaah dan memberitahu orang surau tentang pemergian ayah kami. Yang lain menemani jenazah ayah, photostat dokumen penting dan sebagainya.

Dipendekkan cerita, dalam pukul 8 pagi jenazah ayah sudah dihantar ke surau untuk dimandikan dan dikafankan serta disolatkan.

Niat dihati mahu menyolatkan ayah seawal pukul 9 pagi jadi saya menjemput tetamu datang pada pukul 9 pagi. Tetapi terlewat sampai pukul 10 pagi.

Sampai sahaja di surau saya terjumpa orang tabligh dan ada satu abang tabligh ni terus menuju ke saya dan kata “Adakah saya akan jadi imam jenazah atau abang saya yang akan jadi imam jenazah?”.

Terus saya mengatakan pada dia “Saya akan jadi imam jenazah untuk ayah saya”. Saya mengeluarkan handphone sambil cuba sepantas kilat menghafal bacaan solat jenazah sebab dah terlupa lama sangat tak solat jenazah.

Dalam 7 minit kemudian saya mengumpulkan abang dan adik untuk mandikan jenazah. Tetapi muka kakak dan mak kelihatan sedih lalu saya menjemput mereka untuk sama sama melihat jenazah ayah dimandikan.

Kami sekeluarga anak beranak sudah berada dalam bilik jenazah untuk mandikan ayah. Sambil diperhatikan oleh bilal dan siak kami minta mereka untuk ajar cara mandikan jenazah jika berlaku kesilapan.

Saya memulakan curahan air pertama ke muka ayah sambil membaca doa,

“Ya Allah, muka inilah yang membesarkan aku dengan susah payah kau ampunilah dosa ayah aku, Ya Allah mata ini lah yang penat membesarkan aku kau ampunilah dosa ayah aku”. Seluruh ahli keluarga menangis ketika saya membacakan doa ini.

Curahan kedua pula di bahagian tangan kanan, ” Ya Allah tangan inilah yang penat bekerja untuk mencari rezeki halal kau ampunilah dosa tangan ayah aku ini”. Tangisan saya makin kuat serta ahli keluarga.

Hari itu kami sekeluarga memandikan sambil menangis mohon Allah ampunkan setiap inci badan ayah kami. Hari itu merupakan antara detik bahagia campur sedih di dalam hidup saya.

Selesai mandi kami keringkan jenazah ayah kami dan dengan bantuan orang surau kami kafankan dan ikat dengan kemas jenazah ayah kami.

Saya basahkan bahagian seluar dan baju yang terkena percikan air dan terus menuju ke saf jemaah.

Alangkah terkejut nya saya pada pukul 10 pagi itu begitu ramai orang yang datang ada di kalangan ustaz ustaz bersama budak tahfiz lebih kurang 30-40 orang.

Ada juga dikalangan kawan tabligh datang untuk solat, ex bos saya serta kawan sekerja juga datang. Lebih kurang 5-6 saf berjaya dikumpulkan bersama saf orang perempuan.

Disini saya tersilap sebelum memulakan solat jenazah, saya ter iqamat untuk mengumpulkan mereka berdiri dalam saf.

Al maklumlah kali pertama dan gugup, Saya dah bertanya ustaz adakah solat jenazah sah, dan ustaz mengatakan solat itu sah tapi perbuatan iqamah untuk solat jenazah tak betul.

Saya menarik baju pakcik saya yang sudah kehadapan untuk menjadi imam dan mengatakan biar saya yang jadi imam.

Pakcik saya memberi saya laluan dan saya terus mengangkat takbir menjadi imam buat kali pertamanya. Saya terus menyebut bacaan solat jenazah yang sudah saya hafal.

Usai sahaja bagi salam pertama. Saya terus mengangkat doa dan doa dalam bahasa melayu (saya tak hafal bacaan bahasa arab sebab hafal dengan tergesa gesa).

Saya masih ingat doa itulah yang paling sedih saya pernah bacakan,

” Ya Allah ampunilah dosa ayah saya, Ya Allah ampunilah dosa ayah saya, Ya Allah ampunilah dosa ayah saya”.

Mula mula nangis sebab saya dengar ustaz cakap kalau menangis Allah akan makbulkan doa. Tapi tangisan saya menjadi tangisan meraung kerana terlalu sedih dan terlalu mahu Allah kabulkan doa tersebut.

“Ya Allah Jangan s3ksa ayah saya dalam neraka, Ya Allah jangan s3ksa dia, Ya Allah masukkan lah ayah saya dalam syurga, Ya Allah tolong lah ketemukan aku dengan ayah aku dalam syurga. Ya Allah aku sayang dia”

“Ya Allah ayah kami yang besarkan kami dengan penat lelah, dia rotan aku ya Allah sebab tak solat, dia rotan aku sebab tak solat. YA Allah ampunilah dosa ayah ya Allah”

“Ya Allah ayah aku dulu hidup selalu jaga solat jemaah tak pernah tak tinggal solat, tapi sebab sakit dia tak mampu berjalan” Banyak lagi saya doa tapi saya dah lupa.

Saya terdengar tangisan orang belakang saya yang turut menangis ketika berdoa. Kerana fikirkan doa yang dibaca agak panjang saya terus mengaminkan doa.

Saya pusing ke arah jemaah sambil menangis teresak esak mengatakan,

“Ayah saya ni waktu hidup dia banyak membantu orang, saya yang jahat dengan dia. Kalau ayah saya ada berhutang dengan sesiapa boleh bertemu dengan saya, kalau dia ada buat silap tolong maafkan dia” Jemaah semua terdiam. Terus pakcik saya ganti untuk bacakan tahlil.

Waktu di kubur saya dan adik ke dalam kubur untuk menyambut jenazah, malangnya ahli keluarga tak benarkan saya baca talqin di kubur bimbang saya meraung atas kubur seperti saya meraung mohon Allah ampunkan dosa ayah saya ketika solat jenazah.

Sebenarnya hari itu adalah hari paling menyedihkan sepanjang saya hidup kerana saya tak sempat minta maaf pada Ayah saya. Saya dapat rasa dia nak pergi tapi tak sempat minta maaf.

Nasib baik saya terdengar daripada abang saya. Ada anak derhaka pada ibu bapanya waktu masih hidup, tapi setelah ibu bapa meninggal dia berazam mahu bertaubat.

Cara untuk bertaubat adalah doakan keampunan untuk ibu bapa yang sudah tiada dan sentiasa menghantar amalan ibadat seperti sedekah, membaca alquran untuk ibu bapa di kubur.

InshaAllah kalau amalkan seumur hidup bangkitnya nanti akan dibangkitkan sebagai anak soleh.

Hari itu adalah hari paling gembira buat saya kerana cita cita saya ingin menjadi imam semenjak umur 18 tahun menjadi kenyataan dan juga saya telah berjaya menunaikan hasrat ayah saya kafankan, imamkan, kebumikan jenazah ayah saya.

Sampai detik ini disebabkan dosa saya dengan ayah saya, Saya tak pernah lupa untuk sedekah al fatihah untuk arwah ayah serta mendoakan moga kami sekeluarga masuk ke dalam syurga tanpa hisab dan tanpa azab.

Jika ada kebaikan dalam ni untuk pembaca saya sedekah kan semua pada arwah ayah.

Setelah ayah saya dikebumikan saya tertanya bagaimana dengan saya nanti, akan ada kah zuriat yang sanggup mandikan, kafankan, imamkan serta kebumikan macam yang saya buat pada Ayah.

Semenjak itu saya berazam ingin menjadi anak yang soleh, suami yang soleh dan juga seorang berilmu.

Walaupun dah agak tua tapi saya berazam hafal alquran 30 juzuk dan juga menyampaikan ilmu agama supaya menjadi manfaat setelah meninggal. Serta saya juga sedang mencari isteri solehah yang sanggup berkorban kerana islam.

Moga ada jodoh saya dapat berkahwin dengan dia yang menjadi islam di dalam diri sebaiknya inshaAllah). Tapi nak perempuan solehah kena jadi lelaki soleh, doakan saya dapat berubah menjadi lebih baik daripada sekarang ni

– Si Anak Yang Menyesal  (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *